“SEMUA itu luahan rasa dan mainan perasaan saya, Siti hanya terjemahkan dalam nyanyian dan lirik yang sangat indah,” jelas Krisdayanti (KD) ketika menggambarkan album terbarunya, CTKD bersama Datuk Siti Nurhaliza.
Lebih menangkap emosi bagi ibu kepada Titania Aurelie, 11, dan Azriel Akbar, 9, ini apabila terserempak dengan bekas suaminya, Anang Hermansyah di Lapangan Terbang Denpasar, Bali, 4 Januari lalu dan KD sempat menyerahkan album CTKD padanya.
Kehadirannya di Kuala Lumpur Isnin lalu tidak terlepas daripada persoalan mengenai spekulasi cinta terbarunya dan dikatakan bakal melangsungkan perkahwinan penghujung bulan ini.
Bagaimanapun KD menafikan. Sambil mengukir senyum, KD memberitahu jika ada rezeki dan kesempatan, dirinya akan melangkah ke gerbang perkahwinan kali kedua dalam tahun ini.
Meskipun diasak bertubi-tubi mengenai tarikh perkahwinannya serta siapa bakal suaminya, KD ringkas membalas segala pertanyaan dengan senyuman. Terus berteka-teki terhadap segala pertanyaan media, KD lebih selesa untuk tidak mengulas lanjut. “Hidup sendirian tidak semudah dilihat. Namun kegagalan perkahwinan pertama banyak memberi pengalaman dan pengajaran untuk saya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. Benarlah kata orang yang perkahwinan kedua lebih sukar berbanding pertama. “Tunggu saja bila tarikhnya. Saya tidak dapat menyatakan sekarang kerana urusan perkahwinan bukan satu kerja mudah. Apa yang penting, bakal suami dapat menerima saya seadanya dan menyayangi keluarga serta teman-teman saya,” katanya.
Saat ini, media Indonesia sibuk mengorek kisah penyanyi terkenal ini dengan jutawan dari Timor Leste, Raul Lemos. Malah KD dikatakan dilihat bersama Raul di pesta ulang tahun Presiden Timor Leste, Jose Ramos Horta pada 26 Disember lalu.
0 Comments