Raja Azmi Nyaris Masuk Penjara


SHAH ALAM: Produser filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman pada Khamis, sekali lagi berdepan dengan Hakim Mahkamah Tinggi yang mengeluarkan waran tangkap kepadanya, pada tahun lalu.

Hakim Datuk Lim Yee Lan sekali lagi mengeluarkan waran tangkap terhadap Raja Azmi selepas wanita tersebut gagal menghadiri perbicaraan selaku saksi di mahkamah di sini.

Difahamkan, pelaksanaan waran tangkap tersebut dibuat di rumah penerbit filem '... Dalam Botol' itu di Taman Ukay Perdana, Ulu Klang, Ampang pada pukul 9.45 pagi dan dia dibawa ke mahkamah pada tengah hari Khamis.

Semasa disoal oleh Lim, Raja Azmi mendakwa ketidakhadirannya di mahkamah adalah disebabkan dia berada di hospital sejak empat hari lalu bagi menjalani pembedahan mata.

Selain itu, isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jailani Sidek itu juga mendakwa dia mengalami masalah di bahagian leher.

Lim: Kamu tidak memberikan sebarang dokumen kepada mahkamah?

Raja Azmi: Pada pagi itu, salah satu tulang saya tidak berada di tempat yang betul dan memberikan kesan kepada saraf dan menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak.

Wanita itu seterusnya memberitahu, dia juga menghidapi masalah ketumbuhan kecil di salah satu mata dan seorang doktor mata telah memberi cadangan untuk dia menjalani pembedahan mata menyebabkan dia ditahan di hospital.

Apabila sekali lagi ditanya mengenai dokumen yang dapat mengesahkan ceritanya, Raja Azmi menjawab, “seseorang sedang dalam perjalanan ke mahkamah untuk membawanya”.

Dia juga hanya berulang kali memohon maaf apabila Lim menyifatkan dia tidak mempunyai rasa hormat kepada mahkamah apabila tidak menghadiri prosiding sebanyak tiga kali.

Lim: Permohonan maaf kamu tidak cukup. Saya terpaksa menangguhkan kes ini banyak kali kerana kamu tidak hadir. Ini adalah kes yang sudah lama dan kamu merupakan saksi penting kerana kamu telah membuat akuan bersumpah.

Raja Azmi: Saya tidak diberitahu oleh peguam bahawa saya adalah seorang saksi penting.

Lim: Kamu adalah salah seorang defendan yang dinamakan dalam kes ini dan kamu menerima sepina sebagai saksi kepada plaintif. Kamu berada di sini kerana waran tangkap dikeluarkan dan saya tidak boleh membebaskan kamu tanpa jaminan.

Raja Azmi: Saya tahu, tetapi saya tidak mempunyai apa-apa.

Lim: Saya tahu, tetapi kamu telah memberikan banyak alasan. Saya boleh membebaskan kamu dengan ikat jamin supaya saya boleh menyelesaikan kes ini.

Raja Azmi: Saya tidak boleh memberikan jaminan selain daripada jaminan mulut.

Bagaimanapun, Lim tetap dengan keputusannya dan menetapkan agar Raja Azmi menjelaskan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua orang penjamin bagi memastikan kehadirannya pada tarikh akan datang, iaitu 22 Julai ini.

Sebaik sahaja mendengar jumlah tersebut, Raja Azmi dalam nada suara yang agak sebak memberitahu bahawa dia tidak mampu untuk menjelaskan wang jaminan sebanyak itu.

Lim atas budi bicara beliau, menangguhkan prosiding mahkamah untuk sementara waktu bagi membolehkan Raja Azmi mencari wang tersebut.

Difahamkan, Raja Azmi menjelaskan jaminan tersebut pada pukul 4 petang. - mStar Online

______________________________________________________
Jangan lupe tekan iklan2 yg ada dalam blog ini..
Cukup lah hanya sekali..Terima kasih..
Please Click the advertisment.Once is enough.Thank You
______________________________________________________

Post a Comment

0 Comments