Lebih meriah jadinya industri hiburan tempatan dengan kehadiran bakat baru Mohd Hairi Safwan Aznan atau Hairi, 21, yang sebentar tadi telah diumumkan sebagai juara musim pertama Anak Wayang.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini membawa pulang sebuah kereta Honda Jazz bernilai RM109,800, wang tunai RM10,000, tawaran berlakon 60 siri drama di Astro, dua tiket penerbangan ke Los Angeles, kamera Canon model FS21, rawatan kecantikan di Aster Spring selama setahun serta trofi.
Naib juara Hafiz Halim, 21, pula menerima wang tunai RM5,000, TV LCD 42 inci, kamera Canon model DC420 serta trofi.
Di pertandingan akhir malam ini, mereka diberi empat tugasan - melakonkan watak secara monolog, berlakon secara spontan di pentas kemudiannya di layar hijau dan teknik lakonan mereka diuji menerusi dua rakaman VT.
Melihat pada persembahan kedua-dua finalis, nyata Hairi lebih menyerlah dalam setiap tugasan yang diberikan. Lakonannya lebih natural berbanding Hafiz yang, memetik komen juri Nasha Aziz, terlalu mengikut skrip.
Hairi penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan teater sementara Hafiz yang menuntut di Universiti Multimedia, Cyberjaya dalam jurusan kewangan pernah berlakon di dalam drama 'Ghost', 'Gadis Kosmo', 'Puteri Aurora Beradu' dan 'Kami'.
Keputusan malam ini ditentukan 100 peratus oleh penonton melalui undian SMS. Panel juri terdiri daripada Erra Fazira, Rashid Sibir dan Nasha.
0 Comments