Sharifah Aini Tunggu Jawapan S Atan


Persahabatan yang dibina lebih tiga dekad tercalar gara-gara sifat tamak haloba dan ingin memperoleh wang dengan cara mudah. Bukan mahu membuka aib sesiapa, cuma mahukan hak diri selepas ‘menunggu’ hampir dua tahun.

“Dia memang dah dikenali kerana sifat tamak,” itu luahan hati Biduanita Negara, Sharifah Aini terhadap komposer, S Atan ketika ditemui pada majlis sidang akhbar makan malam eksklusifnya baru-baru ini.

Mengikut perancangan awal, S Atan sepatutnya menyediakan susunan muzik ‘live stream’ untuk penyanyi malar segar ini. Namun apabila siap, hasil yang diterima tidak sama dengan dijanjikan apabila S Atan memberikannya susunan muzik ‘programming’.

“Seperti yang dipersetujui, S Atan sepatutnya memberikan susunan muzik ‘live’, sesuai dengan harga yang dimintanya, RM83,000. Ini tidak, hasil yang diberikan langsung tidak memuaskan malah harga susunan muzik sebegitu berharga RM20,000 sahaja. Bukan mahu memandai-mandai, tetapi Kak Pah sudah lama menyanyi, Kak Pah dapat beza hasil ‘live’ dan ‘programming’. Ada beberapa komposer sudah mendengar hasil yang diberikan S Atan, nyata mereka sependapat dengan Kak Pah,” akuinya.

‘Warisan Melayu’ album yang mengandungi lagu-lagu Melayu sepanjang zaman yang pernah dinyanyikan Sharifah Aini sepanjang empat dekad begitu dinanti penyanyi ini. Album ini sepatutnya siap pada 2007, walau bagaimanapun kerana tidak puas hati dengan hasil yang diberikan komposer terkenal itu, Sharifah Aini mahu dia menggubah semula keseluruhan album menggunakan ‘live stream’.

Sejak daripada itu tiada jawapan daripada S Atan dan kesabaran menanti jawapan daripada komposer itu sudah tidak boleh ditanggung lagi, apatah lagi tempoh dua tahun bukan masa singkat.

“Kak Pah bukan nak malukan dia, apatah lagi kami saling mengenali dan sudah bekerjasama lebih 35 tahun, tapi kesabaran menanti ada hadnya. Ini saja cara untuk mengembalikan hak Kak Pah.

“Kak Pah pun salah juga kerana memberikan bayaran penuh, sepatutnya Kak Pah berikan pendahuluan dua puluh peratus dulu. Tapi sebab percaya, Kak Pah tolak tepi, walaupun sebelum ini sudah banyak kali orang bercerita mengenai penipuan S Atan. Tambahan pula ketika itu dia baru pulih dari angin ahmar,” tambah penyanyi yang sinonim dengan lagu “Seri Dewi Malam” ini.

Penyanyi malar segar ini nekad mahu mengheret S Atan ke muka pengadilan andai komposer itu masih enggan bersemuka sehingga 30 Jun ini.

Konsert besar Kota Singa
Selain persembahan ‘An Evening with Sharifah Aini’ yang menghargai peminat serta persembahannya selama empat dekad 17 Julai ini, dia juga bakal mengadakan konsert besar-besaran pertamanya di kota Singa pada November nanti.

“Konsert di Singapura mendapat tajaan sepenuhnya daripada pertubuhan JAMIAH Singapura. Lokasinya akan diadakan di Singapore Indoor Stadium dan inilah konsert yang sangat-sangat Kak Pah tunggu kerana ingin mengubat kerinduan peminat di sana,” katanya.

Bermula di Kota Singa, gadis bernama Aini mula mencipta nama apabila memenangi Bintang RTS 1968. Sejak itu namanya terus mekar di bibir pecinta muzik terutamanya lagu-lagu berentak tradisional kerana ramai tahu kemampuan dan kelunakan suara Sharifah Aini menyanyikan lagu-lagu berentak itu.

Atas kemenangan itu juga, gadis yang berasal dari Johor Bahru itu terus ditawarkan menjadi artis naungan EMI sehingga dicatat sebagai satu-satunya artis Malaysia yang lama bernaung dengan EMI. Namun dia sedikit kecewa apabila tiada ucapan terima kasih atau pemberitahuan mengenai ke mana dia harus berurusan selepas EMI diambil alih oleh Warner Music.

“Kak Pah tak ada masalah andai syarikat itu tutup, yang membuatkan Kak Pah kecil hati apabila mereka tidak sedikitpun menghargai jasa dan sumbangan Kak Pah sebagai artis paling lama di syarikat itu. Sekurang-kurangnya ucaplah terima kasih. Kerana itu, selepas ini Kak Pah selesa menguruskan sendiri album akan datang,” katanya.

Selesa bersendiri
Jadual padat Biduanita Sharifah Aini bukan sahaja melibatkan persembahan nyanyian, malah rutin hariannya kini lebih tertumpu kepada kerja-kerja hiasan dalaman dan masa untuk diri sendiri dan orang tersayang.

“Buat masa ini, Kak Pah selesa begini. Banyak masa Kak Pah dihabiskan bersama orang tersayang, anak-anak dan kawan-kawan. Inilah masanya Kak Pah membuat kerja-kerja yang digemari, malah Kak Pah juga mula belajar bermain piano sejak lapan bulan lalu,” kata wanita yang sudah 13 tahun menyendiri ini.

Mengakui kadangkala rasa kesunyian tanpa kehadiran lelaki di sisi, dia cepat mengisinya dengan berjumpa teman-teman yang sentiasa terbuka menerima kehadirannya.

“Mungkin belum tiba jodoh, atau mungkin juga kerana lelaki takut menghampiri. Bukan tidak ada yang mahu mendekati, tapi belum ada yang berkenan. Biarlah Kak Pah begini dahulu, sekiranya ingin ke mana-mana, tak perlu meminta kebenaran sesiapa,” tambahnya.

Sejak anak tunggalnya Aliff melanjutkan pengajian ke Madinah, Sharifah Aini selesa menunaikan umrah sambil melawat anak kesayangannya itu dua kali setahun. Malah itulah aktiviti wajib yang dilakukannya sejak 2002. Selain Aliff, wanita berpipi gebu ini turut mempunyai anak angkat seramai 12 orang di sana.

Post a Comment

0 Comments