Sejak mula diterbitkan pada tahun 1992, Melodi bagaikan tidak punya masa untuk berhenti bersiaran. Aktiviti persada hiburan yang sentiasa bergolak mendorong Melodi untuk terus tampil setiap minggu menghidangkan paparan yang dinanti umum.
Pada awal tahun ini, Melodi mencatat sejarah baru dengan pencapaian rating tertinggi sebanyak 2.3 juta.
Menurut penerbit Nas Ahmad, “Pelbagai faktor menyumbang kepada pencapaian Melodi, dari segi kualiti penerbitan, kandungan paparan, malah promosinya perlu diperkemas dan dimantapkan lagi bagi mengekalkan prestasi serta kredebilitinya.
“Tahun silih berganti, fungsi Melodi turut menempuh reformasi. Jika dulu Melodi hanya berfungsi menghidangkan paparan sekitar hiburan tempatan dan antarabangsa, kini secara tidak langsung Melodi menggalas suatu tanggungjawab umum iaitu memaparkan masalah yang diadukan kepada Melodi sama ada oleh penggiat seni, pengamal media, malah penonton dan masyarakat amnya.”
Pasti ramai masih ingat suatu ketika dulu perhatian utama penonton Melodi tertumpu kepada pengacara sahaja. Situasi ini kian berubah. Selain pengacara, kini ramai meminati Melodi kerana isi kandungannya, termasuk wartawannya juga! Kerana itu ‘Skuad Melodi’ kini ditampilkan. Ia dianggotai sekumpulan lima wartawan penyiaran hiburan yang kesemuanya punyai ketrampilan dan kehebatan tersendiri.
Skuad Melodi diterajui oleh penerbit rancangan ini sendiri iaitu Nas Ahmad. Segmen popular ‘Terjah’ yang dikendalikannya akan diteruskan. Selain Nas, satu-satunya wartawan Cina, Michelle Wee juga akan terus menggalas tugasan mengendalikan segmen ‘Serkap’. Bagi segmen ‘Kes’, wartawan Zamzuri Zaini atau ‘Ayau’ akan mengendalikannya.
Azmi Jamsari pula tampil dengan segmen baru iaitu ‘S.A.M.A.N’ (Selesaikan Apa Masalah Artis Negara). Seorang lagi wartawan, Azwan Azmi akan mengendalikan segmen baru iaitu ‘Bicara Filem’ – sebuah segmen yang khusus membincang dan memaparkan sekitar dunia perfileman tempatan dan antarabangsa.
Memandangkan hasil paparan Melodi yang semakin menyeluruh, beberapa segmen baru akan diperkenalkan. Antaranya Usik-usik Aja, Gegar!, Potensi, Simpati, Tahniah, Sila Jawab, Takziah, dan Gosip.
Wajah baru Melodi yang akan muncul bermula 21 Jun ini masih mengekalkan pasangan pengacara Wahid dan Fara Fauzana.
0 Comments