Pada awalnya, seraut wajah cantik ini lebih terkenal di dalam bidang peragaan. Namun atas dasar ingin mencuba serta mencabar kebolehan diri, Noorfaezah Elai Md. Elai mula melebarkan pengaruhnya di dalam bidang lakonan.
Faezah mula mencuri tumpuan melalui filem ‘Otai’ apabila bergandingan dengan pelakon popular Saiful Apek dan Nasha Aziz. Namun, lakonannya di dalam filem tersebut yang agak 'kaku' mendapat kritikan banyak pihak.
Sedikit sebanyak kritikan yang dilemparkan itu mengguris hati wanitanya. Hingga dia pernah berura-ura untuk meninggalkan dunia lakonan kerana serik dengan segala tohmahan.
Bagaimanapun, rezeki gadis tinggi lampai ini memang cukup murah. Walaupun lakonannya dikritik dia tetap menerima pelbagai tawaran menarik hingga terpaksa menguburkan hasratnya untuk mengundurkan diri.
"Apatah lagi ramai peminat mula menyukai lakonan saya dan mereka menyifatkan lakonan saya semakin berkualiti. Saya anggap itu sebagai penghargaan daripada peminat kepada saya," ujarnya yang turut berterima kasih kepada pihak penerbit dan pengarah yang tidak jemu-jemu memberikannya peluang.
Menurut bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, selepas filem ‘Otai’ dia banyak menerima tawaran berlakon di dalam pelbagai genre drama. Daripada situ dia cuba memahami selok-belok lakonan serta tidak jemu-jemu menimba ilmu lakonan daripada pengarah yang mengarahkan drama lakonannya seperti Khabir Bhatia dan Shuhaimi Baba.
Katanya, drama bersiri ‘Sutera Maya’ yang dilakonkannya bersama Fasha Sandha, Ery Putra dan Ayu Raudhah, arahan Khabir Bhatia, memberikan pengalaman berbeza di dalam bidang lakonan. Melalui drama tersebut dia memegang watak sebagai seorang 'tomboy' dan lakonannya berjaya mendapat pujian banyak pihak.
Tambahnya, selain daripada tunjuk ajar yang diberikan oleh pengarah, dia juga menerima banyak ilmu lakonan daripada para pelakon senior yang pernah bekerjasama dengannya. Oleh sebab itu, katanya, dia kini mula yakin untuk bergelar seorang pelakon dan masih dalam proses pembelajaran demi meningkatkan mutu lakonannya.
Bercerita tentang perkembangan terbarunya, Faezah memberitahu dia baru sahaja selesai proses penggambaran drama ‘La Dolce Amira’ yang sedang hangat ditayangkan di TV3, setiap Selasa, pukul 9 malam. Selain itu, dia juga akan terlibat dengan penggambaran drama khas untuk bulan Ramadhan, terbitan Astro, pada Jun ini.
Katanya, dia tertarik untuk menerima tawaran berlakon di dalam ‘La Dolce Amira’, arahan Aida Fitri Buyong dan Ibrahim Elias itu kerana konsep serta jalan cerita yang ditampilkan sangat menarik. Apatah lagi idea asal drama tersebut diilhamkan oleh pengarah yang sangat diminatinya iaitu Shuhaimi Baba.
"Drama ini berbeza daripada kebanyakan drama yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Saya memegang watak sebagai Amira, gadis remaja yang berusia 18 tahun yang terlalu sensitif tetapi dalam masa yang sama agak kasar.
"Paling menarik, saya yang kini berusia 28 tahun diberi kepercayaan untuk membawakan watak yang 10 tahun lebih muda daripada usia saya yang sebenar," katanya.
Diusik dengan persoalan tentang hubungannya dengan pelakon Izaac yang dikatakan agak rapat sejak kebelakangan ini, dia mengakui selesa dengan pemuda tersebut. Namun hubungan mereka hanya terbatas sebagai kawan biasa.
‘La Dolce Amira’, drama terbitan Pesona Pictures ini, mengisahkan tentang sekumpulan remaja yang masing-masing mempunyai masalah keluarga lantas mencipta dunia mereka sendiri dengan mengharungi kehidupan yang materialistik.
Sebalik keceriaan itu, Amira berdepan dengan masalah rumahtangga ibu bapanya, Puan Yasmin dan Encik Azhan. Pelbagai cubaan sudah dilakukan oleh Amira untuk mengeratkan kembali hubungan mereka tetapi sering tidak menjadi. Amira tiada tempat mengadu. Abangnya Ariff bersikap endah tak endah dengan masalah ibu bapa mereka manakala adiknya, Arissa masih mentah untuk memahami situasi sebenar.
0 Comments