Selepas berjaya mengendalikan program ‘Ewah-Ewah’ dan ‘Pondok-Pondok’, pelawak nombor satu negara tampil dengan program terbaru, ‘Hartamania’ yang dijangka bakal mendapat sambutan hangat daripada penonton apabila mula ditayangkan kelak.
Ke udara pada hari Isnin hingga Rabu jam 7 malam, Nabil yang bergandingan dengan pengacara program kanak-kanak yang semakin meningkat popular, Adruce, yakin program tersebut dapat diterima penonton. Apatah lagi konsep yang diketengahkan oleh ‘Hartamania’ berbeza jika dibandingkan dengan 'gameshow' sedia ada.
"Di dalam ‘Hartamania’ saya akan menjadi Kapten Bil dan Adruce sebagai Cengkerang. Ia sesuai untuk tontonan semua peringkat umur khususnya golongan kanak-kanak. Apa yang pasti program ini bukan hanya sekadar untuk keseronokan dan hiburan, tetapi secara tidak langsung mampu menonjolkan kebijaksanaan peserta dan menguji kemampuan serta IQ peserta yang terpilih," ujar bekas juara Raja Lawak musim kedua ini ceria.
Tambahnya berlatarbelakangkan pulau yang dipenuhi dengan harta karun, peserta akan diberi cabaran tertentu serta perlu menyelesaikan masalah dan menjawab soalan yang diberikan untuk mendapatkan ganjaran.
"Setiap minggu, tiga peserta akan bersaing untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya bagi merebut hadiah-hadiah menarik. Jika berjaya ke pusingan seterusnya, peserta akan dikehendaki memilih satu daripada tiga peti harta yang mengandungi soalan dan perlu menyelesaikannya.
“Peserta yang berjaya menjawab dengan tepat akan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah hebat dan menarik," jelas Nabil yang pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.
Dalam pertemuan itu juga, kekasih kepada pelakon jelita Irma Hasmie ini memberitahu dia telah menandatangani kontrak bersama Media Prima sehingga 2011. Katanya dia selesa bekerjasama dengan Media Prima kerana kontraknya membenarkannya bekerjasama organisasi penyiaran lain termasuklah RTM dan Astro.
"Kalau saya mengikat kontrak bersama Astro, mereka tidak membenarkan saya berbuat demikian. Saya rasa ini pilihan yang paling baik dan berharap kerjaya saya akan terus bersinar selepas ini," katanya yang memang terkenal dengan sikap selamba dan kelakar.
Sementara itu, Adruce ketika ditanya tentang Hartamania menyatakan program tersebut sangat berbeza daripada kebanyakan program yang pernah dikendalikannya sebelum ini. Ini kerana ‘Hartamania’ menyelitkan elemen pengetahuan am dan disulami dengan lawak jenaka.
"Setiap episod mempunyai jalan cerita yang berbeza kerana pihak produksi tidak mahu penonton bosan dengan cerita yang sama setiap minggu. Saya lihat ini satu perkembangan yang baik dan saya senang bekerjsama dengan Nabil," katanya yang pernah mengacarakan program ‘Misi Adruce’ sebelum ini.
Masih bersekolah dan kini melibatkan diri dalam dunia seni, Adruce yang pernah membintangi filem ‘Tentang Bulan’ mengakui tidak wujud sebarang masalah dengan persekolahannya. Katanya proses penggambaran ‘Hartamania’ dilakukan selepas sesi persekolahan iaitu pada jam 3 petang hingga 8 malam selama dua minggu.
"Walaupun saya bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada akhir tahun ini tapi ia tidak mendatangkan masalah kepada saya. Saya seronok dengan apa yang saya lakukan sekarang dan cuba untuk memberikan tumpuan terbaik kepada pelajaran dan juga bidang seni," katanya yang seronok menjalani penggambaran ‘Hartamania’.
Setiap episod ‘Hartamania’ mempunyai tiga pusingan. Pusingan pertama melibatkan sesi soal jawab, pusingan kedua pula peserta perlu melengkapkan tugasan yang diberikan dan di dalam pusingan ketiga, peserta akan "melengkapkan" peta dengan menjawab semua soalan dengan betul sehingga mendapat petunjuk mencari peti harta karun tersebut.
Pelbagai hadiah menarik menanti peserta yang berjaya seperti PSP, iPod, PS2 dan Gameboy Advance. Antara rakan penaja yang turut menyumbang dalam ‘Hartamania’ adalah Karangkraf, HEC Logistics, Sunway Lagoon, Sunway Pyramid Ice, Mega Kidz, Anime Tech, Pusat Hari-Hari dan Aquaria.
0 Comments