Yasmin Ahmad 'Kritikal Tapi Stabil'


Sudah 24 jam sejak pengarah ‘Sepet’, Yasmin Ahmad tidak sedarkan diri. Walaupun keadaannya kritikal namun dia stabil, menurut adiknya yang ingin dikenali sebagai Achah (nama sebenar Muzaffar Ahmad), 38.

“Berita baiknya, keadaan Kak Yasmin tidak berubah menjadi teruk. Kita hanya akan tahu perkembangannya dalam tempoh 48 hingga 72 jam sejak pembedahannya. Saya berharap anda semua akan berdoa untuknya, agar dia cepat sembuh.”

Tambah Achah, doktor masih mengeringkan cecair untuk mengurangkan tekanan akibat daripada bengkak di otak kakaknya.

“Diharapkan sekarang ini bengkak itu sudah dikurangkan sedikit. Tapi kita hanya akan tahu apabila doktor membuat pemeriksaan ke atasnya. Disebabkan tekanan darah tingginya, satu daripada saluran darahnya pecah.”

Achah turut menidakkan laporan bahawa kakaknya pernah di serang strok sebelum ini. Ini merupakan kali pertama Yasmin dimasukkan ke hospital kerana serangan strok.

“Beberapa tahun dulu, Kak Yasmin pernah pengsan tapi kemungkinan besar ia disebabkan tekanan darah tingginya. Tapi dia pengsan sekejap saja. Dia diletakkan di bawah pemerhatian selama satu, dua hari. Selepas itu, dia okay.”

Cerita Achah, kakaknya yang berusia 51 tahun itu sudah beberapa tahun mempunyai tekanan darah tinggi. Walaupun tidak menjalani pemeriksaan rapi namun ada diambilnya ubat-ubatan untuk merawat keadaannya.

Keadaan Yasmin kini bergantung pada tindak balasnya terhadap ubat-ubatan yang diberikan dan buat masa ini dia bergantung pada ‘oxygen support’.

“Di sini saya ingin mengatakan betapa terharunya saya terhadap sokongan anda semua. Sebelum ini, saya tidak pernah merasakan yang kakak saya seorang yang terkenal. Tetapi apabila ini berlaku, saya dapat melihatnya.

“Saya juga ingin kongsikan sesuatu… Ramai yang kenali Kak Yasmin melalui karyanya yang selalu menyentuh topik kemanusiaan dan realiti. Bagi saya, masih banyak yang boleh disumbangkan Kak Yasmin kepada semua. Bukan masanya untuk pergi. Malaysia tidak akan sama tanpanya.

“Benda ini berlaku dengan terlalu tiba-tiba. Bagi keluarga dan teman-teman rapatnya, masih ada banyak yang boleh diberikan Kak Yasmin.”

Mengenai keadaan ibu bapanya, Achah memberitahu, “Mereka seperti kebanyakan ibu bapa yang mempunyai seorang anak yang sakit dan tidak diketahui apa yang bakal berlaku. Mereka hanya mampu berdoa untuk yang terbaik.

“Suaminya, juga seperti suami lain bila mendapati diri mereka di dalam keadaan yang sama, is devastated by what happened.”

Juga didedahkan Achah, kakaknya sedang mendirikan sebuah rumah untuk ibu bapa mereka di Langkawi.

“Buat Kak Yasmin, prioriti utamanya adalah ibu bapa kami. Yang lain tidak penting.”

Kata Achah, kakaknya tidak pernah bercakap tentang menghidapi sebarang penyakit. Yang ada, hanya diadu tentang migrain.

“Bagi saya, migrain sesuatu yang biasa bagi orang yang mempunyai tekanan darah tinggi. Saya mempunyai tekanan darah tinggi dan migrain.

“Saya juga tak nampak tanda-tanda yang dia tertekan. Kak Yasmin selalu ceria dan gembira.”

Achah juga mengharapkan tidak akan ada informasi salah mengenai keadaan kakaknya selepas ini.

“Saya tahu buat seketika doktor tidak dapat denyutan jantung Kak Yasmin dan sebab itu dia mengisytiharkannya meninggal. Tapi bagi saya, ia terlalu awal. Kita masih boleh menghidupkannya kembali. Dan akhirnya mereka berjaya. Kak Yasmin seorang yang kuat. Dengan izin Allah, dia akan kekal begitu.”

------------------------------------------------------------------------------------------------

Berita terdahulu (24 Julai, 1:45pm):
Menurut Dr. Jemilah Mahmood, keadaan pengarah 'Sepet', Yasmin Ahmad belum lagi menunjukan apa-apa perubahan. Dia masih belum sedarkan diri dan bergantung pada 'oxygen support'.

Doktor sentiasa mengawasi perkembangannya. Keadaannya hanya akan diketahui dalam masa beberapa hari ini.

Post a Comment

0 Comments