Faizal AF4 Sengaja Hilangkan Diri?


Sejak pelancaran album pertamanya pada Ogos tahun lepas, Faizal Ramly, graduan musim keempat Akademi FAntasia seakan ‘hilang’ dari mata umum.

Berpeluang bertemunya semalam ketika majlis pelancaran filem ‘Momok The Movie’, katanya dia “sengaja hilangkan diri”. Tetapi beberapa saat kemudian, dalam nada yang seloroh dia memberitahu, dia bukannya menyepi.

Menurutnya, dia masih menerima tawaran untuk ‘show’ – malah dia baru balik dari membuat persembahan di Pulau Pinang dua hari lepas – tetapi acara-acara ini kurang mendapat publisiti. Kerana kerja, dia banyak berulang-alik diantara Terengganu dan KL.

“Rezeki tetap ada. Cukup untuk saya menolong mak, ayah. Apa yang penting, hati yang betul dan saya tidak buat jahat pada orang.

“Saya tak kisah keadaan memaksa saya bermula dari bawah. Asalkan bakat saya bukan kemenangan undian. Bukan saya nak cerita tentang penat saya tapi saya terima keadaan saya sekarang ini,” kata anak muda berusia 25 tahun ini.

Tambahnya lagi, dia kini bergerak seorang diri tanpa khidmat pengurus.

“Semuanya saya lakukan sendiri. Bagi saya takpe, asalkan hati gembira. Saya pun lebih selesa begini. Benda ini mematangkan saya dan membuat saya lebih yakin. Saya tak kisah sebab dapat kumpul pengalaman.”

Faizal cuba bidang lakonan
Di dalam ‘Momok The Movie’, karya terbaru M. Jamil, Faizal seorang perantau yang pulang ke kampungnya untuk bercuti. Setiap kali pulang ke kampung, dia akan bertandang ke warung Pak Ajis. Tetapi kepulangannya kali ini disambut dengan cerita orang-orang kampung yang Pak Ajis sudah ‘mental’.


Namun, tidak diendahnya cakap mereka. Selesai solat berjemaah di surau, dia dan kawannya Kadir ke warung Pak Ajis. Dalam perjalanan mereka ke sana, pelbagai insiden dan petanda yang menunjukkan sesuatu yang tidak baik akan berlaku.

Di warung Pak Ajis, mereka mula bersembang sehinggalah kepada cerita mengenai kisah-kisah seram. Tetapi peristiwa seram serta perasaan gemuruh yang mereka alami akibat dari cerita-cerita seram itu bukan lagi sekadar cerita dan ilusi tetapi bercampur aduk dengan realiti.

Bercerita tentang pengalaman pertamanya bergelar pelakon, kata Faizal ia seronok walaupun memenatkan.

“Kena baca skip, lepas tu kena jadi diri sendiri dan pada masa yang sama bagaimana untuk selesakan diri memainkan watak itu. Saya suka bertanya untuk menjadi yang terbaik.”

Selain ‘Momok The Movie’, Faizal juga bakal menemui peminat filem dalam ‘Pulau Asmara’, terbitan Alakazam Productions. Mengisahkan tentang tiga sahabat yang bercuti ke Langkawi di mana mereka jatuh cinta, ‘Pulau Asmara’ juga melihat Faizal sebagai pendukung watak utama.

Bagi anak muda kelahiran Terengganu ini, dia tidak kisah jika tawaran yang diterima lebih menjurus kepada bidang lakonan.

“Bagi saya, semuanya sama saja asalkan kerja itu dibuat dengan betul. Lagipun apa yang saya pelajari dalam bidang nyanyian boleh digunakan dalam lakonan seperti lontaran suara, pergerakan. Saya boleh gabungkan semuanya menjadikan persembahan saya itu yang terbaik.”

Mengenai perancangan untuk mengeluarkan album baru, Faizal memberitahu dia dalam proses merakam sebuah album khas dengan Iklim. Lima lagu sudah siap dirakamkan, tinggal tiga lagi.

Post a Comment

0 Comments