
Menjadi finalis Akademi Fantasia musim kelima (AF5) menjadikan gadis kecil molek Nadia dikenali ramai. Walaupun tidak berjaya merangkul gelaran utama, namun tuah tetap menyebelahinya.
Bakatnya dalam bidang nyanyian mula dikenali. Buktinya sebelum ini dia pernah berkunjung ke Bandung, Indonesia kerana menerima undangan nyanyian daripada sebuah band terkenal di sana, Red Peanut. Malah persembahannya diterima baik oleh para peminat, dan pendengar seberang mula membuka mata kepada bakat yang dimilikinya.
Namun buat masa ini rezeki untuk menghasilkan album sendiri masih belum berpihak kepada Nadia. Walaupun begitu, perkara tersebut sedikitpun tidak membuatkan penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini bersedih atau mengalah.
Sebaliknya dia mula mengintai peluang untuk mengasah bakatnya di dalam bidang lakonan pula. Lakonan pertamanya adalah melalui 'Angguk-angguk, Geleng-Geleng' yang bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi.
Menurut Nadia, sitkom tersebut menggabungkan ramai pelakon berpengalaman antaranya Khatijah Tan, Sabri Yunus, Imuda dan Along Cham. Berkat kesungguhan serta kerjasama semua pihak, proses penggambaran sitkom tersebut berjalan dengan lancar.
"Di dalam sitkom ini, saya memegang watak sebagai anak kepada Khatijah Tan dan Sabri Yunus. Banyak pengalaman baru yang saya timba dengan mereka. Ini merupakan lakonan pertama saya dan berharap peminat akan berpuas hati dan menerima kehadiran saya di dalam industri ini.
"Walaupun saya dah bergelar pelakon, tetapi itu tidak bermakna saya akan melupakan bidang nyanyian. Ini kerana nyanyian memang menjadi minat saya dan berharap pada masa yang akan datang, saya bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi, malah sebagai pelakon juga," ujar Nadia yang sebelum ini pernah menyanyikan lagu tema untuk filem ‘Histeria’.
Diminta komennya tentang AF7 yang kini semakin hangat diperkatakan, Nadia mengakui semua pelajar yang terpilih berbakat besar. Tidak kira sama ada mereka berjaya ke peringkat akhir atau tidak, mereka semua cukup bertuah kerana berpeluang menimba banyak ilmu seni di dalam akademi.
Jadi, katanya, mereka perlu berusaha dan menonjolkan bakat yang dimiliki agar para peminat tidak melupakan mereka sebaik sahaja musim AF7 berlalu.
"Nasihat saya mereka hanya perlu menjadi diri sendiri dan menonjolkan kelebihan yang ada pada diri mereka. Selain itu, mereka juga perlu perbaiki diri dan menjadikan kritikan yang diberi oleh juri bertugas sebagai pemangkin untuk menonjolkan persembahan yang lebih baik," katanya yang suka melihat persembahan Hafiz yang disifatkannya sebagai unik, tersendiri dan menghiburkan.
Diusik dengan pertanyaan tentang pembikinan album sulungnya, Nadia berkata dia kini masih menunggu peluang untuk menghasilkan album.
"Semua artis sudah pastinya mahu menghasilkan album sendiri. Saya sudah fikirkan konsep album sekiranya saya diberi peluang. Saya sukakan konsep rock dan rasanya ianya sesuai dengan imej saya. Selain itu, saya juga lagu-lagu rancak kerana saya seorang yang sukakan tarian.
"Tapi sekarang keadaan ekonomi kurang stabil dan tidak ramai artis yang mahu menerbitkan album buat masa ini. Kalau ada rezeki saya yakin akan muncul dengan album solo dan saya harap peminat akan terus mendoakan kejayaan dan memberikan sokongan kepada saya," katanya ramah.
0 Comments