Inspirasi TV3 Hargai Penonton Setia TV3

Petaling Jaya, 12 Jun 2009 - Kehadiran bulan Jun sentiasa dinantikan oleh Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dengan menyediakan aktiviti istimewa setiap kali menyambut ulang tahun penubuhannya. Apatah lagi untuk tahun 2009 yang melakarkan catatan sejarah buat TV3 kerana terus unggul sebagai stesen nombor satu Negara dan berdiri teguh selama 25 tahun.

Pelbagai agenda disusun sepanjang tahun untuk meraikan sambutan jubli perak dan untuk bulan bersejarah ini, TV3 menganjurkan ‘Inspirasi TV3’ yang menggabungkan mini karnival dan mega konsert dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada hari Sabtu, 20 Jun 2009.

Sidang media mengumunkan penaja-penaja rasmi dan aktiviti yang dijalankan untuk Inspirasi TV3 telah diadakan pada 9 Jun 2009 bertempat di Hotel Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur. Majlis ini disempurnakan oleh Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar dan Ketua Segmentasi Pemasaran, Maxis Communications Berhad, Puan Rozalila Bt Abdul Rahman, Assistant Director, Imaging Communication Products Division, Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, Encik Simon Wong, Pengurus Rangkaian Program, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Puan Anida Tahrim, dan Pengurus Pemasaran Dan Komunikasi, Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur, Encik Abel Nelson Nang. Turut hadir memeriahkan sidang media ini ialah personaliti TV3 baru dan lama.

Objektif Inspirasi TV3 dianjurkan ialah untuk meraikan penonton-penonton TV3 sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang mereka berikan selama ini. Bersesuaian dengan tagline ulang tahun iaitu ’Inspirasi TV3’, pelbagai aktiviti riadah, informasi dan hiburan dianjurkan bermula jam 2 petang diikuti dengan mega konsert yang disiarkan secara langsung selama 2 jam bermula dari jam 9 malam dari tapak Dataran Merdeka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato’ Sri Farid Ridzuan, “Sejak tertubuhnya TV3 bermula 1 Jun 1984, pelbagai suka duka dan pahit manis yang dikongsi bersama-sama dengan penonton setia kami yang masih memberikan sokongan hingga ke hari ini. Penghargaan yang tidak terhingga kepada penonton yang masih percaya dengan keupayaan kami untuk menyediakan program-program yang berkualiti melalui saluran berita kami dan juga program-program berbentuk ilmiah, informasi, dokumentari dan hiburan.

Justeru pihak kami menjadikan bulan Jun sebagai acara tahunan untuk meraikan ulang tahun ini dengan menyajikan pelbagai program menarik dan turun padang untuk mendekati penonton. Begitu juga dengan sambutan jubli perak ini, Inspirasi TV3 merupakan penghargaan terhadap penonton dengan menyediakan mini karnival dan konsert sesuai dengan citarasa dan keinginan penonton.

Lebih Istimewa lagi, TV3 mengajak orang ramai untuk mengimbas kembali perjalanan stesen dari mula bersiaran hinggi kini dengan mempersembahkan tayangan istimewa audio visual sedutan program-program yang menjadi nostalgia selama 25 tahun. Semestinya tayangan audio visual ini akan mengimbau kembali peristiwa suka duka dan program-program yang masih terpahat di sanubari warga kerja TV3 dan juga penonton setia TV3 yang mengikuti perkembangan stesen ini selama 25 tahun.

Tidak lupa juga jutaan penghargaan kepada penaja sidang media pada hari ini Hotel Crown Plaza Mutiara, penaja utama Inspirasi TV3, HOTLINK, penaja bersama, Canon, stesen radio rasmi, Hot FM, para personaliti TV3 dan juga rakan-rakan media yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami.”

Puan Rozalila Bt Abdul Rahman, Pengurus Besar dan Ketua Segmentasi Pemasaran, Maxis Communications Berhad menyatakan,

“Hotlink berbangga memeriahkan Konsert Inspirasi TV3 sebagai Penaja Utama. Ini adalah satu lagi detik bersejarah dalam hubungan kami dengan TV3 dalam usaha membawakan yang terbaik untuk penonton Malaysia.

“Maxis melalui jenama prabayar nombor satu Malaysia, Hotlink, sudah lama menjadi penaja utama untuk pelbagai program bersama TV3 termasuk Jom Heboh yang telah pun masuk tahun ketujuh. Maxis juga terlibat secara aktif dalam Kembara TV3 dengan tujuan merapatkan jurang teknologi mudah alih dan internet untuk masyarakat luar bandar, yang secara tidak langsung dapat mempertingkatkan pendapatan sampingan mereka.”

Sempena meraikan Konsert Inspirasi TV3, Hotlink menawarkan cabutan bertuah berupa telefon mudah alih Sony Ericsson W910i untuk mereka yang menambah nilai RM60 atau pun mendaftar mana-mana pelan pasca-bayar Maxis. Dua pas ke Zon Hotlink juga diberikan kepada pelanggan Hotlink yang menambah nilai RM10 serta memuat turun satu Nada Dering (CRT). Setiap pelanggan setia Hotlink pula boleh mendapatkan satu baucer Kentucky Fried Chicken (KFC) bernilai RM5 dengan menebus nilai 200 mata ganjaran melalui Hotlink Rewards (satu baucer untuk setiap pelanggan.)

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan di gerai-gerai TV3, padang dan pentas utama ialah penjualan barangan istimewa 25 tahun TV3, My TV3 Samurai Shogun, Gusti Tangan Bionik, Masak Bersama Chef Jo, pertandingan pakaian beragam ibu dan anak, cabaran Ewah Ewah @ My TV3, sukan rakyat, pendaftaran ahli MyTV3 dan persembahan kebudayaan pelbagai kaum. Manakala persembahan mega konsert yang diacarakan oleh Ally Iskandar, Cheryl Samad dan Faizal Ismail akan membariskan penyanyi-penyanyi tersohor seperti Jamal Abdillah, M.Nasir, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Adibah Noor, Noryn Aziz, Aizat, Wings, Estranged, Hujan dan penyanyi undangan dari seberang, Afgan. Sidang produksi yang menjayakan Konsert Inspirasi TV3 ini ialah Khalijah Hj Mohamed sebagai Penerbit Eksekutif, Nurhul Huda Khalid sebagai penerbit.

Lapangkan diri bersama seisi keluarga dengan meraikan sambutan ulang tahun TV3 ‘Inspirasi TV3 dimeriahkan oleh Hotlink’ di Dataran Merdeka! Jom ramai-ramai..


Post a Comment

0 Comments