
KRU Studios baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi gergasi, Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi filem ke-4 terbitan mereka iaitu ‘Jin Notti’ sebagai penaja utama, sekaligus menjadikan ia filem pertama tajaan TM.
‘Jin Notti’ meneruskan tradisi KRU Studios dalam menerbitkan filem-filem bercorak fantasi dibawah pengarahan sutradara Azhari Zain. Teknik penerbitan yang hebat tetap ditonjolkan menerusi penggunaan CGI (Computer Generated Imagery) dibawah suntingan Yusry Abdul Halim. Begitu juga barisan pelakon terpilih turut memberi lakonan yang mantap dan mengagumkan walaupun ini kali pertama membintangi filem yang bertaraf blockbuster. ‘Jin Notti’ dibintangi Mawi (sebagai Aziz), Fara Fauzana (Notti) dan Cat Farish (Jinbara).

Sinopsis
Notti merupakan seorang gadis jin yang sangat baik, lembut dan jujur, yang berusia 117 tahun. Dia di kenakan hukuman yang sangat berat dan dikurung dalam penjara yang di panggil “All Alone” oleh Majlis Penghakiman Jin yang di ketuai oleh Jin Samsu. Sebagai hukuman, Notti di hantar turun ke dunia manusia untuk bergaul dengan golongan yang melakukan perkara-perkara yang nakal. Notti memasuki tiga tubuh manusia yang mempunyai sifat yang berbeza.
1. Ruby – seorang gadis remaja punk dari keluarga berpecah belah yang nakal dan liar
2. Y’vonne – seorang perempuan berbangsa Tiong Hua dan teman wanita kepada sebuah kongsi gelap yang membuat aktiviti menjual VCD cetak rompak, memeras ugut dan meminta wang perlindungan
3. Sharifah – seorang peguam sofistikated yang sering membela penjenayah
Setiap kenakalan yang dilakukan oleh Notti harus melepasi skala kenakalan yang dipakaikan dipergelangan tangannya. Notti ditemani oleh peguamnya Jinbara sepanjang dia menjalani hukuman di dunia manusia sebagai penasihat untuk terus melakukan kenakalan. Namun, sepanjang perjalanan hukumannya, Notti mula jatuh cinta pada seorang lelaki yang dijumpai di tiga tempat yang berbeza iaitu Aziz. Dapatkah Notti bersama cinta sejatinya iaitu Aziz dan mencari hala tuju hidupnya sendiri?
‘Jin Notti’ turut menampilkan Bob Lokman sebagai Jin Samsu, Adibah Noor sebagai Sofea Jin, Acappan sebagai Jingam, Hafidzuddin Fazli sebagai Nesti, Corie sebagai Taiko, Sazzy Falak sebagai Zulu, Sheila Mambo sebagai Ibu Zulu, Betty Benafe sebagai peguam bela dan David Teo sebagai ketua kongsi gelap.

TM Sokong Fara Fauzana
Naib Presiden Produk TM, Azizi A. Hadi ketika ditemui di majlis sidang media tersebut berkata, “TM mengambil keputusan untuk menyokong filem “Jin Notti’ bagi memainkan peranan mereka di dalam memastikan industri filem tempatan terus berkembang di samping menggalakkan produser-produser filem untuk terus mengeluarkan filem-filem tempatan yang bermutu tinggi.
“Penglibatan TM juga bagi menyokong Fara Fauzana yang merupakan ‘product endorser’ TM sejak 2007, yang pertama kali memegang watak utama dalam filem.”
‘Jin Notti’ dijangka menemui penonton di 60 buah pawagam seluruh Malaysia pada Hari Raya Aidilfitri 2009. Untuk makluman lanjut, sila layari www.krustudios.com
Tawaran eksklusif TM
Sebagai penaja utama, TM turut menawarkan kandungan online eksklusif ‘Jin Notti’ melalui Hypp.TV. Antara kandungan yang menarik dari laman mikro ‘Jin Notti’ di Hypp.TV adalah visual-visual disebalik tabir pembikinan filem itu, potongan filem pendek (movie trailer), video muzik lagu tema filem, “Seumur Hidup”, dan juga klip-klip video ekslusif dari filem tersebut.
Pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah berupa barangan eksklusif ‘Jin Notti’ dengan menyertai peraduan online. Di laman mikro ini juga, pelawat tidak ketinggalan untuk berinteraksi dengan pelakon watak-watak utama, krew di sebalik tabir – termasuk pengarah filem dan juga adik-beradik KRU. Semua kandungan eksklusif online ini boleh dinikmati secara PERCUMA dengan hanya mendaftarkan diri sebagai ahli Hypp.TV di www.hyyp.tv.
Disamping itu, bersempena dengan penajaan filem ini, 50 pelanggan pertama yang mendaftar untuk pakej langganan 6 bulan Hypp.TV juga turut berpeluang untuk mendapatkan cenderahati eksklusif ‘Jin Notti’ seperti poster ekslusif, kemeja T, tabung ‘Jin Notti’, tiket menonton wayang filem tersebut serta peluang menghadiri acara post-party dan bertemu dengan para pelakon ‘Jin Notti’ selepas tayangan perdana filem tersebut.
Selain itu, TM akan mengeluarkan kad panggilan prabayar iTalk edisi terhad bertemakan filem ‘Jin Notti’ yang eksklusif sepanjang tempoh promosi dan tayangan filem. Kad prabayar yang menampilkan watak-watak utama filem seperti Mawi, Fara Fauzana, Bob Lokman, Cat Farish, Adibah Noor di dalam nilai denominasi RM10 dan RM30 boleh didapati di cawangan-cawangan TMpoint terpilih di seluruh negara serta wakil jualan sah TM dan juga semasa roadshow ‘Jin Notti’, HotFM/Streamyx Mini Jam & Futsal Tour dan sebagainya pada awal Julai nanti.
Lagu tema filem ‘Jin Notti’ berjudul “Seumur Hidup”, nyanyian Dafi, dipetik dari album sulungnya. “Seumur Hidup” dilengkapi dengan klip video arahan Abdulazeez W.R. yang akan ditayangkan secara eksklusif di Hypp.TV. Ini termasuk tiga potongan filem pendek dari ‘Jin Notti’ dipetik berdasarkan tiga watak yang dilakonkan oleh Fara Fauzana.
Sebagai langkah mempromosikan filem ‘Jin Notti’, KRU Studios dan TM bersepakat dalam menyediakan pelbagai aktiviti promosi bergerak ke seluruh Malaysia. Antaranya, promosi di booth KRU – JOM HEBOH (Lumut & Danga Bay) dan kompleks membeli-belah (Kedah, Penang, JB, Melaka dan Klang Valley).
Turut di rancakkan lagi dengan program-program yang di taja oleh TM seperti HOT FM (Sabah & Sarawak), Karnival ICT Sekolah (MSC) dan Gegar Felda (JB) yang akan bemula awal bulan Jun sehingga pertengahan bulan September selaras dengan tayangan filem ini di pawagam. Bagi menghormati bulan Ramadhan, TM akan mengadakan sebuah Majlis Berbuka Puasa “Sinar Ramadhan” bersama 100 orang anak yatim dengan ditemani oleh pelakon-pelakon ‘Jin Notti’. Filem ini turut dinovelkan sebagai koleksi peribadi semua golongan.
0 Comments