Saerah-Imran Hanya Kawan


Jika anda masih ingat, pada awal tahun ini adik kepada Datuk Siti Nurhaliza ini pernah digosipkan dengan Imran Ajmain. Semuanya gara-gara aksi mesra Saerah dan Imran ketika menghadirkan diri ke Anugerah Juara Lagu ke-23. Bermula dari saat itu, pasangan ini tidak lepas daripada perhatian media yang ingin tahu tentang perkembangan hubungan mereka.

Bagaimanapun, kisah cinta pasangan ini kurang diperkatakan buat seketika kerana tidak ada saksi yang terlihat mereka keluar berdua-duaan. Malah, ketika majlis pelancaran album terbaru Imran pada Mei lalu, Imran turut mengeluarkan kenyataan yang dia tidak menjalin hubungan cinta dengan Saerah.

Namun, kemunculan Saerah pada majlis pelancaran album Imran di Singapura baru-baru ini menguatkan kepercayaan banyak pihak yang mereka sememangnya menjalin hubungan istimewa. Lebih-lebih lagi Saerah sanggup turun ke majlis itu walaupun keadaan kesihatannya tidak memuaskan. Bukan setakat itu, Saerah juga berduet dengam Imran mendendangkan lagu “Jika Engkau Pergi”.

Sebaik sahaja majlis berakhir, GUA terus mendapatkan Saerah untuk bertanyakan tentang status perhubungannya dengan Imran.

“Saya dengan Imran tiada apa-apa. Cuma kawan baik sahaja. Memanglah saya tidak sihat sekarang ini, tetapi saya hadir kerana saya telah berjanji dengan Imran awal-awal lagi. Saya tidak mahu menghampakan dia. Terus-terang saya katakan, saya langsung tidak terlintas untuk bercinta dengan Imran. Kami akrab sebagai seorang kawan. Tidak lebih daripada itu,” tegas Saerah.

Ditanya adakah dia bersedia membuka pintu hatinya kepada Imran pada masa hadapan, Saerah hanya memberikan jawapan yang dia tidak tahu apa yang bakal berlaku.

“Soal jodoh ini saya tidak berani komen lebih-lebih. Semuanya di tangan Allah. Saya memang menyenangi Imran kerana dia seorang tegas dan pandai berjenaka. Tetapi hubungan kami sekarang ini bukan ke arah perkahwinan, walaupun usia saya sudah pun menginjak ke 27 tahun,” tambah Saerah lagi.

Sementara itu, Imran turut menyokong kenyataan yang diberikan Saerah.

“Siapa kata kami bercinta? Tidak betul tu, kami hanya berkawan baik. Saerah sentiasa ada di sisi apabila saya memerlukan sokongan daripada kawan-kawan. Saya senang dan selesa dengan dia kerana dia seorang yang ceria dan ada ‘sense of humour’. Kami boleh serasi mungkin kerana saya ini seorang yang emosional, jadi apabila tidak terlibat dengan apa-apa persembahan, saya perlukan seorang kawan yang boleh berjenaka,” terang Imran kepada GUA.

Selain itu, Imran juga sempat meluahkan perasaannya yang dia tidak merasakan perhubungannya dengan Saerah boleh pergi lebih jauh kerana masing-masing berasal daripada keluarga yang latar-belakangnya jauh berbeza.

“Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum saya dan Saerah mengambil keputusan untuk bercinta. Lebih-lebih lagi saya ini rakyat Singapura. Saerah pula adalah adik kepada Datuk Siti Nurhaliza. Jika kami bercinta atau berkahwin, pasti banyak tekanan yang akan kami terima. Pihak keluarga dan peminat pasti mengharapkan sesuatu dengan perhubungan tersebut. Jadi, lebih baik kami kekal sebagai kawan baik,” luah Imran mengakhiri perbualan.

Dalam perkembangan lain, Saerah akan hadir dengan album mini yang memuatkan lapan buah lagu tidak lama lagi. Album yang materialnya sudah 40 peratus siap ini akan menampilkan tiga lagu solo dendangannya sendiri, tiga lagu berduet dengan Saida dan dua lagu duet bersama Siti.

Post a Comment

0 Comments