Yasmin Ahmad Dalam Keadaan Stabil


Satu sidang media telah diadakan tadi di Hospital Pakar Perubatan Damansara di mana adik ipar Yasmin Ahmad, pakar bedah neuro Dr Zakaria Zahari, memaklumkan kepada para wartawan bahawa Yasmin telah mengalami serangan strok.

“Terdapat pendarahan di bahagian otaknya dan dia telah pun menjalani pembedahan untuk mengurangkan bengkaknya,” kata Dr Zahari.

Tambahnya, walaupun keadaan Yasmin buat masa ini agak stabil namun dalam lingkungan beberapa jam selepas pembedahan adalah kritikal. Ketika ini, jantungnya disokong oleh ubat-ubatan.

Turut hadir pada sidang media tadi ialah Dr Jemilah Mahmood, kawan karib Yasmin. Bercakap bagi pihak keluarga Yasmin, Dr Jamilah memberitahu Yasmin berada di bawah penjagaan yang terbaik di hospital tersebut.

“Pihak keluarga Yasmin mengharapkan tidak akan ada spekulasi, khabar angin mengenai keadaannya kerana ini hanya akan melukakan hati keluarganya di samping menambahkan lagi tekanan mereka yang tidak putus-putus menerima panggilan dan SMS bertanyakan keadaan Yasmin. Keluarga Yasmin berharap anda semua akan berdoa untuknya.”

Berita terkini:
Ibu bapa Yasmin tiba di hospital dari Langkawi pada jam 9.20 malam. Di lobi hospital, ibu Yasmin yang kelihatan uzur dan terpaksa dipapah ahli keluarga, tidak dapat mengawal emosinya.

Post a Comment

0 Comments