Sarimah Belum Ada Pengganti


Umum sudahpun mengetahui pelakon dan pengacara sensasi Sarimah Ibrahim telah pun bercerai dengan pasangannya Amir Andrew Abdullah setelah tiga tahun menjalani kehidupan berumahtangga.

Perpisahan pasangan ini agak memeranjatkan dunia hiburan kerana sepanjang tempoh perkahwinan mereka itu, tiada langsung gosip yang mengatakan rumahtangga mereka mengalami sebarang masalah. Tiba-tiba, berita perceraian mereka terpampang di dada-dada akhbar.

Kini setelah hampir lapan bulan menjadi solo, ramai yang ingin tahu sama ada selebriti berdarah campuran Ireland ini sudah mempunyai teman baru atau belum. Maklumlah, orang cantik pasti menjadi buruan ramai lelaki.

“Buat masa sekarang ini saya masih sendiri. Memang saya mempunyai ramai kawan, sama ada lelaki mahupun perempuan. Tetapi sekarang ini saya tidak bercinta dengan sesiapa. Kalau ditakdirkan suatu hari nanti jodoh saya di kalangan kawan-kawan saya ini, saya tidak akan menolak. Saya belum menutup pintu hati saya kepada mana-mana lelaki,” jelas Sarimah.

Ditanya adakah dia masih akan memilih jejaka ‘mat salleh’ untuk dijadikan teman hidup, Sarimah memberitahu itu semua terpulang kepada ketentuan Ilahi.

“Sebenarnya, it's not about me picking someone but who's going to pick me? Saya ini betul-betul berdarah campuran, orang Johor dan Ireland. So, macam mana? Ada atau tidak lelaki yang benar-benar ikhlas mahukan saya. Sarimah ini siapa? Saya tidak pernah berimaginasi saya ini besar sangat sehingga boleh memilih lelaki idaman saya. Never in my life.


“Perkahwinan pertama saya dahulu pun, Amir yang memilih saya. Lagipun, saya tiada masa untuk dating dengan sesiapa buat masa ini. Jadual kerja saya cukup padat. Untuk enam bulan dari sekarang, setiap minggu saya terpaksa bekerja selama enam hari. Jadi, mana ada masa untuk berjumpa dengan sesiapa. Kalau dengan orang produksi bolehlah,” seloroh Sarimah lagi.

Dalam pada itu, Sarimah juga ditanya tentang hubungannya dengan bekas suami. Menurutnya dia masih berkawan baik dengan Amir.

“Sehingga kini saya dan Amir masih berkawan baik. Kami pergi ke kelas karate dan pilates bersama-sama. Kami sudah saling mengenali lebih dari sembilan tahun dan sudah tahu hati budi masing-masing. Jadi, mengapa perlu bermusuh atau bermasam muka. Memang kami tidak serasi sebagai suami isteri tetapi kami boleh menjadi kawan baik,” jelas Sarimah yang ditemui pada sidang media dan majlis pelancaran program realiti Amerika Syarikat, ‘The Biggest Loser Asia’ di Bar Savanh Too, Plaza Mont Kiara semalam.

Sarimah akan menjadi hos untuk program realiti tersebut yang menampilkan 30 peserta daripada pelbagai negara Asia. Program ini menawarkan wang tunai sebanyak US$100 ribu kepada juara. Sabtu ini (1 Ogos) pencarian peserta ‘The Biggest Loser Asia’ akan diadakan di The Curve, Damansara bermula jam 10 pagi hingga jam 4 petang. Mereka yang berminat mestilah berumur di antara 18 hingga 55 tahun dan yang paling penting, mestilah mengalami masalah berat badan yang serius.


Bercerita tentang penglibatannya dengan ‘The Biggest Loser Asia’ Sarimah memberitahu yang dia cukup teruja untuk mengacarakan rancangan bertaraf antarabangsa itu.

“Bukan mudah untuk saya mendapat peluang besar ini. Selain daripada perlu menghadiri ujibakat, saya juga terpaksa mengikuti lima hingga enam temubual dengan pihak penerbitan. Mulanya saya ingatkan saya tidak berjaya kerana terpaksa menunggu lama, tetapi setelah beberapa bulan barulah mereka menghubungi saya untuk memaklumkan yang saya terpilih sebagai hos.

“Perasaan saya sekarang ini memang berdebar-debar dan juga tidak sabar-sabar untuk memulakan tugas. Maklumlah, saya mewakili Asia dan saya mahu tunjukkan pada dunia di luar sana siapa sebenarnya orang Asia, terutamanya rakyat Malaysia. Saya mahu masyarakat dunia tahu gaya hidup orang Malaysia. Untuk tujuan itu, saya akan cuba selitkan info-info berkaitan ketika mengacarakan program ini. Bagaimanapun, saya tidak akan abaikan negara-negara Asia yang lain. Info tentang negara mereka juga akan saya sampaikan.

“Selain itu saya juga ingin memberitahu yang saya sudah cukup bersedia untuk mengendalikan program bertaraf antarabangsa ini. Selama 13 tahun berada dalam industri, sudah banyak perkara yang saya pelajari. Semua ilmu ini akan saya gunakan untuk menjayakan program ini. Mungkin gaya pengacaraan saya akan sedikit berubah, terutamanya lenggok percakapan, tetapi ia adalah keperluan program ini. Saya perlu berbahasa Inggeris yang boleh difahami oleh semua orang. Bukan hanya rakyat Malaysia. Tapi jangan risau, saya sama sekali tidak akan meniru gaya pengacaraan orang lain,” tambah Sarimah lagi.

Selain mengacarakan 'The Biggest Loser Asia', Sarimah turut terlibat dalam penggambaran drama bersiri di bawah arahan Erma Fatimah. Drama bersiri ini akan menemui penonton untuk program Mega Raya Astro.

Post a Comment

0 Comments