Ako Tertekan


April lalu, pelakon drama Muhaizad Ahmad Mustapha atau lebih dikenali sebagai Ako Mustapha telah pun dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur setelah dia mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam, Anang Sagunting, di sebuah kondominium dua tahun lalu.

Keputusan yang dibuat oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad itu agak mengejutkan banyak pihak kerana Ako merupakan artis pertama tanah air yang dijatuhkan hukuman penjara dan denda sekaligus bagi kesalahan khalwat. Sebelum ini ramai yang telah terlepas daripada hukuman penjara seperti Awie, Nabila Huda, Hairie Othman, dan ramai lagi.

Bahkan, ketika keputusan itu dijatuhkan, Ako baru sahaja mendirikan rumahtangga bersama gadis pilihannya, Kartina Shuaib yang berasal dari Sandakan, Sabah. Bagaimanapun, hakim mempunyai alasan tersendiri kerana Ako dianggap telah menghina mahkamah setelah empat kali gagal menghadirkan diri semasa sebutan kes yang lalu.

Walaupun Ako telah dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan, tetapi hingga kini dia masih bebas kerana mahkamah yang sama juga telah membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Bagaimanapun, Ako telah diarahkan membayar denda RM3,000 dan bon jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin kakitangan awam pada hari hukuman dijatuhkan tempoh hari.

Kini, setelah hampir tiga bulan berlalu, berita tentang pelakon ini sudah jarang kedengaran. Cuma sesekali wajahnya ada menghiasi kaca televisyen melalui slot drama. Pasti ramai yang ingin tahu apa yang dilakukan Ako sekarang ini bukan? Kenyataannya, Ako tidak berada di penjara seperti yang sibuk diperkatakan. Ketika dihubungi GUA lewat tengahari semalam, Ako memberitahu GUA sekarang ini dia menjalani rutin kehidupannya seperti biasa di samping isteri tersayang.


“Sekarang ini saya menjalani kehidupan seperti biasa bersama isteri. Sehingga kini tiada lagi perkembangan tentang kes khalwat saya itu. Saya masih menunggu berita daripada peguam. Apa yang diberitahu kepada saya, ia akan mengambil masa tiga bulan hingga ke setahun untuk dibawa ke mahmakah tinggi. Memang perkara ini memenatkan, tetapi saya perlu hadapinya dan harap ia akan berakhir secepat mungkin dan keputusannya positif,” ujar Ako dalam nada yang agak muram.

Diminta mengulas tentang kariernya sekarang ini, Ako tanpa berselindung memberitahu yang dia sekarang ini kurang mendapat tawaran berlakon. Perkara ini berlaku sebaik sahaja dia dijatuhkan hukuman penjara tempoh hari. Menurut Ako walaupun dia tidak ‘digam’ oleh mana-mana pihak tetapi tidak ramai yang berani menawarkan peluang berlakon kepadanya. Drama bersiri terakhir yang dibintangi olehnya ialah ‘Matahari’ yang disiarkan di TV3 baru-baru ini.

“Apa yang saya alami kini memang membuatkan saya agak tertekan, tetapi saya sangat bersyukur kerana isteri, keluarga dan sahabat-sahabat banyak memberi sokongan. Tidak ada yang menghina atau mengutuk saya sebaliknya mereka sentiasa berada di sisi untuk sama-sama mengharungi masalah ini.

“Saya juga ada berita baik untuk dikongsi bersama peminat di luar sana. Sekarang ini isteri saya, Tina telah pun hamil tiga bulan dan jika semuanya selamat, hujung tahun ini saya akan bergelar bapa. Saya memang tidak sabar-sabar untuk menimang cahaya mata. Tidak kisahlah dapat anak perempuan atau lelaki, yang penting baby itu nanti sihat. Dengan masa yang banyak terluang sekarang ini, saya dan Tina sama-sama belajar cara untuk menjaga kandungan. Maklumlah, ini kelahiran anak pertama.”

Sementara itu, GUA juga sempat berbual dengan Tina dan bertanyakan tentang perasaannya setelah terpaksa mengharungi pengalaman yang agak memeritkan.

Menurut isteri kesayangan Ako ini, dia memang agak tertekan dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi ia terjadi sehari selepas dia diijabkabulkan. Bermula dengan berita waran tangkap sehinggalah kepada hukuman penjara.

“Hati mana yang tidak sedih apabila suami dijatuhkan hukuman sebegitu, tetapi saya terpaksa hadapinya. Saya tidak tahu bagaimana mahu menceritakan tentang perasaan sini, ia bercampur-baur. Apa yang penting sekarang ini saya sudah semakin ‘kuat’ dan tumpuan utama saya sekarang hanyalah kepada kandungan. Saya tidak mahu terlalu memikirkan masalah ini kerana risau ia akan menjejaskan kesihatan kandungan,” luah Tina kepada GUA.
Sumber:Gua.com.my

Post a Comment

0 Comments