Serina Redzuawan Temui Pelindungnya


Ramai yang sudah tahu tentang perancangan anak dara Chef Wan, Serina Redzuawan, untuk mengikat tali kasih dengan tunangnya, Gavin, seorang warga British, pada 2 Januari depan selepas setahun berpacaran. Awalnya, majlis pernikahan itu dijadualkan untuk 1 Jun tetapi ditunda tarikhnya oleh Chef Wan kepada akhir bulan Julai atau awal Ogos kerana dirasakan 1 Jun terlalu awal. Namun baru-baru ini, Chef Wan memaklumkan yang pernikahan anaknya akan diadakan pada awal Januari depan. Berkesempatan bertemu Serina semalam selepas siaran langsung ‘Wanita Hari Ini’, dia menjelaskan tarikh 2 Januari dipilih agar ahli keluarga Gavin dapat hadir sama untuk majlis perkahwinan mereka. “Perkahwinan itu sepatutnya menyatukan dua keluarga. Jadi, kami tidak boleh mementingkan diri. Dia juga ingin keluarganya berada di sini menyaksikan hari bahagianya. Lagipun tak perlu kita tergesa-gesa. Kita pun sudah bertunang. Bagi orang putih, bila dilamarnya kita dan diterima cincinnya, kira kita sudah bertunang. Saya pun taknak bazirkan duit membuat majlis bertunang.”

Tak minat lelaki mat salleh
Tentang detik pertemuan mereka, kata Serina, “Sebenarnya hari yang kita malas nak keluar, hari itulah yang kita akan berjumpa dengan orang istimewa.” Hari itu harijadi pengurusnya dan Serina telah dibawa ke sebuah majlis. Gavin yang menegurnya dulu dengan memuji ‘headband’nya yang dikatakan cantik. “Rasanya tiada apa yang menarik pun tentang headband saya itu, tapi saya tahu dia nak cuba memikat saya. Saya tak minat lelaki mat salleh sebenarnya. Saya suka lelaki Melayu, ex-boyfriends saya pun Melayu, sebab saya orang Melayu. Tapi benda yang you taknak, itulah yang you dapat. “Risau juga menjalin kasih dengan lelaki berlainan bangsa sebab akan timbul masalah pemahaman tetapi dengannya, memang tiada masalah. Dia sudah tinggal di sini selama lapan tahun. Caranya seperti orang Melayu. Dia suka masakan pedas. Dan dia sudahpun masuk Islam sejak dua tahun lalu, jadi tak perlulah saya nak fikir macam mana nak Islam-kan dia. Seperti orang katakan, sudah jodoh,” cerita Serina yang memberitahu, Gavin atau nama Islamnya, Salahudin, memasuki Islam kerana baginya Islam agama yang bersih dan disukai konsepnya.

Terbongkar pembohongan
Selepas pertemuan pertama itu, mereka tidak berhubungan selama sebulan. Kalau bukan kerana hendak membawa seluarnya ke dobi, mungkin kisah Serina dan Gavin, yang mempunyai perniagaan sukan, akan berakhir dengan berbeza sekali. “Kad nama dia saya simpan dalam poket seluar dan saya lupa terus tentangnya sehingga hari saya mengemaskan pakaian yang nak dibawa ke dobi. Dia takde nombor saya sebab saya tak bagi. Saya bukan seorang perempuan yang senang dipikat lelaki. Saya tak suka lelaki yang ‘over’, yang menunjuk-nunjuk kemewahannya. Cara dia memikat saya simple dan tak menunjuk-nunjuk, dan itu yang saya suka. “Masa tu, terfikir juga nak call dia ke tak tapi bila teringat katanya yang saya takkan call, saya pun telefon sebab saya ni pantang dicabar. Nada suaranya masa tu memang excited. Katanya dia sudah sebulan menunggu call saya. Setiap kali dapat panggilan, dia ingatkan itu saya. Tapi masa tu, tak bagi juga dia nombor saya. Saya beritahu yang dia kena tunggu saya call, dan dia sabar menunggu.” Tambah Serina, pada pertemuan mereka malam itu, dibohongi Gavin yang dia seorang pelajar kerana nak menguji keikhlasannya. Menurutnya, Gavin pada mulanya ingatkan dia seorang model. “Saya beritahu dia mana boleh sebab badan saya berisi. Tapi katanya saya cantik, mungkin model produk. Saya pun tak dedahkan perkara sebenar hinggalah satu hari bila dia tanyakan kenapa setiap kali dia lalu Jalan Sultan Ismail depan Concorde Hotel, saya pasti ada di situ, berdiri tepi jalan. Saya kata takde, tak lalu pun situ. I pun pergi siasat. Rupa-rupanya, muka saya terpampang di perhentian bas di situ, posing untuk cover Harian Metro. Serba salah, saya pun akhirnya ajak dia keluar minum. Masa tu baru saya tahu rupa-rupanya dia sudah buat research tentang saya di Google.”

Gavin pelindungnya
Dedah Serina, antara kualiti yang ada pada dirinya yang telah memikat hati Gavin adalah caranya yang “bukan seperti artis atau seorang perempuan yang perlu di ‘maintain’, selamba, tidak hipokrit dan bijak. Buat Serina, Gavin tidak seperti kebanyakan lelaki mat salleh yang dilihatnya sebagai suka enjoy, pergi ke kelab. “Sukar untuk saya menyukai seorang lelaki mat salleh tapi nyata dia berbeza. He’s soft-spoken, a gentleman, supportive, susah nak marah, tidak merungut jika saya takde masa nak dating dengannya, seorang yang romantik dan suka memberi saya kejutan. Kami juga mempunyai banyak minat yang sama seperti main game, badminton, hiking …. Dia boleh menjadi pelindung saya. Seorang lelaki, bagi saya, perlu memimpin di dalam semua perkara. Saya rasa bertuah mempunyainya.” Bukan Serina seorang saja yang senang dengan Gavin, malah keluarganya juga. “Ayah memang suka dia kerana dia berpendidikan, tahu menghormati orang dan baginya, dia memang sesuai untuk saya. Lagipun, ayah orang lama, dia boleh menilai seseorang itu. Kali pertama saya bawa dia pulang berjumpa ayah, ayah siap cubit pipinya lagi sebab dia cute.”

Sedia jadi isteri, ibu
Ditanya adakah pada usia 26 tahun dia bersedia mengalas tanggungjawab sebagai seorang isteri, kata Serina, dia sudah bersedia sejak dua tahun lalu. “Saya matang awal. Ramai mengatakan saya tidak kelihatan seperti umur saya dan cara percakapan saya juga matang untuk seorang yang muda. Saya sudah biasa bergaul dengan orang yang lebih tua dan matang dari saya. Kalau hanya bergaul dengan kawan-kawan sebaya, saya hanya fikir tentang nak enjoy, boyfriend tetapi bergaul dengan orang yang lebih matang kita belajar tetang kehidupan, apa yang berlaku di dalam dan luar negara, bagaimana nak merancang untuk masa depan… “Saya memang sangat teruja untuk berkahwin dan ada anak. Saya nak anak cepat sebab pada usia muda lebih senang untuk menjaga dan membesarkan anak berbanding kalau sudah berumur tension juga nak jaga anak dengan karenahnya. Bila anak sudah besar, saya masih muda lagi dan kami boleh keluar bersama-sama.”

Post a Comment

0 Comments