Bob, Sarah Diintai Hollywood


Umum sudah pun mengetahui pasukan Malaysia telah melakar kejayaan cemerlang di World Championship of Performing Arts 2009 (WCOPA 2009) di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat pada 11 – 19 Julai lalu.

Secara keseluruhannya, Malaysia telah memenangi 59 pingat yang terdiri daripada 38 pingat emas, 16 pingat perak dan lima pingat gangsa. Malaysia telah diwakili 22 peserta untuk bertanding dalam lima kategori iaitu vokal, muzik, tari, model dan lakonan bagi lingkungan umur 18 – 30 tahun.

Seperti biasa, kategori vokal pasti menjadi perhatian kerana ia diwakili oleh penyanyi komersial yang sudah pun mempunyai nama dan dikenali ramai. Jika tahun lepas Noryn Aziz berjaya memenangi tiga pingat emas serta satu perak dalam lima kategori yang disertainya, kali ini Yusrizan Usop (Bob AF) dan Siti Sarah pula meraihkan kejayaan besar.

Bob membawa pulang empat pingat emas untuk kategori Pop, Kontemporari, World Music dan Terbuka. Bagi kategori R&B / Jazz, dia hanya berjaya mendapat perak. Lebih hebat lagi, Bob turut dianugerahkan World Champion untuk kategori Kontemporari dan Terbuka.

Manakala Siti Sarah yang bertanding untuk lingkungan umur 18 – 25 tahun meraih emas untuk kategori World Music dan R&B / Jazz serta pingat perak untuk kategori Terbuka.

Kejayaan kedua-dua penyanyi ini memang boleh dibanggakan kerana mereka terpaksa bersaing dengan beratus-ratus peserta dari 27 buah negara lain.

Bob yang ditemui semasa majlis sambutan dan sidang media di Istana Budaya petang semalam melahirkan rasa syukurnya kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana berjaya mengukir kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa. Malah, saya juga bangga kerana diiktiraf sebagai World Champion untuk tiga kategori yang disertai. Bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan ini jika tidak memenuhi kriteria yang diperlukan. Selain itu, saya juga sangat bangga apabila lagu Melayu berjaya menambat hati juri. Ini terbukti apabila lagu duet saya dengan Hasmidar (juga peserta Malaysia) ‘Bagaikan Sakti’ menjuarai kategori vokal untuk berduet,” ujar Bob bersemangat.

Dalam masa yang sama, penyanyi yang lahir daripada program realiti ini turut memberitahu yang dia mempelajari banyak perkara dengan menyertai pertandingan ini.

“Bukan setakat menyanyi, tetapi banyak perkara lain yang telah saya pelajari sepanjang tempoh berada di sana. Ini kerana di sana ada bengkel dan seminar yang mendedahkan setiap peserta dengan bidang yang ingin diceburi. Setiap penceramah pula bukanlah calang-calang orang, semuanya nama-nama besar dalam industri. Saya juga kagum dengan cara kerja mereka, sangat profesional,” tambah Bob yang mengakui dirinya turut diintai oleh beberapa pihak untuk berkerjasama.

Sementara itu, Siti Sarah yang membawakan lagu “Ghazal Untuk Rabiah” untuk kategori World Music turut mendedahkan perkara yang sama.

“Di sana saya mendapat beberapa tawaran menarik untuk saya mengembangkan bakat yang dimiliki. Buat masa ini tiada lagi kata putus yang diambil. Tetapi saya melihat perkara ini sebagai perkembangan positif kerana ia menunjukkan bakat saya boleh diterima masyarakat antarabangsa. Satu perkara yang jelas di sana ialah mereka menilai seseorang dengan bakat yang dimiliki bukan kerana paras rupa.”

Berkongsi cerita tentang penyertaaannya dalam pertandingan berprestij itu, Siti Sarah memberitahu yang dia berpuas dengan persembahannya. Bagaimanapun, dia agak kecewa dengan kesilapan teknikal yang berlaku ketika dia mahu menyampaikan lagu untuk kategori Broadway sehingga menyebabkan dia terpaksa menukar lagu pada saat-saat akhir.

“Tahun depan jika pihak kerajaan masih ingin menghantar peserta ke pertandingan ini, saya ingin hulurkan bantuan untuk mencari bakat bagi mewakili Malaysia. Pengalaman berada di sana baru-baru ini telah membuka mata saya untuk membantu,” luah Siti Sarah yang akan muncul dengan single terbaru tidak lama lagi.

WCOPA telah 13 tahun dianjurkan dan antara artis yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas berprestij itu ialah Syafinaz Selamat, Deja Moss, Noryn Aziz, Dina dan Ikhwan.

Post a Comment

0 Comments