Tiba Masanya Kau Harus Pergi

http://www.gua.com.my/photobank/article/5/14/CEB36AAB68B94894824F1D25E658BF77.jpg
Cinta itu buta tetapi sang pencinta harus ada mata. Setia itu dipinta tetapi jangan akur membuta. Si empunya jiwa diberi naluri untuk mengetahui bila masanya cinta itu perlu pergi. Sebagai seorang insan, kita bertanggungjawab kepada hati dan tubuh badan sendiri. Acapkali kita mendengar kisah wanita yang dibelasah pasangan lebam biru pecah berdarah tetapi masih setia menunggu pemangsa atas alasan hati masih sayang, kalbu masih cinta. Tidak kurang juga segolongan manusia yang menerima sahaja apabila diherdik dan dihina hanya kerana takut kehilangan si dia. Kejadian di mana pasangan berkali-kali curang juga tidak mengapa asalkan kau dan dia masih bersama.

Sang pencinta harus tahu bila masa untuk pergi, untuk walk away daripada sesebuah perhubungan. Tidak semestinya kita menyediakan prasyarat atau peraturan tertentu dalam perhubungan tetapi batas-batas yang jelas ada tidak harus dilangkahi oleh pasangan sewenang-wenangnya tanpa rasa bersalah dan tanggungjawab. Elakkan diri daripada menjadi mangsa hanya kerana hati tidak kuat untuk melangkah pergi untuk memperjuangkan hak sendiri.

Tidak Perlu Tele Dera Cuma Perlu Cabut Segera
Penderaan dari segi apa pun dalam perhubungan tidak perlu ada toleransi. Bercinta itu nikmatnya bahagia, ceria dan dihiasi hati berbunga-bunga. Sesuatu yang menyakitkan daripada segi fizikal, mental serta emosi jangan dibiarkan melarat sehingga tidak terkawal dan membiarkan diri menjadi mangsa yang malang bertahun-tahun kerana tidak tahu mencari jalan keluar. Perasaan hormat menghormati antara pasangan bercinta itu sangat penting. Jangan sesekali pun membiarkan pasangan anda memanggil anda dengan panggilan yang tidak senonoh, negatif, memalukan ataupun membiarkan anda menjadi bahan lawak semasa. Andai terjadi, put a stop to it at once! Beritahu dia apa yang anda rasa dan bagaimana anda tidak suka dengan perbuatannya. Jika dia berubah, tidak salah untuk diberikan peluang kedua, namun jika dia tidak ‘kebah’, angkat kaki jalan sahaja tinggalkan dia.

Mereka yang tidak menghormati pasangan di awal perhubungan akan menjadi lebih teruk lagi apabila sudah lama berpasangan. Mungkin kaki tangan dia juga akan naik ke badan anda kerana bagi dia, anda ‘kepunyaannya’, lantas ikut suka dialah untuk buat apa pun terhadap anda. Sekali tamparan hinggap di muka, itu tanda kau harus pergi dan jangan kembali lagi. Individu yang suka mendera pasangan secara fizikal selalunya mempunyai kepakaran memujuk rayu tahap dewa dewi dan selepas anda dibelasah cukup-cukup, akan keluarlah kata-kata manis meminta maaf berkali-kali atas alasan dia tidak berniat menyakitimu. Lupakan sahaja dia! Dengan orang sebegini rupa, pisang sentiasa berbuah dua kali. Oleh itu jalan terbaik ialah dengan melepaskan diri dari dia. Kita ini dijadikan Tuhan punya jiwa, punya rasa. Kesakitan yang tidak relevan atau tidak layak kita terima dalam perhubungan tidak perlu dipertimbangkan langsung.

Penderaan dari segi emosi juga perlu diambil kira. Sebagai contoh, dia membuat anda sentiasa terasa kurang dari segala segi, apa pun yang anda lakukan tidak cukup untuk dia. Dia sentiasa membandingkan dirimu dengan orang lain, berlaku curang dengan insan lain kerana kononnya anda tidak ada apa yang dia pinta dan lain-lain lagi. Perasaan serba salah yang dicetuskan pasangan anda ini merupakan penderaan emosi yang anda tidak perlu hadapi. Yakinkan diri bahawa masih ada ramai di luar sana yang layak menerima cinta anda daripada dia yang sering menyakiti.

Duitku Duitmu Jua?
Isu duit dan kewangan sering membuat pasangan bercakaran kerana di zaman ini lelaki dan perempuan juga punya kerjaya yang baik-baik belaka. Dalam perhubungan perlu hadir kepercayaan tetapi dalam masa yang sama perlu wujudnya tanggungjawab ke atas perbelanjaan masing-masing. Andai teman lelaki membelanjakan duit anda umpama gaji itu atas titik peluh dia, anda perlu cari jalan untuk keluar daripada parasit yang hanya akan menyusahkan kehidupan anda. Bagi lelaki juga, andai anda punya pendapatan lumayan dan sudi untuk treat kekasih hati sepenuh masa, silakan. Tetapi, hati-hati dengan lintah darat betina yang mungkin baik dengan kamu hanya untuk mengikis apa yang kamu ada.

Restu Mereka Syurga Kita
Selalu dengar orang berkata betapa pentingnya restu ibu bapa dalam perhubungan kerana secara default, ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ibu bapa merupakan orang yang akan perasan sekiranya ada kejanggalan di dalam perhubungan kita. Mereka makan garam dulu lantas mereka tahu menilai pasangan yang kita bawa jumpa. Sekali pandang mereka sudah agak tahu apa jenis teman yang kamu ada, jadi prihatinlah kepada komen-komen yang diterima daripada mereka. Jangan tidak mengendahkan nasihat mereka atas alasan anda lebih tahu tentang pasangan anda. Harus diingat bahawa apabila diri dilamun cinta, banyak kekurangan yang kita tidak nampak. Jika ibubapa menentang keras perhubungan kita, tentu sekali ada sebab yang baik dan mereka melakukannya untuk masa depan anak-anak mereka.

Mengapa dalam zaman ini di mana semua info terletak di hujung jari, manusia sering kalah dengan emosi sendiri dan gagal membuat pertimbangan yang wajar? Tuhan memberi kita naluri dan sentiasa melindungi hambaNya daripada dikhianati. Kalau hati sendiri sudah tidak sedap rasa, jangan buat-buat tidak perasan dan teruskan juga perhubungan sedia ada. Sayangi diri sendiri dan pastikan hanya yang terbaik ada di sisi.-www.gua.cm.my-

Post a Comment

0 Comments