TAHNIAH! Liza Hanim Kini Bertudung



Setelah lama tidak mendengar khabar berita daripada penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim, tiba-tiba dia muncul dengan penampilan baru dalam program realiti Mentor malam kelmarin. Liza Hanim yang diundang sebagai seorang juri professional dilihat bertudung litup dengan bentuk badan berisi. Perubahan ini pasti membuatkan ramai peminat Liza di luar sana ingin tahu kisah di sebalik perubahan ini.

“Saya mula memakai tudung April lalu. Tidak ada sebab tertentu yang membuatkan saya berubah imej ini. Kalau ikutkan memang dah lama ada niat, cuma saya tidak benar-benar yakin hendak lakukan. Bulan April lalu, tiba-tiba keinginan itu sangat kuat. Bangun tidur suatu pagi tu, saya terus teringat hendak pakai tudung.


Saya pun bincang dengan suami dan dia menyokong niat saya. Tapi dia sempat pesan supaya tidak buat separuh jalan. Dengan emak dan ayah saya pun saya tidak maklumkan. Mereka hanya tahu selepas kami berjumpa. Mereka pun tidak ada masalah dengan perubahan ini. Semua ahli keluarga menyokong saya,” cerita Liza.

Menyentuh soal kerjaya nyanyiannya selepas ini, Liza memberitahu dia akan terus menyanyi walaupun sudah bertudung. Tambahnya, menyanyi adalah minatnya dan dia tidak mungkin meninggalkan nyanyian begitu sahaja.

‘Sudah bertudung tidak bermakna saya akan meninggalkan dunia nyanyian. Saya masih ingin berada di dalam industri, cuma buat masa ini saya belum bersedia untuk buat kemunculan semula. Saya sedang mencari imej yang bersesuaian. Kalau sudah bertudung, pasti saya tidak boleh bergerak di pentas macam dahulu lagi. Banyak yang perlu saya fikirkan. Bagaimanapun, minat saya masih pada pop. Saya tidak boleh lari dari pop.

Paling penting, saya mahu turunkan berat badan dahulu. Perkara ini memang bukan senang untuk saya lakukan. Ikut pengalaman bersalin anak pertama dahulu, saya ambil masa setahun setengah untuk kembali ke bentuk badan asal. Anak kedua ini tidak tahu pula macamana. Kalau semuanya berjalan seperti yang dirancang, saya akan muncul dengan single terbaru pada bulan puasa nanti. Sekarang tengah mencari right song for the right image,” ujar Liza yang melahirkan anak perempuan keduanya pada tahun lalu.

Tahniah diucapkan kepada Liza Hanim dengan perubahan ini. Pasti ramai yang gembira.

Post a Comment

0 Comments