

Sudah tentu ramai yang mahu Sari menang, bukan? Iyelah, bukan ke dia baru sahaja bersatu dengan ‘buah hati’nya itu? Masih dalam suasana berbulan madu lagi. Jangan risau, buah hati yang GUA maksudkan itu bukanlah suami kesayangan Sari, tetapi Ilham, buah hati Sari di dalam drama online terbaru GUA yang berjudul ‘Mingguan Lelaki’.
Memey bukanlah sekeji yang anda fikirkan awal-awal tadi. Perlakuannya itu semata-mata mahu menjayakan watak Farah, seorang penyanyi popular yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan karier seninya terus bertahan.
![]() |
Baru-baru ini GUA berkesempatan ke lokasi penggambaran ‘Mingguan Lelaki’ di Summit, USJ. Kebetulan pada petang itu, Sari dan Memey ada di lokasi dan tanpa membuang masa GUA terus mendapatkan komen kedua-dua pelakon ini tentang watak yang dilakon masing-masing.
Menurut Sari dia tidak menghadapi masalah dengan lakonannya kali ini kerana wataknya itu tidak terlalu berat.
“Bagi saya watak Misha tidaklah terlalu berat untuk dilakonkan, lebih kurang sama dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Walaupun ini kali pertama saya berlakon dalam drama online, tetapi saya tidak lihat ada perbezaan dengan drama yang ditayangkan di televisyen. Prosesnya sama saja. Cuma masa tayangannya agak sangat pendek untuk setiap episod,” jelas Sari.
Dalam masa yang sama Sari turut mengakui yang dia selesa digandingkan dengan Fazren Rafi (Ilham) kerana Fazren seorang yang mudah didekati dan pandai berlawak jenaka. Tiada sebarang salah faham yang timbul di antara mereka kerana sebelum penggambaran bermula, mereka sering berbincang terlebih dahulu.
![]() |
“Mungkin dengan melakon watak penggoda ini, ramai yang akan menuduh saya ini memang seorang wanita yang suka menggoda lelaki. Tetapi hakikatnya saya bukanlah begitu, ini hanyalah lakonan semata-mata. Saya tidak kisah membawa watak begini kerana saya tidak mahu campur antara kerja dan peribadi. Sebagai seorang pelakon, saya perlu mencuba pelbagai watak untuk memajukan diri.”
‘Mingguan Lelaki’ mengisahkan tentang Ilham seorang lulusan Teknologi Maklumat yang bertugas sebagai penulis di majalah Mingguan Lelaki, sebuah majalah picisan lelaki yang membincangkan topik-topik berkaitan lelaki seperti gay dan onani.
Ilham bukanlah seorang lelaki yang menjadi idaman wanita. Dia tidak tahu berfesyen dan berpenampilan tidak menarik. Namun begitu, dia dicintai secara diam-diam oleh bekas rakan universiti dan teman sekampungnya iaitu Misha. Tetapi, dalam masa yang sama Ilham mencintai Farah, seorang penyanyi popular yang berpura-pura mencintainya.
Kecewa dengan hubungan cinta yang terjalin di antaran Ilham dan Farah, Misha mengambil keputusan untuk keluar dengan rakan sekerja Ilham iaitu Eddie. Setelah lama tidak menghubungi Farah, Ilham mula merinduinya. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Farah memutuskan hubungan dengannya.
0 Comments