Angels & Demons


Filem:
Angels & Demons

Barisan Pelakon:
Tom Hanks, Ewan McGregor, Ayelet Zurer, Stellan Skarsgaard dan Armin Mueller-Stahl

Genre:
Thriller, Adaptasi Novel (berdasarkan novel terkenal Dan Brown)

Ulasan:
Khabarnya, maklumbalas awal tentang filem baru Tom Hanks, ‘Angels & Demons’, agak seimbang setakat ini. Ada yang kata ia memeningkan kepala, lagi teruk daripada ‘The Da Vinci Code’, filem pendahulunya tiga tahun lepas. Ada pula yang berpendapat bahawa edisi ini ‘baik punya’, di mana jalan cerita yang deras lagi thrill ini “depa bagi terus kat kita non-stop”. Pada saya, sama seperti bukunya, ia merupakan sebuah karya ‘pulp fiction’ yang menghiburkan dengan kaedah yang lebih berjaya dan lebih mencengkam berbanding ‘The Da Vinci Code’. ‘Angels & Demons’ mempunyai barisan ‘cast’ yang sempurna untuk menyampaikan jalan cerita ‘thriller’ yang gelap gelita, kontroversi dan merbahaya seperti ini. Hanks kembali menjiwai semula watak Robert Langdon (ciptaan kesayangan novelis Dan Brown) yang kini nampak lebih tua, namun lebih ‘smart’ dan bergaya berbanding dalam filem pertama. Ewan McGregor yang menyerlah sebagai Camerlengo ataupun paderi muda yang terpaksa mengambil alih bandar suci Vatican setelah kematian mengejut Pope. Ayelet Zurer pula, yang kurang dikenali, pasti menawan sebagai Vittoria Vetra, escort Robert yang berkelulusan sains dan serba-berkebolehan dalam mengesan pembunuh dan menyelesaikan misteri. Stellan Skarsgaard, pelakon veteran lahiran Sweden (‘Exorcist: The Beginning’ dan sebagainya) teramatlah sesuai sebagai antagonis dalam filem seperti ini, memainkan watak seorang askar pangkat tinggi, Commander Richter. Armin Mueller Stahl pula sebagai antagonis memang mengejutkan dengan persembahan yang menakutkan. Campuran yang terkenal dari Hollywood dan yang agak asing daripada Eropah membuatkan barisan bintang filem ini lebih mahal berbanding 90% filem blockbuster yang keluar setiap bulan. Gabungan lakonan mereka mahal dan memberikan kepedasan yang dicari-cari untuk cerita yang cemas sebegini. Bandaraya Rom – yang sebenarnya LA digilap semula sebagai replika yang menakjubkan – di sini juga memberikan sesuatu yang ekstra untuk membuatkan otak kita lebih cerdas mengikuti misteri suram ini. Cerita ‘Angels & Demons’ pula, yang berkisarkan misi Robert dan Vittoria melawan masa demi menyelamatkan bandaraya Vatican (sekaligus landasan utama agama Kristian) daripada musnah disebabkan bom Illuminati, cukup mudah untuk dijadikan sebuah ‘movie’ yang laju, yang menambat minda selama satu setengah jam. Untuk sesiapa yang belum membaca bukunya, tajuk ‘Angels & Demons’, pasti menimbulkan gambaran dalam imaginasi sebuah perang besar antara malaikat dan jin. Namun ceritanya di sini antara dua sistem kepercayaan yang berbeza, dan perangnya lebih dingin dan kompleks, berkisarkan komplot dan konspirasi yang terbawa-bawa hingga mahu bunuh-membunuh dan melenyapkan agama lain.

Format “Digital”: Ok Tak Ok?
Filem berformat digital yang menjadi trend terbaru Hollywood juga memberikan kualiti tontonan yang lebih vivid, tulen dan interaktif berbanding kekayuan 35mm. Fikir-fikir balik, ‘Angels & Demons’ adalah filem terbaik untuk melihat sejauh mana filem digital dapat mengekalkan perhatian kerana ia bukanlah filem CGI ataupun aksi berlebihan – ia bergantung sepenuhnya kepada unsur dramatik. Selain itu, filem Ron Howard ini secara amnya membayangi ‘The Da Vinci Code’ yang agak rumit dan kompleks. Bukan sebab digital ke apa, cuma pembawaan ceritanya lebih pejal dan mudah dihayati, sesuai dengan sebuah adaptasi.
Apakah ‘Illuminati’?
‘Illuminati’, masyarakat rahsia ataupun pakatan bawah tanah yang wujud di Eropah buat beberapa tahun semasa lewat abad 1700-an. Pernah mengira Galileo dan Bernini antara ahli falsafah dan sains unggul sebagai ahli di antara lebih 2000 orang “ahli fikir” yang berkelulusan tinggi di dalam bidang sains, seni dan pentadbiran. Ada yang percaya bahawa organisasi ini wujud lebih awal lagi, sejak abad 1500-an, berasal dari Bavaria. Malah ada yang percaya bahawa Illuminati masih wujud di antara masyarakat moden dan secara rahsia mentadbir dunia dari tempat-tempat tertinggi hierarki koprat dan kerusi-kerusi kuasa teratas dunia. Dalam konteks ‘Angels & Demons’, konon-kononnya Illuminati ini masih ada dan merancang pembalasan dendam secara besar-besaran terhadap dunia Kristian kerana kekejaman-kekejaman silam, di mana ahli disyaki Illuminati telah diberkas dan dibasmi secara beramai-ramai seperti haiwan perosak.

Post a Comment

0 Comments