Datin Seri Rosmah terima Anugerah Keamanan dan Keharmonian

NEW YORK 17 April - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerima Anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada Majlis Perniagaan bagi Persefahaman Antarabangsa (BCIU) Amerika, malam tadi.


Anugerah sebagai tanda pengiktirafan terhadap pelbagai kerja amal beliau dan bagi menghargai hubungan penting antara Malaysia dan Amerika itu disampaikan kepada Rosmah oleh bekas Setiausaha Negara Amerika Lawrence Eagleburger pada majlis jamuan malam di St Regis Hotel di sini, yang turut dihadiri Datuk Seri Najib Tun Razak.


BCIU yang ditubuhkan pada 1955 atas inisiatif Rumah Putih, adalah sebuah badan berkecuali yang berorientasikan pencapaian serta menjadi pemudah cara dialog dan perikatan antara syarikat perniagaan dunia dan pemimpin politik.


Ketika menerima anugerah yang dicipta oleh pengukir terkenal Sergey Eylanbekov itu, Rosmah berkata, beliau amat gembira kerana menerima anugerah berkenaan daripada sebuah pertubuhan yang mempunyai misi untuk memupuk persefahaman antarabangsa melalui hubungan rakyat dengan rakyat.
"Anugerah ini bukan saja akan memberi dorongan dan semangat kepada saya, tetapi juga orang lain, untuk terus berusaha bagi memperjuangkan perkara penting demi kebaikan mereka yang memerlukan bantuan,” katanya. - Bernama

Post a Comment

0 Comments