Rebecca buat rawatan keluarkan susu demi Adam


Ini lah yang dinamakan sifat keibuan yang ada pada diri Rebecca Nur Al Islam, kerana sayangkan dan ingin menyusukan sendiri anak angkatnya Nor Adam Daniel,2 .Rebecca mengenepikan pandangan orang lain apabila beliau sanggup menjalani rawatan suntikan mengeluarkan susu badannya.Berikut luahan Rebecca mengenai anak angkat dan rawatan keluarkan susu badan.

"Selepas sahaja saya mendapatkan Adam, saya telah pergi ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan suntikan mengeluarkan susu," jelas Rabecca yang mengaku agak teruja untuk merasai pengalaman menyusukan anak.


Gadis kelahiran negeri Johor ini sanggup menyusukan Adam setiap hari walaupun sibuk dengan tugasannya seharian.

Disebabkan proses penyusuan ini juga membuat naluri keibuan Rabecca terhadap Adam seperti ibu sejati.

"Saya menyusukan Adam setiap hari dan saya rasa Adam seperti anak saya sendiri," ujar Rabecca yang sempat menyusukan anak lelakinya selama 3 bulan.

"Saya tidak mempunyai masalah. Tapi menurut doktor, dada saya akan terasa bengkak kerana proses pengeluaran susu.


"Tapi selepas tiga bulan menyusukan Adam, keadaan saya kembali seperti biasa," kata Rabecca.

Kata Rabecca, kasih dan sayangnya terhadap kanak-kanak membuatnya nekad untuk bergelar ibu seawal umurnya 22 tahun.

"Saya tidak pernah rasa terbeban kerana terpaksa menjaga Adam. Lagipun jika saya mempunyai masa lapang, kami akan habiskan masa bersama.

"Mujurlah, Adam bukan seorang budak yang banyak kerenah," kata aktres muda ini.

Menyedari dirinya belum berkahwin, Rabecca tidak pernah menjadikan tanggungjawab sebagai ibu sebagai alasan untuk dia meletakkan tugasan menjaga anaknya kepada ibu dan pembantu rumah.

"Saya pernah berjanji dengan diri saya untuk tidak menyusahkan sesiapa dan akan berusaha menjadi ibu yang terbaik untuk anak saya.

"Saya bersamanya setiap masa, tapi jika saya sibuk atau waktu penggambaran tidak mengizinkan membawa Adam, saya terpaksa tinggalkannya dengan ibu saya.


"Saya memang ada pembantu rumah tapi disebabkan banyak kes penderaan, saya tidak percaya tinggalkan Adam dengan orang lain," katanya yang tinggal bersama ibu dan kakaknya.

Tanggungjawabnya sebagai ibu turut membuatnya lebih prihatin tentang pengorbanan sebenar seorang ibu.

"Kini saya lebih menghargai pengorbanan ibu bapa saya yang bersusah payah berkorban untuk membesar dan memenuhi keperluan saya.

"Saya sedih tengok sesetengah anak yang sanggup membuang ibu bapa mereka sendiri," jelas Rabecca lagi.

Sepanjang bergelar ibu, Rabecca mengakui dia kini lebih matang dan menganggap segala gosip dan tohmahan yang diterimanya itu sebagai landasan untuknya lebih berjaya pada masa hadapan.

"Semenjak ada Adam, saya tidak ambil kisah mengenai gosip yang melanda diri saya.

"Adam memberi kekuatan pada saya dan saya menganggap kehadiranya membawa tuah dalam hidup saya," katanya yang mesra dipanggil 'Mama' oleh anaknya.

Menurut Rabecca, dia mula terdetik di hati untuk mengambil anak angkat setelah membaca berita di akhbar tentang pembuangan bayi yang semakin serius.

"Saya mempunyai anak buah seramai 14 orang. Semasa mereka masih bayi, saya selalu menjaga mereka.

"Saya sedih mendengar berita pembuangan bayi. Setiap hari saya berdoa supaya perkara sebegitu tidak berlaku lagi kerana sedih melihat bayi-bayi yang dibuang," katanya.

Kali pertama Rabecca menyuarakan hasrat untuk mengambil anak angkat, ibunya agak terkejut dan menyuruh dia fikir kembali kerana tanggungjawab itu sangat besar memandangkan dia masih muda serta belum berkahwin.

Tapi Rabecca tetap dengan pendiriannya untuk mengambil anak angkat. Dia juga berjanji akan memberikan penekanan pendidikan agama kepada Adam.

Di sebalik kesibukan tanggungjawab dan kariernya, ramai yang sudah tahu Rabecca sedang hangat bercinta dengan seorang duda beranak dua.

Rabecca mengaku dia kini sedang bahagia menjalani kehidupan bersama insan tersayang.

"Walaupun tidak selalu bersama, namun saya dengannya tiada masalah dan kami bahagia dengan cara sekarang.

"Anaknya juga boleh menerima saya dan kami selalu keluar makan bersama," katanya yang sudah terbiasa dipanggil 'Mama' oleh anak kekasihnya itu.

Ditanya desas-desus mengenai rumah tangga yang akan dibina pada tahun ini, Rabecca memberitahu dia akan mengumumkan mengenai rancangan perkahwinannya enam bulan sebelum mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.

"Setakat ini, keluarga di sebelah sana sudah menerima saya tapi kami belum putuskan apa-apa lagi.

"Saya akan jemput semua rakan media dan kenalan artis serta semua orang yang kenali saya," ujarnya yang merancang mengadakan dua buah resepsi perkahwinan di Johor dan Kuala Lumpur.

Post a Comment

0 Comments