Adik-beradik popular, Tomok dan Isma telah mengadakan sebuah majlis kesyukuran di kediaman mereka di Cheras, Kuala Lumpur Sabtu lalu bagi meraikan para peminat serta sanak saudara yang banyak memberikan sokongan kepada mereka selama ini.
Akibatnya, Tomok (juara program realiti One In A Million (OIAM3) musim ketiga) dan Isma (finalis tunggal wanita Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7)) 'diserbu' oleh para peminat yang hadir sejak jam 11 pagi hinggalah majlis berakhir iaitu kira-kira jam 8 malam.
Walaupun Tomok dan Isma kelihatan agak letih kerana melayan tetamu yang tidak putus-putus bertandang, namun mereka berdua mengakui gembira dan terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat.
Tambah menarik, selain peminat serta saudara mara, rakan-rakan artis seperti Aril, Qhaud, Akim dan Rini dari AF7 tidak ketinggalan memberikan sokongan kepada Isma. Selain bekas pelajar AF7, Jaclyn Victor, Nine dan Anith juga hadir memeriahkan acara.
"Majlis ini diadakan khusus sebagai tanda kesyukuran di atas kejayaaan yang saya raih baru-baru ini dan sebagai cara untuk saya meraikan peminat yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya seni saya sejak saya bersama New Boyz sehingga kini," jelas Tomok yang kini semakin popular dengan lagu “Rindu Terhenti”.
Vokalis kumpulan New Boyz ini juga memberitahu dia begitu seronok kerana ramai peminat yang sudi menghadirkan diri ke majlis tersebut. Sebagai tuan rumah katanya, dia berusaha memberikan layanan terbaik kepada semua tetamu yang hadir.
Dengan kehadiran peminat yang 'melimpah ruah' itu juga membuktikan khabar angin yang mengatakan Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail berlagak sombong kepada para peminatnya selepas muncul sebagai juara OIAM3 tidak benar.
Bagaimanapun jejaka kacak berusia 25 tahun itu mengakui, dalam sesetengah situasi adakalanya dia gagal untuk memuaskan hati kesemua peminatnya. Apatah lagi jika majlis yang dijayakannya itu melibatkan acara yang besar hingga sukar untuknya berkomunikasi dengan peminat.
Namun sebagai penyanyi, dia cuba berusaha memberikan persembahan atau layanan terbaik agar semua pihak berpuas hati terutama para peminatnya terhibur dengan persembahannya.
Sementara itu, Isma ketika ditemui di majlis tersebut turut melahirkan rasa gembira kerana majlis itu berjalan lancar walaupun diadakan dalam suasana serba sederhana. Tambah menggembirakannya apabila sambutan yang diberi oleh peminat sangat memberangsangkan.
Bercerita tentang majlis tersebut, ibu kepada lima orang cahayamata ini memberitahu kesemua lauk-pauk yang dihidangkan kepada tetamu pada majlis tersebut adalah hasil kerja gotong-royong saudara mara mereka.
"Mengikut perancangan, kami nak tempah 'catering', tetapi selepas berbincang dengan saudara-mara, kami sepakat untuk memasak sendiri. Memang sedikit penat, tetapi kami puas apabila dapat melayan semua tetamu yang hadir dengan baik," ujarnya yang sempat menyanyikan lagu “Mawarku” bersama suami Zul, khusus untuk para tetamu yang hadir.
0 Comments