Khairul Mr. Right Saya - Elyana


Setelah tiga tahun menyulam cinta, akhirnya Elyana, 22, mengambil keputusan nekad mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya, Khairul Anuar Hussin, 34 tahun. Majlis pertunangan pasangan ini baru sahaja berlangsung di Jeumpa D’ramo, Bangsar kira-kira jam 3 petang tadi dengan dihadiri saudara-mara, kenalan dan pihak media.

Pada majlis itu, rombongan pihak lelaki tiba kira-kira jam 3.15 petang dengan membawa tujuh dulang hantaran yang diserikan dengan gubahan ros merah jambu. Antara barangan yang dibawa oleh pihak lelaki ialah sebentuk cincin, telekung, set alat solek jenama MAC dan manisan yang berupa coklat jenama Patchi dan kek cawan yang tertulis namanya dan Elyana.

Sebagai balasan, pihak wanita membalas dengan sembilan dulang hantaran yang diserikan dengan gubahan ros merah yang terdiri daripada sireh junjung, Al-Quran dan rehal, coklat jenama Patchi, manisan donut, buah ceri, set tali pinggang dan dompet, sireh junjung, set wangian dan kemeja jenama GAP.

Majlis pertunangan dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan sesi berbalas pantun dan rundingan di antara kedua-belah pihak sebelum diteruskan dengan acara menyarung cincin ke jari manis Elyana oleh ibu Khairul.

Pada majlis ini, Elyana tampil sungguh mempesona dengan mengenakan sepasang gaun moden berwarna emas rekaan Zery Zamry. Gaun berkonsepkan glam punk tradisional kontemporari ini membabitkan kos kira-kira RM6,000. Bagi memastikan penampilan Elyana menawan, solekan wajahnya telah dipertanggungjawabkan kepada Saidatul Nisa.

Ditemui selepas acara pertunangan berakhir, Elyana menyatakan yang dia cukup gembira kerana dia kini telah pun menjadi tunangan orang. Tetapi dalam masa yang sama dia juga berasa takut kerana risau tidak boleh melakukan yang terbaik untuk Khairul pada masa hadapan.

“Sekarang ini ada mempunyai dua perasaan, satu saya berasa gembira dan satu lagi saya berasa takut. Saya gembira kerana saya telah pun melangkah ke alam yang baru dengan menjadi tunangan orang. Perasan takut pula kerana saya risau saya tidak boleh lakukan yang terbaik untuk si dia,” jelas Elyana.

Dalam masa yang sama Elyana juga diminta memberi komen sama ada dia benar-benar bersedia untuk ke alam perkahwinan memandangkan pertunangannya dalam usia yang cukup muda.

“Saya sangat-sangat bersedia untuk menjadi seorang isteri. Ini kerana saya memang mahukan sebuah kehidupan berkeluarga. Kalau saya tidak bersedia, tidak mungkin saya setuju untuk bertunang kerana saya menganggap pertunangan ini bukanlah perkara yang main-main. Ini keputusan muktamad saya walaupun dalam usia yang muda.”

Ditanya apakah ciri-ciri yang ada pada Khairul sehingga membuatkan dia terpaut kepada jejaka itu, Elyana memberitahu Khairul adalah ‘Mr. Right’nya. Selain daripada suka mengambil berat, Khairul juga boleh dikatakan sejiwa dengan dirinya.

“Mungkin ada orang yang akan berkata, tengah sayang ini semuanya nampak cantik dan indah, tetapi apa yang saya katakan ini adalah ikhlas kerana dia berbeza dengan lelaki-lelaki yang pernah saya kenali sebelum ini. Inilah yang dikatakan jodoh agaknya,” cerita Elyana lagi.

Sementara itu, Khairul yang tiba selepas majlis menyarung cincin juga menyatakan yang dia menyukai Elyana kerana dia seorang yang suka berterus terang dan ikhlas.

“Saya terpikat dengan Elyana kerana dia seorang yang ikhlas. Kalau dia tidak suka dengan sesuatu, dia akan berterus-terang dan sikap ini memang menyenangkan saya. Saya gembira kerana setelah tiga kali melamarnya akhirnya Elyana setuju untuk bertunang dan saya harap semuanya akan berjalan lancar nanti,” ujar Khairul yang juga mengakui telah bersedia menjadi isteri kepada seorang artis.

Mengimbas tentang perkenalan pasangan ini, pertemuan mereka telah berlaku pada 9 April 2006 dan ianya berlaku tanpa dirancang. Semuanya gara-gara rakan Elyana yang meminta bantuannya untuk menghantar ke sebuah restoran untuk berjumpa dengan pengurusnya.

Pada pertemuan pertama itu, Elyana langsung tidak mempunyai perasaan kepada Khairul. Begitu juga dengan Khairul yang langsung tidak menyedari gadis di depan matanya adalah seorang artis. Apa tidaknya ketika itu Elyana memperkenalkan dirinya sebagai Farah Irdina dan seorang yang tidak mempunyai perkerjaan dan hanya menolong ibu menjual Tupperware. Bagaimanapun, perkenalan itu tidak terhenti begitu sahaja sehinggalah Khairul mengetahui yang Elyana adalah seorang artis dan dalam tempoh tiga tahun ini bibit-bibit cinta telah terbit di hati masing-masing.

Pasangan ini masih lagi belum memikirkan konsep perkahwinan mereka akan datang. Menurut Elyana, walaupun dia inginkan sebuah majlis yang ringkas dan sederhana tetapi itu semua terpulang pada ‘wedding planner’ nanti.

Dalam perkembangan lain, dalam waktu terdekat ini Elyana akan masuk studio untuk merakamkan single terbarunya.

Post a Comment

0 Comments