Setelah beberapa lama tidak menonjol dalam mana-mana majlis hiburan, Erma Fatima akhirnya menang besar di Anugerah Skrin 2009 (ASK09) yang baru sahaja melabuhkan tirainya sebentar tadi. Erma dinobatkan sebagai Pengarah Filem Terbaik melalui telemovie ‘Tersasar Di Jalanmu’ yang disiarkan di saluran RTM 1 di slot Panggung Seri.
Lima lagi kategori yang dimenangi oleh telemovie ini Drama Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik (Rosnah Mat Aris), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Norish Ismail), Lakon TV Terbaik dan Videografi Terbaik.
Tahniah juga diucapkan kepada Dr. Hatta Azad Khan kerana dinobatkan sebagai Pengarah FilemTerbaik menerusi filem ‘Wayang’. Filem yang diterbitkan oleh Universiti Teknologi Mara itu juga dipilih sebagai Filem Terbaik menewaskan ‘Susuk’, ‘Kami The Movie’, ‘Budak Kelantan’ dan ‘Talentime’. Malah, dua pelakon lelaki filem ini turut menempa kejayaan apabila Eman Manan diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Zulhuzaimy sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Bagai dijangka, Liyana Jasmay sekali lagi mencipta sejarah manis, apabila dia diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik melalui filem ‘Kami The Movie’. Sebelum ini pelakon genit ini telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia menerusi filem ‘Papadom’.
Menyentuh kepada anugerah yang dipertandingkan dalam kategori penerbitan dalaman pula, kemenangan kali ini dilihat lebih seimbang. Jika sebelum ini ramai yang melihat kemenangan selalu berpihak kepada satu stesen TV, tetapi perkara sebaliknya berlaku pada ASK09 kali ini. Penerbitan daripada Astro juga berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Rancangan Bual Bicara Terbaik (‘AC Di Sini 3’) dan Rancangan Hiburan Terbaik (‘Kemuncak Sehati Berdansa 2’).
Anugerah Yasmin Ahmad yang baru diperkenalkan pada tahun ini diberikan kepada Jaclyn Victor.
Secara keseluruhan, ASK09 mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman. 10 kategori untuk drama, tujuh kategori untuk filem dan enam kategori lagi untuk penerbitan dalaman. Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di televisyen dan pawagam mulai 1 Julai 2008 hingga 30 Jun 2009, selain pencalonan drama berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielsen Media Research mengikut genre masing-masing.
Majlis yang menampilkan Fara Fauzana dan Afdlin Shauki sebagai pengacara ini turut diserikan dengan persembahan daripada beberapa artis popular tanahair yang membawakan pelbagai genre lagu simbolik kepada konsep Hikayat Seribu Satu Malam.
Persembahan pembukaan daripada One Nation Emcees yang menyampaikan lagu “Seribu Satu Malam” cukup bertenaga dan menghiburkan. Begitu juga dengan persembahan daripada Jaclyn Victor, Black dan Lan. Gandingan ketiga-tiga penyanyi ini dilihat cukup unik dan berjaya mencuri perhatian penonton, sama ada di dalam dewan mahupun di rumah. Tidak ketinggalan persembahan penutup daripada diva nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza yang mengalunkan medley lagu popular beliau “Balqis”, “Nirmala” dan “Ku Percaya Ada Cinta”.
Senarai penuh pemenang ASK09:
0 Comments