‘Suatu Ketika’ Martabat Peristiwa Sejarah Negara


Golongan muda khususnya remaja hari ini agak kurang mengenali para pejuang serta peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di negara kita suatu ketika dahulu. Ini kerana kurangnya pendedahan serta program yang berjaya menarik minat mereka untuk mendalami sejarah negara.

Atas inisiatif untuk membangkitkan rasa cinta kepada tanah air buat golongan ini, Astro melancarkan kempen 'Suatu Ketika' yang diharapkan mampu menyuntik semangat patriotik di kalangan rakyat Malaysia.

'Suatu Ketika' adalah sebuah dokumentari tentang kisah-kisah sejarah dan lagenda Malaysia yang akan dikupas melalui dua perspektif yang berbeza iaitu daripada aspek fakta atau sejarah serta interpretasi kreatif.

Di dalam majlis perasmian yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang yang diadakan di MaTiC, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia mengakui 'Suatu Ketika' merupakan sebuah program yang bagus dan diharap mampu memperkukuhkan nilai-nilai sejarah di kalangan rakyat Malaysia serta membina bangsa Malaysia yang berteraskan nilai dan budaya sejajar dengan kehendak Perdana Menteri yang menerapkan konsep Satu Malaysia.

"Program ini bukan semata-mata untuk berhibur tetapi juga mendidik para penonton tentang kisah-kisah sejarah yang pernah berlaku di tanahair kita.

"Kisah sejarah yang diterjemahkan melalui bentuk dokumentari dan drama bersiri ini dilihat sebagai sebuah pendekatan yang kreatif dalam menarik minat penonton khususnya di kalangan belia untuk menghayati sejarah Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Astro, Zainir Aminullah menyifatkan 'Suatu Ketika' yang menggabungkan elemen pendidikan, pengajaran dan hiburan dilihat amat bersesuaian dalam menyahut inspirasi kerajaan yang kini sedang giat dengan kempen Satu Malaysia.

"Kami akan menayangkan program dokumentari yang berdasarkan fakta sejarah dan lagenda serta menayangkan lapan buah drama bersiri yang akan menceritakan semula tentang kejadian sebenar dan membawa penonton mengimbau kisah sejarah, lagenda dan mitos yang cukup popular daripada dulu hingga kini.

"Kisah yang berbeza akan dipaparkan untuk tatapan seluruh rakyat Malaysia pada setiap bulan dan sebanyak 12 buah tajuk akan ditayangkan di sepanjang kempen ini. Kami memilih beberapa kisah lagenda kerana ianya cukup popular dalam kehidupan kita serta mempunyai mesej yang cukup baik untuk disampaikan" katanya.

Ditanya tentang pemilihan tokoh yang diketengahkan melalui program ini, dia memberitahu kesemua mereka mempunyai cerita yang menarik tetapi kurang diketahui oleh masyarakat umum kerana kurang pendedahan yang diberikan.

"Jika 'Suatu Ketika' mendapat sambutan yang menggalakkan, kami tidak teragak-agak untuk meneruskan kempen ini pada masa yang akan datang. Malah sekarang pun kami mempunyai beberapa orang tokoh serta pejuang yang dirasakan menarik serta boleh diketengahkan pada masa yang akan datang.

"Malah Datuk Joseph sendiri memberikan idea agar pahlawan-pahlawan yang ada di Sarawak ditampilkan untuk edisi yang akan datang," jelasnya.

Melalui 'Suatu Ketika', antara kisah-kisah bersejarah dan personaliti yang akan diketengahkan ialah Rosli Dhoby: Pembunuh atau Pejuang (Warkah Terakhir), Si Tanggang (Ibu, Ampunkan Aku), 1975: Serangan Tentera Merah (Soldadu Merah), Supermokh 10 (10), Laskar Senoi (Lembing & Layang), Tragedi Pos Dipang (Korban 44), 1511: Empayar Melayu Terakhir (Dendam Kesuma), Siapa Sybil (Apa Dosa Ku) dan Sepandai-Pandai Tupai Melompat (Tangkal Besi).

Post a Comment

0 Comments