Majalah 3: Pewarisan Yasmin Ahmad


Pembikin filem tulen Yasmin Ahmad akan diingati sebagai insan yang amat kreatif dalam menghasilkan filem-filem kontemporari dan iklan-iklan televisyen yang cukup menggamit perasaan.

Sebagai memperingati hasil kerja arwah, minggu ini Majalah 3 akan memaparkan satu paparan istimewa membabitkan hasil kerja dan karyanya.

Majalah 3 telah berjumpa ahli keluarga Yasmin dan menyelami perasaan mereka atas kehilangan awrah yang begitu rapat dengan ibunya, Inom Yon dan kakaknya, Datin Orked Ahmad.

Penggambaran juga dijalankan di pejabatnya, Leo Burnett di mana Majalah 3 mendekati beberapa rakan-rakan rapatnya di pejabat. Turut dirakamkan biliknya yang penuh dengan pelbagai cenderamata dan anugerah yang dimenangi.

Majalah 3 juga menemubual beberapa teman karib seperti Fatimah Abu Bakar, Othman Hafsham, Azean Irdawaty, Ahmad Puad Onah dan Datuk Seri Farid Redzuan. Turut ditemuramah Dato' Seri Tony Fernandez, wakil Petronas yang sering menggunakan khidmat Yasmin untuk menghasilkan iklan sempena Hari Raya mahupun Hari Merdeka.

Paparan 'Pewarisan Yasmin Ahmad' bertujuan mendekatkan penonton kepada seorang pembikin filem tanah air yang tulen kerana baginya filem atau iklan satu medium untuk berkongsi idea, cerita dan pengalaman tanpa mengira bangsa dan agama.

Post a Comment

0 Comments