
Darling Ngasri memang terkenal sebagai antara pelakon dan penerbit muda yang paling berjaya di Malaysia. Banyak drama terbitannya yang berkualiti dan berjaya meninggalkan impak kepada industri seni negara.
Namun sejak kebelakangan ini, Darling Ngasri atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri semakin sibuk. Apa yang menarik, dia bukan sibuk menghasilkan drama terbaru, sebaliknya sibuk membuat persiapan akhir sempena majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung pada 31 Mei depan.
Darling ketika ditemui baru-baru ini mengakui persiapan sudah lebih 70 peratus siap. Namun masih banyak yang perlu dilakukannya kerana dia mahu majlis sederhana yang diadakannya itu cukup meriah, sempurna dan berjalan lancar. Apatah lagi, itu merupakan kenangan sekali seumur hidup sebelum dia bergelar isteri kepada kekasih hati pilihannya, Nur Azlin Rahmat.
![]() |
|---|
Pada saya cukuplah kalau ianya sederhana tetapi meriah dengan kehadiran keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan.
"Sekarang saya masih menguruskan soal jemputan kerana saya takut kalau-kalau ada nama yang tercicir. Mengikut perancangan saya akan menjemput lebih kurang dua atau tiga ribu tetamu.
Majlis nikah akan diadakan pada 30 Mei manakala majlis sanding akan diadakan sehari selepas itu.
"Majlis sanding akan diadakan di padang berhampiran rumah keluarga saya. Konsepnya pula 'Ala Taman'. Majlis di pihak lelaki pula akan akan diadakan pada 7 Jun di Bukit Katil, Melaka." katanya.
Ditanya tentang kerjaya seninya kini, dia memberitahu dia masih meneruskan kerja-kerjanya sebagai seorang penerbit dan pelakon. Malah katanya, drama bersiri ‘Gadis Cuci’ musim kedua kini sudah habis menjalani penggambaran dan bakal ditayangkan kepada umum tidak lama lagi.
Tambahnya, dia bersyukur kerana ‘Gadis Cuci’ musim pertama mendapat respon yang sangat positif daripada peminat dan mengharapkan respon yang sama untuk ‘Gadis Cuci’ musim kedua. Katanya lagi, kalau respon baik dan rating tinggi, tidak mustahil dia akan meneruskan kesinambungan ‘Gadis Cuci’ untuk musim yang ketiga.
"Buat masa ini saya masih lagi bekerja. Mungkin seminggu atau dua minggu sebelum majlis perkahwinan, saya akan berehat untuk memberikan sepenuh perhatian kepada majlis tersebut. Memang penat tapi dalam masa yang sama seronok sebab perkara sebegini bukan selalu berlaku dalam hidup kita. Apa yang penting saya berpuas hati," katanya.
Bercerita tentang perasaannya yang bakal bergelar isteri tidak lama lagi, Darling memberitahu seperti wanita lain dia juga berasa berdebar dan dalam masa yang sama teruja untuk melalui satu fasa baru dalam kehidupannya.
Apatah lagi tunang tersayang sentiasa memahami akan kerjaya seninya yang sentiasa sibuk, tidak menentu dan menuntut pengorbanan daripada segi masa serta tenaga untuk terus berjaya.
"Sebelum ini saya dan tunang telah berbincang tentang perkara ini. Apa yang penting adalah saling bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Saya perlu jelaskan kepada dia tentang kerja saya yang tidak menentu.
"Apabila dia dapat menerima diri saya seadanya dan memahami tentang kerjaya saya, barulah kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga. Ini memang sangat penting sebab selepas ini kami akan menjalani kehidupan bersama berdua buat selamanya," jelasnya tenang.
Ujarnya, dia juga kini banyak membaca serta mendapatkan nasihat daripada kedua ibu bapanya untuk menjadi seorang isteri terbaik. Malah kursus perkahwinan yang dihadirinya baru-baru ini banyak membantu untuk membentuk keyakinannya sebelum bergelar isteri.
Dalam pertemuan itu juga Darling yang sebelum ini pernah mengalami kemalangan teruk memberitahu, dia bersyukur kerana kesihatannya telah pulih seratus peratus. Malah doktor yang merawatnya juga mengesahkan perkara tersebut.
"Saya memang telah pulih. Namun selepas setahun kemalangan tersebut berlaku, adakalanya saya juga berasa trauma untuk memandu. Tetapi saya kuatkan hati dan cuba lebih berhati-hati," katanya.
Untuk rekod, sebelum ini Darling dan Azlin telah mengadakan majlis pertunangan di kediaman keluarga Darling di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Majlis tersebut berlangsung dalam suasana sederhana tetapi meriah kerana dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Dalam majlis itu, ibu Azlin iaitu Badariah Abu Bakar yang mengetuai rombongan pihak lelaki menyarungkan cincin tanda di jari manis Darling di samping menyerahkan satu peratus daripada wang hantaran yang dipersetujui berjumlah RM22,222.22 bersama lima dulang berbalas tujuh.

0 Comments