Khai-Rosma Beraya Dengan Danish



Bagi pasangan artis yang lahir daripada program realiti ini, kehadiran Ramadhan dan Syawal tahun ini disambut dengan penuh kegembiraan. Ini kerana mahligai yang dibina pada 26 April 2008 lalu telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Amzar Danish. Kehadiran ‘orang baru’ inilah yang memberi pengalaman baru kepada Khai dan Rosma dalam menjalani ibadah puasa tahun ini.

“Tahun ini berpuasa memang lain daripada yang lain. Kalau dulu masa berbuka tiada siapa yang nak kacau, tapi kali ini Danish mesti sibuk sekali. Tiap kali sampai waktu berbuka mesti dia bangun daripada tidur. Jadi, saya dengan Rosma kena bergilir-gilir jaga Danish. Mula-mula saya makan, kemudian barulah Rosma,” ujar Khai.

Satu lagi cabaran bulan puasa ini, Danish suka berjaga tengah-tengah malam. Pukul 12 tengah malam mesti dia bangun daripada tidur. Bila dia bangun, kami pun terpaksalah layan kerenah dia. Kadang-kadang tu kami tidak tidur sampailah waktu sahur. Sambil jaga Danish, saya akan masak atau panaskan lauk untuk bersahur,” sampuk Rosma pula.

Dalam masa yang sama pasangan ini turut mengakui Ramadhan ini mereka begitu teruja sekali ingin membeli-belah untuk raya. Semuanya kerana Danish.

“Maklumlah ini kali pertama kami beraya sebagai ayah dan ibu. Sebab itu teruja sangat. Dalam kepala ini sudah ada macam-macam benda yang hendak dibeli untuk Danish. Tapi tidaklah sehingga ingin membazir tidak tentu pasal. Untuk kami berdua pula, kami akan buat persiapan raya secara sederhana. Kami akan beli apa yang perlu sahaja,” cerita Khai dan Rosma yang akan beraya di Kuantan, Pahang bermula raya kedua nanti.

Lebaran Illahi Aidilfitri
Bercerita tentang perkembangan terbaru pasangan ini, Khai dan Rosma baru-baru ini telahpun melancarkan album Raya sempena Aidilfitri tahun ini. Album yang berjudul ‘Lebaran Illahi Aidilfitri’ ini memuatkan empat lagu raya terbaru dan dua lagu lama. Selain Khai dan Rosma, ia turut disertai oleh rakan seperjuangan mereka iaitu Sahri dan juga bekas guru vokal mereka, Cikgu Siti Hajar.

Istimewanya album ini kepada Khai ialah, selain daripada menjadi penyanyi, dia juga bertindak sebagai komposer. Malah, penerbitan album ini juga merupakan ideanya bersama Rosma dan Sahri. Bagimanapun, ia dibiayai sepenuhnya oleh Artiste Performing Arts Centre (APAC), sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti-aktiviti kesenian.

Ditanya mengapa dia memilih untuk menerbitkan album Raya berbanding album biasa, Khai memberitahu dia ingin mencuba sesuatu yang baru. Walaupun ada yang tidak yakin dengan album ini, tetapi Khai melihat perkara ini dari sudut berlainan.

“Mungkin ada yang berpendapat, dalam situasi sekarang ini tidak ramai yang ingin membeli album. Lebih-lebih lagi album lagu raya. Maklumlah lagu-lagu raya malar hijau masih menjadi kegemaran ramai orang. Tetapi saya berani mencuba kerana kalau tidak ada orang yang ingin hasilkan lagu-lagu raya yang baru, industri kita akan jadi lebih suram.

“Mungkin pada waktu ini ia tidak popular, tetapi saya percaya lama-lama nanti pasti akan ada yang menggemarinya. Contohnya lagu raya dendangan 4U2C dan Feminin. Awal-awal dulu tidak ramai yang menyukainya, tetapi sekarang sudah kerap dimainkan di radio.”

Sementara itu, Siti Hajar yang turut terlibat dengan album ini memberitahu yang dia setuju merakamkan suara untuk album raya ini kerana dia ingin menyokong usaha bekas anak-anak didiknya itu.

‘Mungkin ada yang akan berkata suara saya tidak sedap, tetapi saya tidak kisah dengan kritikan itu. Saya sedar umur saya sekarang bukannya muda lagi. Kalau 10 tahun dahulu, mungkin kualiti vokal saya lebih baik. Lagipun, saya tiada masa untuk praktis, dalam sehari saya menghabiskan masa 12 jam untuk mengajar,” ulas Siti Hajar mengenai penglibatannya.

Album ‘Lebaran Illahi Aidilfitri’ ini memuatkan lagu “Aildilfitri Mulia” (Khai, Rosma, Sahri dan Siti Hajar), “Gemersik Ilahi” (Sahri & Siti Hajar), “Gembira di Hari Raya” (Rosma), “Hari Raya Bersama” (Khai & Sahri), “Hari Raya Bahagia” (Khai dan Rosma) dan “Dendang Perantau” (Sahri).

Album ini boleh didapati di pasaran dengan harga RM19.90 setiap satu.

Post a Comment

0 Comments