Festival Makanan Thailand


Masakan Thailand memang popular di kalangan rakyat Malaysia. Sebab itulah banyak restoran, kafe atau gerai makan yang menyediakan menu ini untuk pelanggan mereka. Atas populariti itulah Ancasa Hotel, Kuala Lumpur, mengadakan Pesta Makanan Thailand bermula 3 April lalu hingga 17 April depan.

Pesta makanan yang bertempat di Saffron Brasserie itu menghidangkan pelbagai makanan istimewa dari Thailand dan paling istimewa ia menggunakan khidmat Chef Pornthip Janthachat yang dibawa khas dari negara jiran itu untuk memastikan setiap hidangan menepati citarasa sebenar.

Hendak tahu apa hidangan yang boleh di makan di sana? Macam-macam. Antaranya Sup Tomyam, Salad Mangga, Somtam, Nasi Goreng Nanas, Kerabu Daging Bakar, Ayam Goreng Chiang Mai, Kari Sotong, Ayam Masak Kari Hijau dan tidak ketinggalan, ulam-ulaman segar.

Kerabu Kepah
Kari Ketam


Jangan lupa menikmati Sup Tomyam. Rasanya memang lazat, kuahnya pekat dan paling penting ia dimasak dengan menggunakan ramuan segar. Isi ayamnya pula dari bahagian dada, sesuailah untuk mereka yang berdiet. Kalau tidak tahan pedas, sup ini mungkin kurang sesuai untuk anda.

Sup Tomyam
Kerabu Mangga
Bagi yang mesti makan nasi untuk makan tengahari atau makan malam, GUA cadangkan anda mencuba Nasi Goreng Nanas. Sesuai dengan namanya, hidangan ini memang mewah dengan nanas. Rasanya yang masam, manis dan pedas memang membuka selera. Selain boleh dimakan begitu sahaja, anda juga boleh menikmatinya bersama lauk-pauk yang ada.
Kerabu Sotong
Pulut Mangga
Sebelum berhenti makan, jangan lupa maniskan mulut dengan pelbagai hidangan pencuci. Untuk Pesta Makanan Thailand ini, GUA sarankan anda mencuba hidangan Pulut Mangga. Cukup menyelerakan. Lagipun, bukan mudah hendak cari makanan ini jika bukan musim buah mangga. Kalau tidak suka dengan pulut, masih banyak lagi hidangan pencuci mulut yang boleh dicuba seperti Pengat Pisang, Puding Labu, Puding Roti, pelbagai jenis kek, dan buah-buahan segar. Bufet ini berharga RM50++ untuk dewasa dan RM35++ untuk kanak-kanak. Sekiranya anda membayar untuk empat orang, tiada bayaran dikenakan untuk orang kelima. Untuk tempahan dan pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 03-20266060 sambungan 7703.

Post a Comment

0 Comments