Tiada Niat Singgung Sesiapa



Kejaayaan filem pertama arahan Hans Isaac, ‘Cuci’ bukan sahaja terbukti dengan hasil kutipan tiket di panggung, malah dia turut diangkat sebagai Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21.

Selepas kejayaan di layar besar, Hans dan produksinya, Tall Order Productions kini membawa filem itu ke pentas teater muzikal. Seperti filem, Hans mahu ‘Cuci The Musical’ (CTM) mengulangi kejayaan yang pernah dikecapainya.

Malah, untuk memantapkan persembahan, Hans memilih barisan pelakon yang memuaskan hatinya dan dianggap kumpulan terbaik menjayakan CTM.

“Ada beberapa perubahan dalam senarai pelakon terutamanya dua watak utama pelakon wanita. Vanidah Imran akan melakonkan watak CJ yang sebelum ini dilakonkan Erra Fazira dan Adibah Noor akan menggantikan Umie Aida untuk watak Farah. Saya memang berpuas hati dengan senarai pelakon, tambahan pula Vee dan Adibah sememangnya bagus dalam lakonan dan vokal. Saya hanya mahukan kumpulan terbaik untuk CTM ini,” akuinya.

Kenyataan Hans itu sedikit sebanyak mengundang tanda tanya kepada yang mendengarnya. Apakah dia masih tidak dapat melupakan pertelingkahan yang pernah wujud antaranya dan Erra?

“Sebagai seorang ahli pernigaan, saya hanya mahukan yang terbaik dalam kumpulan ini. Malah saya juga tidak ada masalah dengan pelakon Umie Aida dan secara peribadi telah mengundangnya untuk CTM, tetapi dia tidak dapat melakukannya. Saya harap tiada siapa yang akan tersinggung dengan barisan pelakon yang dipilih untuk CTM ini,” jelas Hans.

Mengimpikan persembahan sehebat muzikal ‘Grease’, lelaki yang kini tampil dengan imej berjambang kerana lakonannya dalam filem ‘Jalan Lama’, berdebar menanti reaksi penonton terhadap nyanyiannya di atas pentas.

“Jika melihat kepada barisan pelakon, saya tidak risau langsung kerana Awie, Afdlin, AC dan Adibah memang penyanyi. Cuma saya dan Vee sahaja perlu memantapkan vokal masing-masing,” tambahnya yang akan menyanyikan lima lagu untuk CTM.

Hanya mahu yang terbaik, Hans memilih Dato’ Zahim Albakry sebagai pengarah dan Harith Iskandar sebagai pengarah bersama. Malah, keseluruhan tenaga produksi yang memainkan peranan penting untuk CTM ini bukan calang-calang.

Antara nama besar yang bersedia menggalas tanggungjawab ialah Stephen Rahman-Hughes memikul tugas sebagai kareografer; Pacai selaku komposer dan penulis lirik; Rudi Muhammad sebagai pengarah muzikal; Douglas Lim sebagai komposer, penulis lirik dan penulis buku; Raja Maliq sebagai pengarah set dan Ee Chee Wei sebagai pereka lampu.

CTM akan dipentaskan bermula 23 Oktober ini dan mendapat naungan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd Rahman dan sebahagian kutipan tiket akan disumbangkan kepada Yayasan Nurul Yaqeen.

Post a Comment

0 Comments