Populariti drama bersiri bercorak kepolisan, ‘Gerak Khas’ memang tidak mampu disangkal lagi. Sehingga kini drama arahan Datuk Yusof Haslam itu telah berjaya bertahan selama 10 tahun dan tiada mana-mana drama bersiri lain yang mampu menandingi rekodnya itu.
Atas alasan tersebut, drama yang pernah dibintangi oleh AC Mizal, Norman Hakim dan Abby Abadi itu telah dianugerahkan sijil pengiktirafan dari The Malaysia Book Of Records (MBR) sebagai drama kepolisan terpanjang yang pernah disiarkan di televisyen.
Anugerah itu diterima pada satu majlis sambutan sempena 10 tahun ‘Gerak Khas’ yang diadakan di Padang Semarak, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Datuk Yusof ketika ditemui memberitahu dia tidak menyangka drama tersebut mampu bertahan selama itu. Tambah membanggakan apabila ‘Gerak Khas’ sering menjadi antara drama paling popular dan terbaik di RTM. Katanya itu semua adalah berkat kerjasama semua pihak yang sentiasa memberikan komitmen terbaik demi menjayakan drama tersebut.
"Saya berbangga kerana drama ini bukan sahaja mendapat respon yang positif daripada peminat. Malah pegawai polis yang menonton ‘Gerak Khas’ sendiri mengakui drama tersebut memaparkan realiti kehidupan yang mereka lalui saban hari.
"Selain itu untuk memastikan segala-galanya berada di landasan yang betul, saya sentiasa mengikuti garis panduan yang diberikan oleh pihak PDRM. Ini penting kerana drama ini menggambarkan kerjaya sebenar anggota polis di Malaysia," katanya.
Tambahnya, untuk menjayakan ‘Gerak Khas’, dia sendiri selalu turun padang serta membuat kajian tentang banyak perkara. Untuk memastikan ‘Gerak Khas’ sentiasa relevan dan sesuai untuk tontonan semua peringkat umur, dia selalu mengetengahkan isu semasa yang menarik agar dapat memberikan pengajaran kepada para penonton.
"Di awal penglibatan saya dalam menghasilkan drama ini, saya banyak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan membuat kajian. Saya juga selalu berjumpa dengan kawan saya yang juga merupakan seorang anggota polis untuk belajar dengannya tentang selok-belok kerjaya seorang anggota polis.
"Daripada situ banyak yang saya pelajari tentang kehidupan anggota polis. Mungkin bagi sesetengah pihak, mereka menganggap tugas untuk menghasilkan drama bercorak kepolisan ini merupakan sesuatu yang mudah. Tetapi hakikatnya ia cukup sukar dan saya perlu sentiasa berhati-hati agar apa yang ditonjolkan di dalam drama tersebut tidak bercanggah dengan garis panduan yang diberi PDRM.
"Banyak langkah yang perlu saya lalui terutamanya dari aspek olahan skrip. Semua skrip yang telah siap akan dihantar ke Bukit Aman untuk dinilai. Selepas di beri kelulusan barulah saya mulakan penggambaran. Selepas penggambaran siap dilakukan, ia perlu dihantar sekkali lagi dan perlu juga mendapat kelulusan.
Ditanya tentang aspek persaingan kerana dilihat tiada drama bercorak kepolisan lain yang lebih menyerlah jika dibandingkan dengan ‘Gerak Khas’, dia menyerahkan perkara tersebut kepada penilaian penonton.
Namun dia tidak menafikan wujudnya persaingan kerana selain ‘Gerak Khas’ terdapat beberapa buah drama lain yang mempunyai corak yang sama. Namun segalanya diserahkan kepada rezeki dan percaya setiap pengarah atau produksi mempunyai cara kerja tersendiri untuk memastikan drama yang mereka hasilkan berjaya.
"Selalunya skrip ‘Gerak Khas’ tidak pernah berdepan dengan masalah yang serius. Apa yang penting adalah mesej yang mahu disampaikan melalui drama tersebut iaitu mendidik masyarakat supaya tidak melakukan jenayah.
"Sehingga kini sudah 530 episod yang saya hasilkan. Kalau nak bercerita tentang masalah memanglah ada tetapi kalau ianya mebabitkan peribadi pelakon yang terlibat dalam drama ini, saya serahkan kepada diri mereka sendiri untuk menanganganinya.
"Bagaimanapun kalau boleh saya mahukan pelakon yang baik sebagai 'role model' kepada masyarakat melalui drama ini," jelasnya.
Diusik dengan persoalan sampi bila agaknya ‘Gerak Khas’ akan ditayangkan di RTM, dia memberitahu segalanya bergantung kepada penerimaan peminat setia pihak RTM sendiri. Namun katanya sebagai penerbit dia sentiasa berusaha untuk menghidangkan sebuah cerita yang menarik agar penonton terus setia bersama ‘Gerak Khas’.
0 Comments