Tiada Sengketa Jamal–Ogy


Penarikan diri pelakon dan pengarah, Ogy Ahmad Daud daripada konsert muzikal pertama Jamal Abdillah bukan kerana wujudnya persengketaan antara mereka. Sebaliknya faktor masa menjadi punca mengapa pelakon itu tidak dapat memberikan kerjasama kepada pasangannya dalam filem ‘Azura’ itu.

“Tiada masalah antara saya dan Ogy. Kami masih lagi berhubungan baik. Malah dia sendiri menarik diri selepas dua minggu tawaran diberikan kepadanya dan ketika itu perjalanan konsert ini masih di peringkat perbincangan,” kata Jamal ketika ditemui pada majlis sidang media konsert ‘Kembara Seniman’ semalam.

Selepas Ogy menarik diri, tempatnya digantikan Zainal Abiddin Bujang yang bertindak sebagai pengarah persembahan dan pengarah tari untuk konsert yang berlangsung selama lima hari itu. Juara Bintang RTM 1979 ini berharap penarikan Ogy tidak disalah erti dan disensasikan.

“Saya dapat merasakan penarikan Ogy akan disalah erti. Perlu saya jelaskan, saya sendiri yang menulis skrip untuk konsert muzikal ini, dan Ogy hanya bertindak selaku pengarah. Kerana itu apabila Zainal menggantikan Ogy, tidak ada sebarang masalah berlaku,” ujarnya.

Selain Zainal, konsert terbitan Bintang Channel ini turut melantik S. Atan sebagai pengarah muzik dan Mohd Fairuz Ariffin sebagai pengarah artistik.

Tetap semangat tanpa penaja
Sebagai penghibur yang sudah berkecimpung dalam industri hiburan Malaysia selama 30 tahun, kekecewaan tetap dirasai apabila tiada penaja besar yang sudi bekerjasama dengannya.

Namun itu sedikitpun tidak mematahkan semangat kental Jamal sekaligus menolak tanggapan dia tidak mampu berdikari.

“Sehingga kini saya masih berharap ada pihak yang sudi menaja ‘Kembara Seniman’ ini. Apabila ada penaja, skala konsert juga dapat diperbesarkan. Namun jika tiada penaja pun, konsert tetap berjalan dengan 40 orang pemuzik sahaja,” kata Jamal yang mengimpikan ‘Kembara Seniman’ diiringi pemuzik orkestra seramai 65 orang.

Mengambil iktibar daripada konsert ‘Satu Wajah’ M Nasir yang dibatalkan pada saat akhir, Jamal tidak mahu menghamapakan peminat yang mahu melihatnya beraksi selepas lama berehat daripada mengadakan konsert solo.

Jamal turut mengundang tiga pemenang Bintang RTM 2009, Nur Ernie Shahirah Zakri, Jo-Anna Sue Henley Rampas dan Nur Fatin Nabila Noor Sazley sebagai artis undangan.

“Bukan tidak mahu menjemput artis lain, tetapi memikirkan konsert ini bakal berlangsung selama lima hari, tentu sukar untuk mereka memberikan sepenuh kerjasama. Apabila menjemput ramai artis, bermakna saya juga perlu mengeluarkan belanja besar. Jadi saya fikir eloklah diketengahkan tiga pemenang Bintang RTM ini memandangkan bakat saya juga lahir dari program itu,” katanya.

Konsert muzikal ini akan bercerita mengenai perjalanan Jamal sebelum Bintang RTM sehinggalah mengecapi kemahsyuran sebagai penghibur ternama. Penonton dapat menyaksikan luahan hati lelaki ini yang turut diselitkan sebagai perjalanan konsertnya.

Sehingga kini, tiket konsert ‘Kembara Seniman’ Jamal Abdillah sudah 50 peratus terjual dan harapan lelaki 50 tahun ini, konsert muzikal impiannya berjaya. Malah sudah dua minggu dia menjalani latihan.

‘Konsert Kembara Seniman Jamal Abdillah’ akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 hingga 9 Ogos depan. Tiket-tiket berharga RM75, RM100, RM150, RM200 dan RM300 boleh didapati di Box Office atau melalui www.ticket2u.biz. Konsert ini turut disokong RTM, kumpulan Utusan dan Quality Hotel.

Post a Comment

0 Comments