Jika penyanyi lain cukup bertuah kerana punya syarikat rakaman yang sanggup melaburkan sejumlah wang yang besar bagi menghasilkan album mereka, namun buat penyanyi bersuara merdu Farhan, dia terpaksa mengumpul dan menggunakan wang sendiri untuk menghasilkan album sulungnya.
Walaupun terpaksa menggunakan duit poket sendiri, namun penyanyi muda berbakat besar ini mengakui perkara tersebut memberikannya kepuasan tersendiri. Apatah lagi dia bebas membuat pemilihan lagu, konsep serta penerbit yang akan bekerjasama dengannya.
"Kalau kita terikat dengan syarikat rakaman, kita perlu melakukan perkara yang mereka mahu buat atau mengikut perkembangan semasa dunia seni. Ini sedikit sebanyak membataskan kebolehan serta minat kita.
"Namun masing-masing ada cara sendiri dan saya tak kisah untuk mengeluarkan bajet sendiri asalkan saya puas dengan apa yang saya lakukan. Apa yang penting juga peminat yang selama ini ternanti-nantikan album saya akan berpuas hati setelah memiliki album tersebut kelak," jelas Farhan ketika ditemui baru-baru ini.
Album yang diberi judul ‘Bukan Mimpi’ itu, menurut Farhan, akan dipasarkan dalam masa terdekat kerana proses rakaman untuk kesemua lagu telahpun disiapkannya. Cuma kini dia perlu membuat sedikit perubahan agar album tersebut benar-benar bagus dari semua aspek.
"Saya tak kisah jika album saya lambat dikeluarkan berbanding artis-artis yang lain. Ini kerana apa yang penting bagi saya ialah kualiti album yang saya hasilkan. Apa gunanya saya hasilkan album secara terburu-buru tetapi tidak berkualiti hingga meninggalkan persepsi negatif peminat kepada saya.
"Sehingga kini saya amat berpuas hati dengan proses pembikinan album ini. Ini kerana album ‘Bukan Mimpi’ ini mengikut citarasa dan imej diri saya sepenuhnya.
"Kalau sesiapa yang mendengar lagu-lagu yang terkandung di dalam album ini kelak, mereka akan tahu siapa saya kerana ianya melambangkan diri saya. Saya yang pilih konsep lagu dan saya percaya mereka yang mendengar album ini akan tahu itu adalah suara dan lagu saya," katanya.
Ditanya tentang kos pembikinan album tersebut, Farhan berterus-terang memberitahu kosnya menjangkau sehingga RM80 ribu dan kesemua kos tersebut ditanggung olehnya sendiri.
Namun Farhan yang telah menubuhkan syarikatnya sendiri tidak gentar dengan percaturan tersebut kerana percaya jika dia terus berusaha dengan bersungguh-sungguh dia pasti akan berjaya. Malah ramai artis lain juga yang menggunakan kaedah yang sama untuk menerbitkan single terbaru mereka.
"Memang keadaan ekonomi sekarang tidak menentu. Malah syarikat rakaman pun tidak banyak yang berani untuk menerbitkan album artis-artis tempatan. Walaupun mengeluarkan duit sendiri, saya tidak berasa takut kerana saya telah berusaha sepenuhnya.
"Pada saya kalau album ini berjaya, itu memang rezeki saya dan kalau ianya kurang berjaya sekalipun, saya akan mencuba sekali lagi pada masa yang akan datang," jelasnya yang turut memuatkan lagu “Kelmarin” di dalam album tersebut.
Tambahnya melalui album itu dia turut bekerjasama dengan komposer dari Indonesia. Namun dia tidak mahu mendedahkannya kerana mahu memberi kejutan kepada para peminat yang telah banyak memberikan sokongan kepadanya selama ini.
Tentang gosip yang mengatakannya bercinta dengan Hazama pula, gadis manis yang dilahirkan melalui program popular, ‘Akademi Fantasia’ ini memberitahu dia dan Hazama hanyalah kawan biasa. Malah kini kerjasama antara mereka menjadi lebih erat kerana Hazama merupakan artis sulung syarikat Farhan iaitu Mezzo Forte Records.
"Walaupun Hazama tidak berjaya memasuki AF namun saya percaya dia mempunyai bakat. Malah sehingga kini dia mendapat banyak tawaran mengadakan persembahan. Itu membuktikan dia mempunyai peminat dan boleh berjaya di dalam dunia seni.
"Kini Hazama merupakan satu-satunya artis yang saya ada dan pada masa yang akan datang saya merancang untuk mengambil 'band indie' sebagai artis syarikat rakaman saya. Saya memilih 'band indie' kerana kebanyakan mereka cukup berbakat tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengembangkan bakat mereka sehingga dapat diterima dengan lebih meluas.
"Namun buat masa ini saya mahu fokus dengan album sulung saya dan jika album tersebut telah dilancarkan, barulah saya akan berbincang untuk menghasilkan album Hazama serta mencari penyanyi-penyanyi lain," katanya.
0 Comments