Lan Ucapkan Selamat Tinggal Pada MUH


Bukan lagi satu khabar angin. Lan sah sudah tidak lagi bersama Meet Uncle Hussain (MUH). Masalah dalaman yang telah membelenggu kumpulan yang meraih gelaran Juara Lagu dan Juara Pop Rock di Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) pada awal tahun ini, akhirnya membawa kepada perpisahan vokalis utama, Lan dengan kumpulan yang diasaskan bersama Taja dan Afat sejak 2001.

Pengumuman itu dibuat Taja ketika sidang media Konsert Generasi Baru sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2009 semalam. Keputusan itu dicapai Isnin lalu apabila Lan dikatakan sudah nekad nak bergerak solo. Penampilannya di Konsert Generasi Baru pada 5 Julai di Hard Rock Cafe merupakan kemunculan terakhir Lan dengan MUH.

Kegemilangan yang diraih bukan saja di AJL23 tetapi juga di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (Artis Berkumpulan/Duo Popular) dan Anugerah Industri Muzik 16 (Artis Baru Terbaik) sepanjang enam bulan ini tercemar begitu saja. Segala pengorbanan dan kesusahan yang dilalui selama ini seakan tidak membawa sebarang makna. Sebuah kumpulan yang penuh potensi tetapi begini pengakhirannya.

Diingatkan kekusutan diantara Lan dan anggota MUH yang lain sudah diselesaikan. Malah Lan pernah berjanji akan berubah. Tetapi selepas beberapa bulan, terbaca pula cerita dia kembali kepada perangai lama. Ada juga terdengar khabar angin yang dia tidak senang dengan cara pengurusan band.

Sebelum ini, apabila diajukan soalan apa sebenarnya masalah Lan, pengurus MUH Kimi memberitahu, Lan tidak pernah berkongsi masalah peribadinya dengan dia atau mana-mana anggota MUH.

Ceritanya lagi, sebelum ini sudah beberapa kali Lan meluahkan hasrat untuk bergerak solo. Oleh itu, bila dihantarnya satu SMS kepada Kimi pada 23 Mei lalu (hari berlangsungnya Majlis Penyampaian Hadiah ABPBH08 dimana dia gagal menghadirkan diri), memaklumkan itu mungkin minggu terakhirnya bersama MUH, kerana katanya dia mempunyai peluang yang baik dan ingin fokus pada kerjanya, Kimi dan anggota MUH lain tidak mengambilnya begitu serius.

“Sudah biasa kami mendengar dia bercakap begitu. Tetapi, jika benarlah itu keputusannya, tiada sesiapapun yang akan menghalangnya. Mungkin bukan rezeki MUH dengan Lan. Walau apa pun, kami akan sentiasa menyokong antara satu sama lain.”

Dengan pengunduran Lan, apa pula masa depan MUH? Siapa vokalis yang bakal mengambil tempatnya? Dedah Taja, walaupun sudah ditemui beberapa calon yang sesuai, namun keputusan terakhir belum dibuat.

Jika inilah keputusan yang dicapai, apa lagi yang mampu peminat lakukan melainkan mengucapkan “all the best” buat Lan dan MUH. Semoga keputusan yang dicapai ini benar-benar yang terbaik buat semua.

Post a Comment

0 Comments