Lah Utamakan Anak Isteri



Kehadiran Syawal amat dirasai kini apatah lagi lagu raya sudah mula berkumandang di corong radio. Keseronokan makin dirasai apabila melihat keindahan lampu bergermerlapan di setiap ruang pusat beli-belah dan pelbagai biskut raya mula dijual.

Bagi yang sudah berkeluarga, pastinya Syawal meriah dengan persiapan anak-anak. Pasangan yang pertama kali menyambut Syawal bersama orang baru pula, pastinya teruja dengan kedatangan Aidilfitri ini.

Bagi Lah Ahmad, selepas dua kali menyambut Syawal berdua, kemeriahan Syawal ini lebih dirasai dengan kehadiran orang baru dalam hidup mereka suami isteri. Semenjak Amira Zaharah lahir hampir empat bulan lalu, kehidupannya dan isteri terasa lebih bermakna.

“Kehadiran Amira menjadi pelengkap keluarga kami. Malah sejak kehadirannya, saya lebih bersemangat dan seluruh usaha dan kerja keras hanyalah untuk anak isteri,” tambahnya.

Jika pasangan lain terpaksa membuat undian untuk menentukan lokasi menyambut Aidilfitri, Lah dan isteri, Puteri Yasrina Mohd Yusuff tidak perlu pening memikirkan untuk berlumba-lumba pulang ke kampung kerana mereka menyambutnya di Lembah Kelang sahaja memandangkan kedua ibu bapa masing-masing tinggal di Shah Alam dan Subang Jaya.

“Persiapan lebaran kali ini lebih tertumpu kepada Amira dan isteri. Persediaan untuk saya, ala kadar sahaja. Malah isteri saya juga menumpukan lebih perhatian kepada Amira dan banyak membeli pakaian baru untuknya. Amira juga sudah disediakan sepasang baju kurung,” tambah Lah.

Keterujaan bergelar bapa sangat dirasai Lah apabila setiap hari dia tidak sabar pulang ke rumah. Tambah Lah, melihat wajah Amira, hatinya ‘cair’ dengan kecomelan dan keletah anak sulungnya itu.

Selain pakaian raya, Lah tidak gusar dengan persiapan biskut dan juadah raya kerana dia sudahpun menempah melalui ibu mertuanya. Lagipun sebagai pasangan muda, sudah pastinya kunjungan saudara-mara tertumpu ke rumah ibu bapa berbanding rumah mereka.

Post a Comment

0 Comments