Marsha Hargai Peminat


Setiap selebriti ada cara tersendiri untuk menghargai para peminat. Ada yang suka menghabiskan masa dengan melancong bersama-sama dan tidak kurang juga yang gemar melakukan aktiviti kebajikan dengan peminat masing-masing dengan tujuan untuk mengeratkan lagi perhubungan yang terjalin.

Namun buat penyanyi terkenal Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milah Londoh, dia lebih selesa menghabiskan masa dengan mengadakan perlawanan bowling bersama peminatnya.

Katanya melalui aktiviti tersebut, dia bukan sahaja dapat mengenali peminatnya dengan lebih erat, malah boleh bertukar-tukar idea dengan para peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada kerjaya seninya selama ini.

"Selain peminat saya, pertandingan ini turut disertai oleh anggota kelab peminat beberapa penyanyi yang berasal daripada program realiti Akademi Fantasia (AF). Pada hari ini terdapat hampir 30 kelab peminat yang turut serta.

"Antara bekas pelajar AF yang turut datang bermain dan memberikan sokongan kepada kelab peminat masing-masing ialah Riz, Aishah dan Zizi. Bukan selalu kami dapat berkumpul begini kerana kebanyakan masa kami sering dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seni," ujar gadis kelahiran Tamparuli, Sabah ini ceria ketika bercerita tentang pertandingan bowling yang dianjurkan oleh kelab peminatnya di Mid Valley baru-baru ini.



Tambahnya selain bermain bowling, mana-mana peminat yang mempunyai kebolehan menyanyi boleh menunjukkan bakat masing-masing dalam acara karaoke yang disediakan. Malah Marsha sendiri sempat menghiburkan para peminatnya dengan beberapa buah lagu barunya termasuklah “Sayang”, duet bersama Ajai.

Bekas peserta AF3 ini juga memberitahu, pertandingan bowling yang diadakan merupakan acara tahunan kelab peminatnya. Bagaimanapun pada tahun lalu, mereka tidak berkesempatan untuk mengadakannya kerana dia sendiri terlalu sibuk dengan komitmennya sebagai penyanyi dan pelakon.

"Pada tahun lalu acara ini tidak dapat diadakan. Tetapi saya gembira dan bersyukur kerana pada tahun ini ianya berjaya direalisasikan. Memang ramai peminat yang tertanya-tanya kenapa tiada pertandingan bowling, tetapi apabila diberi penjelasan mereka akur dan faham.

"Pada hari ini saya rasa seronok dan puas kerana kesemua peminat yang datang cukup enjoy. Memang adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah, tetapi semangat setia kawan dan kerjasama yang dipupuk di sini membuatkan pertandingan ini lebih bermakna dan meriah," katanya.



Bercerita tentang kerjaya seninya, Marsha memberitahu dia kini bergelar duta produk kesihatan dan kecantikan, Bioteam. Katanya produk tersebut sangat bersesuaian dengan dirinya dan memberikan imej positif pada penampilannya.

Diusik tentang perancangan menghasilkan albumnya yang sudah sekian lama tertangguh, Marsha yang kini mempunyai syarikatnya sendiri, Marsha Londoh Entertainment mengakui albumnya akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Ujarnya dia kini sibuk mengumpul material yang bersesuaian agar lagu-lagu yang bakal dimuatkan di dalam album itu kelak berjaya memuaskan hati semua pihak.

"Perancangan untuk menghasilkan album saya sudah tertangguh sejak tiga tahun lepas. Oleh sebab itu kebanyakan lagu yang ada perlu diubah atau diberi susunan muzik baru agar ianya lebih sesuai dengan kehendak pasaran muzik sekarang.

"Sebab saya percaya orang sekarang tidak mahu mendengar lagu yang dihasilkan pada tiga tahun lalu. Mengikut perancangan album tersebut akan disiapkan pada tahun ini juga dan saya berharap para peminat sabar menantinya," katanya yang sudah bersedia untuk memasuki studio rakaman pada bila-bila masa.



Dijolok tentang soal teman lelaki, Marsha mengakui dia belum memikirkan tentang perkara tersebut. Pengalaman putus cinta yang pernah dilaluinya sebelum ini membuatkannya lebih berhati-hati dan mahu lebih fokus dengan kerjaya seninya yang semakin berkembang.

Post a Comment

0 Comments