Siti Rehat Dari AIM, AJL?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdengar cakap-cakap kurang enak didengar apabila ada yang mahu Dato’ Siti Nurhaliza berehat seketika daripada bidang seni suara kerana kehadirannya dirasakan menggugat peluang dan penyebab artis lain tidak berpeluang memenangi sebarang anugerah dalam acara hiburan.


Saban tahun, nama Siti Nurhaliza tidak pernah terkecuali daripada pencalonan Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL). Apabila sudah tercalon, jarang benar lagu nyanyiannya membawa kegagalan.

Namun, keseronokan tercalon sudah tidak bermakna sekiranya ada yang tidak berpuas hati dan mula berkira bila agaknya Siti bakal berundur untuk membolehkan kemenangan berpihak kepada orang lain.

“Selagi mampu menyanyi, selagi itulah Siti akan terus berada dalam industri. Siti menyanyi kerana ingin sama-sama memeriahkan industri, tapi kesian kepada industri hiburan tempatan apabila ada yang berfikiran sebegitu. Siti merakamkan album untuk sama-sama bersaing secara sihat,” akuinya. Album ‘Lentera Timur’ yang dipilih sebagai Album Terbaik AIM16 baru-baru ini mendapat saingan sengit daripada album Hujan. Rezeki tetap berpihak kepada Siti, selain album terbaik, lagunya “Di Taman Teman” turut dipilih sebagai Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (wanita). “Siti tidak pernah memikirkan mengenai persaingan siapa akan menang atau kalah. Bagi Siti yang penting pada sesebuah album ialah kualiti. Menang atau kalah perkara kedua,” katanya. Apabila Siti membuat album baru, ramai sudah menjangka Siti bakal beraksi di pentas AJL sekaligus menang. Namun kali terakhir beraksi di pentas final AJL22 lalu, Siti gagal memenagi kategori pop rock untuk lagunya, “Destinasi Cinta”. AJL22 juga dikatakan tahun terakhir untuk Siti beraksi dan ingin berehat untuk beberapa ketika. Sejak ‘Lentera Timur’ dipasarkan akhir Disember 2008, ramai sudah menjangka Siti bakal muncul kembali di pentas AJL memandangkan lagunya, “Di Taman Teman”, sudah pun dicalonkan. Apakah Siti masih berpegang kepada janjinya untuk berehat seketika? “Awalnya Siti tidak tahu lagu tercalon kerana proses pencalonan dilakukan pihak TV3. Siti tidak kisah andai tidak bertanding, tetapi ye-lah, Siti hargai jasa orang yang bertungkus lumus menyiapkan lagu itu. Siti tetap berehat daripada AJL tahun ini,” katanya. Sukar meramalkan apa yang akan terjadi di masa akan datang. Tentu sukar untuk membuat keputusan sedemikian, tapi apa boleh buat andai empunya membuat keputusan sebegitu.

Album kerohanian dan produk kecantikan
Walau apa pun cabaran dan dugaan yang dilaluinya, sedikit pun tidak mematahkan semangat wanita kental ini. Malah, dia semakin bersemangat menghasilkan album berciri kerohanian dan ketuhanan yang bakal berada di pasaran Ramadan nanti.
“Setakat ini lagu “Asma Ul Husna” bakal dimuatkan dalam album yang mengandungi lapan lagu. Lagu-lagu yang bakal dirakam terdiri daripada lagu sedia ada serta lagu baru,” kata Siti. Minat dan cinta terhadap bidang kecantikan membuatkan Siti teruja untuk memulakan jenama kosmetik dan penjagaan wajah. “Setakat ini kajian yang dilakukan pihak Siti sudah 60 peratus siap. Harapnya dapat dilancarkan pada tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan,” terangnya. Bukan mudah mencipta barangan di bawah label sendiri, lebih-lebih lagi terpaksa meninggalkan jenama sedia ada yang digunakan sejak awal. Namun semua itu tidak menjadi halangan untuknya terus membuka cabang perniagaan baru dan dia sendiri sedang mencubanya. “Takkanlah Siti tak guna produk sendiri. Semestinya Siti harus melihat hasilnya terlebih dahulu sebelum menyarankan orang lain menggunakannya. Produk ini nanti sesuai digunakan oleh semua golongan dan harganya juga berpatutan, mengikut jenis produk yang dipilih,” tambah Siti.

Post a Comment

0 Comments