Jika sebelum ini sering mengadakan persembahan dalam majlis korporat atau di tempat-tempat istirehat sekitar Kuala Lumpur, kini, dua jelitawan yang bersuara mantap menjejakkan kaki ke Istana Budaya untuk Konsert Malam Nada Biru. Konsert yang diadakan buat julung kalinya di Lambang Sari cukup memberi kepuasan.
“Alhamdullilah, pada permulaan konsert ini saya cukup risau dan berdebar, namun segala-galanya berjalan dengan lancar,” ujar Atilia ketika ditemui selepas konsert yang berakhir sekitar 11.45 malam tadi.
Bagi Noryn Aziz, pemenang pingat emas dalam kategori R&B di WCOPA 2008, penglibatan dalam konsert ini cukup dibanggakan. Katanya, “Saya cukup teruja dan terharu. Selain itu cukup gembira pula apabila dapat terlibat dalam konsert Malam Nada Biru ini.”
Untuk rekod, Malam Nada Biru adalah satu siri konsert yang direka untuk menonjolkan bakat-bakat penyanyi tempatan di lokasi yang mempunyai sistem bunyi terbaik, selesa serta intim seperti di Lambang Sari. Pada 2010, jika mengikut perancangannya, Malam Nada Biru akan diadakan setiap bulan.
Kalau difikirkan, Atilia mahupun Noryn sudah biasa beraksi secara ‘live’. Jadi, apa yang ingin dibuktikan apabila mengadakan persembahan di bawah Konsert Malam Nada Biru yang dianjurkan oleh Mujik Productions ini?
“Biasanya, jika kami mengadakan persembahan, penonton biasa sibuk menjamu selera. Iye-lah, kami menghiburkan mereka dalam acara korporat atau ketika bersantai. Jadi bila mengadakan persembahan seperti ini, tumpuan penonton lebih kepada persembahan kami,” jelas Atilia juga Noryn dalam nada penuh gembira.
Arakian itu, mereka ditanya apa lagi kepuasan yang didapati. “Di kelab atau di acara korporat biasanya kami perlu patuh kepada beberapa peraturan. Yang utama, dikehendaki menyanyi lagu-lagu dari artis lain.
“Tetapi, dalam Malam Nada Biru ini, kami diberi peluang menyampaikan lagu-lagu sendiri. Itu sudah cukup memberi kepuasan,” ujar Noryn yang menyampaikan lagu “I’m Alrite” sambil dipersetujui Atilia.
“Selain itu, dengan adanya program seperti ini, ianya dapat menyebarluaskan genre nyanyian kami kepada orang ramai yang jarang berkesempatan untuk pergi ke kelab atau majlis-majlis korporat. Ianya juga berjaya menarik golongan peminat yang berbeza,” tambah Atilia.
Jika diteliti persembahan Malam Nada Biru yang berlangsung semalam, muzik yang disampaikan telah direka semula supaya lebih segar dan dinamik. Mengulas mengenai ini, Noryn berkata, “Muzik-muzik yang disampaikan memang direka semula. Ini kerana saya, mahupun Atilia yang sering menyampai lagu secara langsung ingin menyampaikan sesuatu yang berlainan kepada penonton malam ini. Ianya cukup istimewa.”
Selain itu, antara Atilia dan Noryn, kedua-duanya membawa genre yang berbeza. Atilia dengan genre jazz manakala Noryn cukup popular dengan nyanyian berentak R&B soul.
“Memang tujuan kami untuk bergandingan. Bukan sebagai pesaing, tetapi lebih kepada melengkapi antara satu sama lain. Itulah tujuan sebenarnya gandingan ini,” ujar mereka kala ditemui selepas Malam Nada Biru.
0 Comments