Natasha Hudson Bercerai Lagi!

Natasha Hudson


Ramai yang sudah pun mengetahui tentang perceraian aktres Natasha Liana Hudson, 27, dengan suaminya, Datuk Shahrin Zahari, 28. Namun, tiada siapa pun yang tahu punca di sebalik perceraian mereka setelah 2 tahun mereka melayari hidup sebagai suami isteri.

Dalam pertemuan di Studio Cafe milik bersama pasangan kekasih penyanyi Zahid & Nita, Natasha berusaha sedaya upaya untuk menjawab setiap pertanyaan yang diajukan pihak wartawan.

“Pertama sekali, terima kasih kepada anda semua kerana sudi hadir dalam pertemuan yang diadakan secara ringkas ini. Saya kira ini adalah cara serta tindakan yang terbaik untuk meleraikan segala tanda-tanya dan persoalan.


“Daripada anda semua tercari-cari saya. Lebih baiklah saya sendiri yang berjumpa dengan anda semua. Cara ini lebih jujur,” katanya yang pernah diboikot gara-gara membelakangkan pihak wartawan di dalam majlis resepsi perkahwinan keduanya yang dilakukan di Carcosa Seri Negara pada 27 Julai 2007.

Tidak mahu mengulangi kesilapan lalu, Natasha atau lebih mesra disapa Tasha berusaha mengambil tindakan seumpama ini. “Nyata, cara ini memuaskan hati kebanyakan pihak wartawan yang hadir bertemunya, petang semalam.

“Sebenarnya, antara saya dan suami, kami seboleh-bolehnya tidak mahu memperbesar-besarkan lagi tentang isu perceraian ini. Lagipun tiada apa yang hendak dijelaskan lagi kerana kami berpisah secara talak satu pun dengan cara yang baik. Sebelum ambil keputusan ini pun, kami sudah berbincang sebaik-baiknya.

Natasha Hudson


“Dan, apa yang boleh saya katakan di sini, walaupun sudah berpisah, hubungan kami masih tetap baik. Malah, kami masih berhubungan serta berjumpa setiap hari. Sama ada, saya bercerai ketika sudah ada anak atau belum, saya kira kami tetap akan menjaga hubungan kami berdua dengan baik,” katanya kepada wartawan.

Jelas Natasha lagi, perceraian yang berlaku di antara mereka berdua juga bukan disebab oleh hal-hal lain mahu pun kehadiran pihak ketiga.

“Tetapi, setelah kita duduk berbincang berkali-kali, kami akhirnya menyedari bahawa itulah tindakan yang patut kami dilakukan. Ia dilakukan atas dasar persefahaman yang cukup baik. Kami juga tidak mahu kecoh-kecoh tentang apa yang saya dapat dan berapa yang anak saya akan dapat. Bagi saya, itu semua tidak perlu diuar-uarkan. Apa yang boleh saya katakan pada hari ini, saya secara rasminya sudah tidak lagi menjadi isterinya sejak sebulan yang lalu.

“Saya harus jelaskan perkara ini supaya ia tidak akan menimbulkan apa-apa fitnah di masa akan datang sekiranya saya ditemui melepak bersama kawan-kawan saya di luar,” katanya lagi.

Bercakap tentang kegagalan perkahwinan, Tasha bercakap, setiap perkahwinan ada turun naik dan pasang surutnya.

“Kita boleh impikan perkahwinan yang baik. Tapi, kadang-kala kita tidak tahu apa yang terjadi di pertengahannya. Walau apapun tentu ada hikmah yang berlaku di sebalik sesuatu kejadian.

“Saya memang kesal dengan perceraian ini. Biarpun sudah 2 kali gagal dalam perkahwinan, saya tidak pernah menyesal. Mungkin Tuhan mahu saya mempelajari sesuatu daripadanya untuk menjadikan saya manusia yang lebih baik lagi daripada dulu.

“Saya gembira kerana sekurang-kurangnya saya mempunyai anak dan anak adalah kekuatan saya. Dia menjadikan saya lebih kuat lagi untuk mengharungi hidup ini.

“Memandangkan saya datang dari keluarga yang bercerai-berai, saya dan bekas suami telah ambil keputusan untuk mendapatkan hak penjagaan bersama. Tapi, dia lebih banyak kepada saya. Saya lakukan ini kerana tidak mahu dia rasa tersisih. Biarlah dia dapat kasih sayang yang secukupnya daripada saya dan ayahnya, daripada ibu saya serta nenek di sebelah bapanya,” kata Tasha.

Sambung Tasha lagi, setelah 2 kali melalui perkahwinan yang gagal, dia tidak serik untuk berkahwin lagi.

“Tapi, buat masa ini, biarlah saya bersendiri dulu. Saya mahu tumpukan dulu perhatian terhadap anak, keluarga serta kerjaya saya. Perkahwinan adalah sesuatu yang indah tetapi tidak mudah. Rasanya, kita perlu kenali dulu pasangan kita sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Ia tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.

“Ia sangat rumit. Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang kita mahu dan apa yang kita tidak mahu pada sesuatu masa yang tepat,” katanya lagi yang baru saja menjayakan penggambaran drama Lembing & Layang untuk Astro Citra.

Post a Comment

0 Comments