Lan Jual Muzik Bukan Kejar Glamor


Sudah dua bulan bergelar artis solo, Lan mengakui perasaannya kini lebih bebas. Bebas untuk menentukan hala tuju muzik yang ingin diperjuangkan. Namun tidak dinafikan, dirindui memori bersama teman-teman Meet Uncle Hussain (MUH) yang sudah dikenali selama sembilan tahun.

Tetapi, seperti yang dikatakan Lan, semuanya sudah ditakdirkan. Meskipun ramai yang meletakkan beban kesalahan ke atas dirinya, baginya, "Semua ini lumrah hidup. Terpulanglah pada mereka untuk menilainya.

"Mereka tak nampak cerita sebenar. Lain yang akan mereka katakan jika mereka tahu ceritanya. Biar mereka buka mata sendiri. MUH kaya. Mengapa saya nak mula dari bawah semula?"

Jika MUH sedang gigih di studio merakam lagu-lagu baru, begitu juga Lan. Single pertama kumpulan barunya, Azlan & The Typewriter (ATT), "Kelibat Si Penyair" sudahpun dimainkan di corong-corong radio seperti X-Fresh dan Hot FM sejak seminggu lalu.

Menurut Lan yang ditemui semalam ketika rakaman program ‘Akustika Raya’, berdasarkan komen-komen di MySpace (www.myspace.com/azlanandthetypewriter), lagu itu diterima baik pendengar. Diakuinya, single tersebut mirip lagu-lagu MUH.

"Saya tidak dapat ubah vokal saya tetapi jika anda perdengarkannya dengan teliti, terdapat perbezaan dari segi gubahan muzik dan bunyinya dari MUH. Liriknya juga lebih berkias.

"Kita boleh cari makan dengan muzik. Cuma kita jangan takut ambil risiko."

Namun diterimanya perbandingan diantara muzik MUH dan ATT secara positif. "Saya fikirkan secara positif. Sebab itu kami perlu lebih banyak keluar membuat persembahan dan promosi."

Dedah Lan, rezeki persembahan tidak putus walaupun tidak banyak. Pada 14 Ogos ini, dia bersama band telah diundang membuat persembahan di Universiti Malaysia Perlis.

Bila sudah bergelar artis solo, semuanya – tekanan, risiko, kegagalan – perlu ditanggung sendiri. Ditanya jika dia mampu menghadapinya, Lan optimis terutamanya apabila syarikat yang menguruskannya lebih tersusun dalam cara kerja mereka.

Perancangan Lan untuk mengeluarkan album penuh memuatkan 12 lagu pada Februari tahun depan. Setakat ini tujuh lagu sudah dirakamkan cuma menunggu proses mastering. Harapan Lan untuk menyiapkan lima lagi lagu semasa bulan Ramadhan nanti.

"Biasanya bulan puasa digunakan dengan cermat untuk kerja-kerja studio. Siang tidur, malam rekod."

Kesemua lagu ditulis Lan bersama Lake, orang yang bertanggungjawab memberikan nama ATT.

"Typewriter tu ‘old school’. Tapi itu bukan bermakna lagu-lagu ATT ketinggalan zaman. Kita ubahkan ikut citarasa sekarang. Boleh dikatakan muzik ATT iras Kings of Leon, The Doors dan juga Amy Winehouse. Kami dipengaruhi muzik zaman 70-an."

"Fokus ATT adalah pada band, muzik. Kita jual muzik bukan muka. Kita tidak mencari glamour."

Selain Lan, anggota ATT sebenarnya terdiri daripada kenalannya semasa belajar dulu. Bukan ahli tetap ATT sebaliknya mereka sessionist.

Jelas Lan, pengalaman berkumpulan sebelum ini mengajarnya adalah lebih baik untuk perancangan jangka panjang jika dia bergerak seorang diri. Bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah dalaman.

Bagaimana pula dengan masalah disiplin yang dikecohkan sebelum ini?
"Nama kumpulan Azlan and The Typewriter. Nama saya yang diketengahkan dulu. Jadi apa jua masalah, saya perlu menanggung semuanya."

Post a Comment

0 Comments