Bila Rambut Tak Dengar Kata -Bahagian 1

Tak kiralah betapa kamu sayangkan rambut, belum tentu ia akan turuti kehendakmu sentiasa. Kami tawarkan bantuan kepada masalah paling biasa berkenaan rambut agar semuanya sempurna selepas ini.

Kamu seringkali menyalahkan cahaya matahari kerana menjadi penyebab rambut rosak tak bermaya. Tetapi jangan lupa pendedahan kepada klorin (apabila kamu berenang di kolam renang), dan air masin (kala kamu menyelam scuba menerokai dunia lautan), semuanya juga boleh menjadi penyebab rambut kusam tak bermaya. Kami dah jumpa penyelesaian bagi masalahmu dan ia sebenarnya tidaklah sesukar yang kamu sangkakan.

BAGAIMANA HENDAK PASTIKAN KULIT KEPALA SAYA TIDAK TERLALU KERING DAN MENGELUPAS?
“Perubahan cuaca yang tidak menentu boleh menyebabkan kulit kepalamu jadi mengelupas,” jelas Lisa Akbari, pakar Trikologi. Apabila cuaca sejuk dan kurangnya lembapan di udara, kulit kepalamu boleh mengering. Jika kulit kepalamu terlalu kerap mengelupas dan muncul pula masalah-masalah lain (seperti di bawah), kamu mungkin menghadapi masalah kelemumur pula.

Jika inilah kesnya, eloklah kamu bertukar kepada syampu khusus untuk perawatan kulit kepala berkelemumur. Kebanyakannya mengandungi zink atau sulfur, yang bertindak sebagai agen antibakteria untuk membebaskan folikel daripada gumpalan dan meleraikan kepingan kulit dalam beberapa minggu, kata Akbari lagi.

Petanda Kamu Berkelemumur:

1. Rambut menjadi lemah dan mulai meleper. “Kepingan-kepingan kelemumur boleh menjerat lebihan minyak yang ada pada akar sehingga menjadikan rambutmu tidak lagi bouncy seperti dulu,” kata Philip Kingsley, pakar Trikologi.

2. Kulitmu menjadi sangat kering. “Jika bahagian yang dahulunya berminyak seperti di zon T, kini terasa ketat, kulit kepalamu juga akan kekeringan dan mulai mengelupas,” jelas Akbari.

3. Kamu mula perasan terdapatnya kemerahan atau ruam pada bahagian lain tubuh. “Jika terdapat ruam di bahagian belakang lengan atau kaki, kulitmu mungkin agak sensitif terhadap sesuatu dan kemungkinan besar kelemumur pun akan muncul,” tambah Akbari.

SAYA GEMAR GUNA GEL UNTUK KEMASKAN TEKSTUR RAMBUT KERINTING SAYA KETIKA MASIH LEMBAP, TETAPI IA SERING JADI TERLALU KERAS. ADA CARA NAK ELAKKANNYA?

Kamu perlu pastikan rambut betul-betul kering untuk apa jua produk penggayaan berfungsi dengan baik. Selepas mandi, lapkan rambut dengan tuala untuk serap lebihan air, kemudian tunduk dan keringkan (pengering jauh daripada rambut atau guna diffuser). Tak sampai lima minit pun dan ia memastikan gel, wax atau spray jalankan tugas dengan lebih baik. Serlahkan alunan rambutmu dengan tip di bawah.

Tip Penting Rambut Kerinting Apa perlu dipertimbangkan sebelum mendandan rambutmu:

1. Selepas bersyampu, guna perapi bermula dari hujung rambut ke atas. Jangan sapu tetapi scrunch, kemudian sarungkan shower cap dan biarkan seketika sementara kamu mandi. Bilas dengan air sejuk untuk elak frizz. Cuba Redken Fresh Curls Conditioner, RM54.
2. Jika rambutmu kerinting longgar, sapukan sedikit gel atau krim pada telapak tangan dan sapu sedikit pada alunan rambut untuk serlahkan bentuknya. Kirai rambut dengan jari, tak perlu berus atau sikat. Cuba L’Oréal Paris Studio Curl Power Curl Controlling Créme, RM22.90.
3. Untuk luruskan rambut, guna produk pelindung dan pastikan rambut kering. Jangan semburkan air atau sapu mousse ketika melurus, kandungan airnya akan buat rambut kerinting semula. Lurut serum untuk kilauan pada hujung rambut. Cuba Bain De Terre Recovery Complex Anti-Frizz Shine Serum, RM86. Untuk lebih tip tentang rambut kerinting layari www.naturallycurly.com

Post a Comment

0 Comments