Ning Seronok Urus Diri Sendiri


Itu pengakuan Ning Baizura Hamzah apabila diajukan soalan tentang perjalanan kariernya sekarang ini. Menurut Ning, sekarang ini dia seronok melakukan semua perkara dengan sendiri. Malah, dia juga mengakui mendapat lebih kepuasan setiap kali berjaya mendapat tawaran ataupun persembahan.

“Masa mula-mula menguruskan diri sendiri dahulu saya memang menghadapi sedikit kesukaran kerana terpaksa membina contact semula. Ini kerana sebelum ini saya hanya boleh dihubungi melalui Vernon. Apabila dia tidak bersama saya lagi, banyak pihak yang tidak tahu bagaimana cara untuk menghubungi saya. Tetapi, lama-kelamaan, semua masalah ini dapat saya atasi.”

Kenyataan Ning ini ada benarnya. Semenjak menguruskan diri sendiri, Ning dilihat lebih dekat dengan pihak media. Malah, Ning sendiri akan menjemput pihak media untuk ke majlis-majlis yang melibatkan dirinya. Tidak cukup dengan itu, rezekinya juga dilihat semakin bertambah. Bukan hanya mendapat banyak tawaran mengadakan persembahan, tetapi Ning juga dilantik menjadi jurucakap beberapa produk.

Terbaru, Ning telah pun bergelar jurucakap kepada produk perawatan kulit, Olay Regenerist. Produk rawatan wajah yang bersifat anti-penuaan itu membantu wanita berusia 25 tahun ke atas mengurangkan kedutan pada kulit wajah serta menganjalkan kulit supaya kelihatan lebih muda.

Bercakap kepada pihak media semasa majlis pelancaran media produk ini kelmarin, Ning memberitahu yang dia setuju mewakili Olay Regenerist kerana dia yakin dengan keupayaan krim ini.

“Sebelum memberi persetujuan, saya telah mencuba krim ini terlebih dahulu. Setelah enam bulan mencubanya, saya mendapati garis-garis halus yang terbentuk di wajah saya mula menghilang sedikit demi sedikit, terutamanya di bahagian mata. Selain itu, kulit wajah saya juga terasa lebih lembap dan nampak segar bermaya.

“Perubahan positif ini telah membuka pintu hati saya untuk menerima pelawaan daripada Olay. Paling penting, mereka (Olay) tidak cuba membuat saya kelihatan putih untuk semua kempen pengiklanannya. Mereka mahu saya tampil sebagai diri sendiri,” cerita Ning yang mengikat kontrak selama setahun dengan Olay.

Ning juga sudah selesai menjalani penggambaran iklan Olay Regenerist di Bangkok pada Mac lalu dan iklan ini akan muncul ke kaca televisyen pada Ogos hadapan.

Memandangkan Ning sudah mula menjadi jurucakap kepada produk kecantikan, dia turut ditanya sama ada ingin mempunyai produk kecantikan sendiri. Menurut Ning, kalau boleh dia memang inginkan produk kecantikan sendiri. Tetapi, kesibukan tugas menghalang niatnya itu memandangkan dia akan hadir dengan album terbaru tidak lama lagi.

“Buat masa ini saya perlu fokus pada penerbitan album saya terlebih dahulu. Lagipun, saya sudah ada koleksi pakaian lelaki yang perlu dipasarkan. Ini kerana buat masa ini saya masih tidak mempunyai tempat untuk meletakkan koleksi itu. Kalau boleh saya ingin letakkan di Metrojaya, tetapi masih belum sempat mengusahakannya. Tengoklah macamana nanti. Koleksi yang saya reka sendiri ini mengunakan batik sebagai elemen utama.”

Bercerita tentang album terbarunya pula, Ning menjelaskan album yang berkemungkinan besar dinamakan sebagai ‘Revolusi’ itu akan berkonsepkan R&B dan soul.

“Kali ini saya akan tampil dengan album penuh Melayu yang membawakan irama R&B dan soul. Irama ini memang pilihan saya dari dahulu. Tetapi dahulu saya terpaksa lupakan seketika kerana mengikut cakap pihak lain dalam pembikinan album. Sekarang, semua keputusan di tangan saya dan saya harap album ini boleh memikat hati pendengar.

“Saya mahu album terbaru ini ada cerita yang boleh dikongsi bersama peminat di luar sana. Maklumlah saya sudah hampir 17 tahun dalam bidang ini dan sudah sampai masanya saya memberikan peminat sesuatu yang istimewa. Saya menggunakan Audi Mok sebagai komposer utama untuk album ini memandangkan dia seorang yang betul-betul kenal dengan muzik. Audi menyumbangkan lima buah lagu kesemuanya,” luah Ning lagi.

Ditanya tentang kehamilan pula, ini jawapan yang diberikan oleh Ning”

“Mentally, I’m ready but physically I’m not. Banyak perkara yang perlu saya selesai terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk hamil dan mempunyai anak. Dengan kontrak Olay ini misalnya, saya perlu mengekalkan bentuk badan saya sekarang ini. Semua syarat ini sudah tertulis dalam kontrak yang saya tandatangi. Biarlah semuanya stabil dahulu.”

Post a Comment

0 Comments