Maizawati Dilantik Jadi Duta YPNH


KAJANG, 5 JUN 2009: Siapa sangka, biarpun terus dihimpit kontroversi dan berdepan dengan kemelut rumahtangga, rezeki tiba-tiba datang berpihak kepada isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33.

Maizawati telah dilantik menjadi duta Yayasan Pembangunan Nur Hikmah (YPNH), iaitu badan yang menjaga kebajikan ibu-ibu tunggal dan menyalurkan kemahiran dalam pelbagai aspek termasuk pengasuhan anak-anak di rumah.

Bagi Maizawati peluang yang diterima itu dianggap sebagai rezeki kerana dia sendiri bersikap positif dengan apa yang menimpa hidupnya dan enggan berpeluk tubuh mengenang untung nasibnya.

Menjelaskan perkara ini dalam sidang media di sini, pagi tadi, Maizawati juga berkata dia sama sekali bukan menangguh di air keruh.

"Pembabitan saya dalam Yayasan Pembangunan Nur Hikmah sama sekali tidak dirancang. Ia bermula dari cadangan seorang rakan yang memberitahu bahawa yayasan ini sangat berminat untuk menjadikan saya sebagai jurucakap atau duta mereka.

"Saya bersetuju memilih kerana saya mahu berkongsi pengalaman hidup, tentang cara-cara membesarkan anak-anak dan mengharungi hidup sendirian atau dalam tempoh ditinggalkan suami selama berbulan-bulan. Sebab itulah saya terima tawaran ini kerana selain mempunyai konsep kebajikan, ia juga bersangkut-paut dengan diri saya," katanya.

Maizawati berkata, antara program yang dibentuk adalah BondaMama. Ia dilaksanakan dengan tujuan untuk membantu golongan ibu tunggal untuk mencari nafkah hidup dengan memberi latihan, kursus, pengetahuan serta kemahiran yang berkaitan dengan kerjaya pengasuhan anak-anak.


Maizawati nafi mencari glamour

Dengan apa yang dilakukan sekarang, adakah Maizawati cuba mencari glamour?

"Kalau nak cakap tentang populariti dan glamor, dah lama saya boleh buat kerana sejak dalam Tingkatan 2 lagi daya dah dapat tawaran jadi model, menyanyi dan berlakon. Tapi, saya tidak minat dengan semua itu. Saya lebih suka jadi surirumah dan menghabiskan masa dengan anak-anak saya.

"Malah waktu pernah ikut Ustaz Akil berceramah dulu, saya banyak kenal dengan sebahagian besar peminatnya. Mereka ini jugalah yang banyak bagi sokongan kepada saya apabila berlakunya kemelut dalam rumahtangga kami," jelas Maizawati.

Dia turut menafikan mencari populariti dengan menggunakan pihak media apabila pergolakan rumah tangganya tercetus.

"Saya hanya mempertahankan hak saya dan hanya minta dilepaskan. Saya memang mengikut saluran yang ditetapkan iaitu memfailkan tuntutan itu di mahkamah syariah. Kemudian barulah perkara ini keluar menerusi media, bukan sebaliknya.

"Bagi saya, ada masanya seseorang wanita itu berhak untuk bersuara. Saya hanya minta dilepaskan kerana saya rasa telah dipinggirkan. Saya tak pernah berniat untuk mengaibkan suami saya dengan cerita yang bukan-bukan. Saya tahu cerita hangat tentang suami saya pun adalah menerusi pihak media juga. Kalau tidak, sampai bila-bila pun saya tidak tahu apa yang sedang berlaku di belakang saya.

"Tapi saya tidak mahu mengulas panjang sebab semuanya telah diserahkan kepada peguam saya. Menerusi peguam kedua-dua pihak, kita sudah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik. Saya harap anda semua sabar dan akan tunggu segala keputusan pada 15 Julai ini," katanya.

Tentang penampilannya yang sentiasa anggun, Maizawati berkata, sejak berkahwin hinggalah sekarang ini, memang begitulah penampilan dirinya.

"Waktu saya ikut Ustaz Akhil berceramah di merata tempat dulu, memang beginilah keadaan diri saya dan pemakaiannya saya. Saya memang sukakan jubah dan tudung," katanya yang sememangnya cantik.

Post a Comment

0 Comments