Atilia, Noryn Lepas Geram


Semuanya gara-gara selepas menyaksikan persembahan Butterfingers di Lambang Sari, Istana Budaya pada awal Januari lalu. Ketika itu terlintas di fikiran Atilia bahawa konsep yang sama boleh diaplikasikan untuk sebuah persembahan jazz. Dan begitulah terlahirnya konsert Malam Nada Biru.

“Rasanya ini masa yang sesuai untuk menampilkan sesuatu yang baru dari segi konsep dan produksi. Kebiasaannya, para penyanyi akan beraksi di dewan utama. Kami cuba wujudkan sebuah suasana yang lebih intim,” kata Atilia.

“Tak begitu berbeza dari bila kita buat show di Alexis, Bangkok Jazz dan No Black Tie tetapi pada skala yang lebih besar. Perbezaan yang ketara, mereka yang hadir akan dapat menumpukan sepenuh perhatian pada muzik kami.”

Tambahnya, tujuan utama diadakan Malam Nada Biru adalah untuk menghasilkan satu rakaman DVD dengan bantuan PRS Productions (produksi yang bertanggungjawab untuk video muzik “Sangkar”).

Sebanyak enam kamera HD akan digunakan untuk merakam bukan sahaja persembahan dua malam tersebut tetapi juga segala yang berlaku di belakang tabir dan ketika sesi latihan.

“Ini percubaan pertama saya dalam penerbitan, menggunakan pengalaman saya ketika terlibat dalam kerja-kerja produksi. Dengan adanya DVD ini, boleh kita tunjukkan kemampuan bakat tempatan,” kata Atilia yang akan menjual hak rakaman kepada stesen TV selain memasarkannya kepada umum (diharapkan sebelum Krismas).

Menjadi harapan wanita bercita-cita besar ini untuk mengadakan satu Malam Nada Biru dua bulan sekali, menampilkan penyanyi-penyanyi tempatan dari pelbagai genre. Di akhir tahun, dikumpulkan kesemua artis-artis ini untuk satu konsert besar-besaran.

Untuk percubaan pertamanya, dijemput teman baik Noryn Aziz untuk berkongsi pentas dengannya. Mereka akan diiringi tujuh pemuzik yang bukan calang-calang orang seperti Steve Thornton, Lewis Pragasam dan Jamie Wilson.

“Muzik kami mempunyai persamaan dan saya merasakan jika digandingkan bersama, kami mampu menarik minat penggemar muzik ke konsert kami,” jelas Atilia yang memberitahu mereka digandingkan buat pertama kalinya kira-kira dua tahun lalu untuk rancangan ntv7 berjudul ‘Nite of Soulful Stars’.

Bila ditemui dua hari lalu, Atilia mendedahkan lebih 70% tiket telah dijual untuk persembahan malam ini manakala untuk malam kedua, lebih 68% tiket telah terjual.

Menaja diri sendiri
Awalnya, perancangan Atilia untuk cuba mendapatkan tajaan daripada syarikat telekomunikasi. Namun jawapan yang diterima: mereka tiada masa dan sibuk dengan projek lain. Jauh dari berputus asa, diteruskan juga impiannya dengan mengeluarkan modal sendiri, kira-kira RM50 ribu.

Ditambah pula sekumpulan rakan-rakan yang sudi menghulurkan bantuan. Noryn misalnya, tidak meminta sebarang bayaran untuk persembahannya manakala para pemuzik sanggup mengenepikan bayaran royalti mereka. Peralatan muzik pula dipinjamkan dari kawan-kawan.

Tetapi bukan semuanya keberatan memberikan tajaan. Yamaha telah menaja sebuah ‘grand piano’. Manakala Eclipse akan menaja pakaian mereka untuk persembahan dua malam itu. Kata Atilia mengenai rekaan mereka itu, “It’s simple, classy but not revealing.”

“Cabaran terbesar untuk projek ini adalah dari segi tajaan. Mula-mula tu terasa-lah kecewa tetapi selepas satu jam saya melihatnya sebagai satu cabaran. Peluang untuk membuktikan bahawa saya boleh melaksanakan projek ini walaupun pada bajet yang kecil tanpa mengkompromikan kualitinya. Jika kami berjaya, penaja mungkin lebih terbuka untuk menaja siri seterusnya.

“Bila difikirkan, ada baiknya kita tidak mempunyai penaja. Kami lebih menghargai hasilnya. Boleh juga kami jadikan ini peluang untuk belajar. Selepas ini, kami tahu apa yang perlu dilakukan.”

Tiada lagu ‘cover’
Hanya tinggal beberapa jam sebelum bermulanya persembahan mereka pada jam 9 malam nanti.

Dedah Atilia, bukan saja dirasai perasaan gementar tetapi bimbang juga tentang produksi malam nanti dan cukupkah duit untuk menanggung makan minum krew.

“Tetapi saya amat berpuas hati dengan latihan yang telah kami jalani. Everything sounds good. We have professional musicians. Technology wise everything should be okay. We’ve planned this.”

Tambah Noryn, “Sekarang ini masih okay sebab kami sudah menjalani latihan. Tetapi rasanya pada hari persembahan, lain ceritanya. Mungkin ada sedikit gementar tapi pastinya kami berdua tidak boleh melihat satu sama lain sebab kami mesti buat lawak dan hilang fokus.

“Tetapi untuk sebuah ‘live show’, tidak boleh diharapkan sebuah persembahan yang sempurna. Bimbang juga ni apa yang nak dikatakan ketika berinteraksi dengan penonton.”

Selama dua jam (setiap penyanyi akan diberi set sepanjang 45 minit), para hadirin akan dipersembahkan dengan lagu-lagu dari album Atilia (termasuk beberapa lagu dari album terbarunya, yang belum lagi diperdengarkan dimana-mana) dan Noryn yang telah diatur semula. Pada penghujung konsert, mereka akan berduet untuk lagu “Sangkar” dan “Cerita Cinta”. Tidak akan ada ‘cover songs’.

“Biasanya bila kami membuat persembahan korporat, kami perlu menunaikan permintaan pelanggan untuk menyanyi lagu ‘cover’. Jadi kali ini, kami nak lepas geram dengan menyanyikan lagu sendiri. Lagipun lebih bersesuaian dengan konsep persembahan jika kami menyanyikan lagu sendiri,” kata Atilia.

Malam Nada Biru akan berlangsung pada 30 - 31 Julai ini, jam 9 malam. Dapatkan tiket anda, hanya RM80, di box office Istana Budaya atau melalui www.ticket2u.biz

Post a Comment

0 Comments