Ke mana agaknya tempat yang ingin dituju kala perut berkeroncong ketika hampir tengah malam? Bagi kebanyakan penduduk bandar besar, restoran mamak seringkali menjadi pilihan kerana kepelbagaian menu yang disediakan. Tapi percayakah andai dikatakan hampir kebanyakan restoran sebegini menyediakan menu yang sama?
Bagi penduduk sekitar Kota Damansara, mencari menu berlainan tidak sukar. Singgah sahaja di Gulam Mee, Seksyen 9, pelbagai hidangan sedap untuk anda mencuba.
Tidak sukar untuk mencari lokasi restoran ini kerana ianya terletak tidak jauh dari restoran makanan segara, McDonalds dan KFC Kota Damansara.
Konsep Gulam Mee yang menyediakan deretan gerai yang menyediakan pelbagai makanan, memudahkan pengunjung memilih serta melihat cara masakan di situ. Tambah menarik, konsep makan terbuka yang menjadi pilihan kebanyakan penduduk kota masa kini menjadi trend di sini.
Menu istimewa di sini semestinya mee Gulam, mee goreng dengan taburan kuah rojak dan tepung cucur. Pengunjung yang berasal dari utara pastinya menggemari mee ini yang sememangnya popular di sana.
Selain specialty utama, Gulam Mee juga menyediakan pelbagai menu utara seperti laksa, mihun sup utara, pasembor, mee rebus dan banyak lagi.
Kesukaran mencari restoran yang menyediakan kepak ayam madu panggang, sate serta nasi ayam pada satu masa membuatkan ramai pengunjung memilih restoran ini sebagai alternatif terutamanya ketika tengah malam.
Lumrah gerai atau restoran besar yang ada di Malaysia, pasti tidak ketinggalan menyediakan pemanis mulut seperti air batu campur dan ling chee kang, begitu juga di restoran ini.
Konsep makanan bajet semestinya sentiasa menjadi pilihan penduduk kota yang mementingkan kualiti makanan namun tidak perlu berbelanja besar. Harga makanan dan minuman di restoran ini sangat berbaloi. Mee Gulam, laksa, mihun sup utara dijual pada harga RM4 setiap satu sahaja. Pendek kata, perut kenyang mencuba pelbagai jenis hidangan namun tidak perlu membayar mahal!
Gulam Mee
B 13A G, Bistari De'Kota,
Jalan Teknologi 3/9,
Kota Damansara 47810 PJ
0 Comments