Cinta Agung Rossa


Ketika hati sedang dilanda resah kerana keretakan rumahtangga yang sehingga kini tiada titik nokhtahnya, Rossa tabah menjalani kehidupan bersama anak lelakinya, Rizky Langit Ramadhan, dua tahun, serta sokongan kuat daripada keluarga tercinta, terutamanya ibu, Eni Kusmiani.

Setiap saat, Rizky tidak pernah lekang dari ingatan dan walau sesibuk mana sekalipun jadual hariannya, ibu ini akan memastikan anak tunggalnya itu sentiasa dibawa bersama walau ketika mengadakan persembahan luar kota.

Sejak rumahtangga yang dibina atas dasar cinta bersama pemain drum Padi, Yoyo, mula goyah pada 2007, baik Rossa mahupun Yoyo belum mengambil sebarang keputusan tentang rumahtangga mereka.


“Saya senang begini. Walau sudah tidak tinggal sebumbung, kami belum lagi bercerai. Setiap saat saya berdoa agar Tuhan memberikan keputusan yang terbaik buat kami,” kata penyanyi kelahiran Sumedang, Indonesia ini.

Kedengarannya mungkin pelik tetapi itulah hakikat yang sedang dilalui wanita ini. Enggan berpisah, tidak juga mahu menamatkan perkahwinan dengan perceraian, Rossa lebih senang menyerahkannya kepada takdir.

Rossa mengakui hubungannya bersama Yoyo, insan yang masih lagi bergelar suami itu masih baik walaupun media Indonesia hangat memperkatakan pasangan ini sudah tidak lagi sefahaman dan telah menamatkan kisah rumahtangga mereka.

Malah, Yoyo tidak pernah lekang memberikan sokongan kepadanya untuk terus mengecapi kejayaan sebagai anak seni dan lelaki itu kerap hadir ke persembahan pentas yang dijayakan Rossa.

“Bagaimana ya mahu menerangkan … kami tidak pernah bergaduh besar. Mungkin kerana itu hubungan kami masih lagi berterusan. Jujurnya saya masih belum punya kekuatan untuk bercerai, sedangkan dalam masa sama, hubungan sebagai suami isteri sukar diteruskan. Sewajarnya saya menyerahkan kepada Allah sahaja,” tambah penyanyi ini.

Enggan bercerita punca sebenar kekalutan yang berlaku dalam perkahwinan mereka, Rossa mengakui ianya terlalu peribadi untuk diceritakan. Biarlah cerita itu menjadi rahsia antara dia dan Yoyo.

Mungkin sukar menjalani kehidupan disaat diri sedang dilanda masalah rumahtangga dan dalam masa sama perlu menjalani kehidupan harian sebagai penyanyi wanita popular, Rossa pasrah dan optimis dengan apa juga kemungkinan yang datang dalam hidupnya.

“Memang terlalu sukar untuk seorang penyanyi seperti saya berhadapan masalah begini apatah lagi Rizky masih kecil untuk memahami. Tetapi lumrah seorang wanita, apabila mempunyai anak, seluruh hidupnya diserahkan untuk kebahagiaan anak, masalah lain diketepikan. Malah kerana anak juga, seoarang wanita sanggup mengenepikan soal cinta,” katanya.

Trauma dengan dugaan hidup yang dihadipinya kini, Rossa percaya setiap yang dilaluinya adalah pengalaman yang akan menjadikan dirinya lebih tabah dan matang. Baik dia atau Yoyo, kedua-duanya berjanji akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada putera tunggal mereka dan berharap anak kecil itu tidak kurang kasih sayang daripada kedua orang tuanya.

Serasi bersama Pasha
Dalam hangat cerita keretakan rumahtangga yang dihadapi wanita ini dijaja media negara jiran, timbul pula cerita cinta antaranya bersama Pasha, penyanyi band Ungu.

Sementelah kedua-duanya akrab dan berduet melalui lagu “Terlanjur Cinta”. Ada yang melihat keakraban mereka berdua sebagai satu hubungan cinta, tidak kurang juga yang beranggapan Pasha sebagai punca keretakan rumahtangga Rossa-Yoyo.

“Cerita saya mencintai Pasha membuatkan saya selalu tertawa. Sememangnya saya sangat serasi bersama Pasha kerana kami punya chemistry terutamanya ketika menyanyikan lagu “Terlanjur Cinta”. Lagu itu dicipta oleh Yoyo, jadi mana mungkin saya berduet bersama Yoyo kerana dia bukan penyanyi. Jadi Pasha adalah calon paling sesuai memandangkan kami sudah kenal lama,” cerita pemenang AIM16 lalu bagi kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan Artis Luar Negara.

Menafikan sekeras-kerasnya hubungan cinta antaranya dan Pasha, Rossa tidak mahu cerita begitu mengeruhkan hubungan baiknya bersama lelaki yang dianggapnya sebagai teman baik.

“Tidak mungkin saya dan Pasha kerana kami begitu akrab dan dia juga berhubungan baik dengan Yoyo. Malah baik dia atau Yoyo, kedua-duanya kerap bertemu dan hadir menyaksikan persembahan yang saya buat. Atau kadangkala, saya melawat mereka,” katanya.

Cerita Cinta Rossa
Selepas menjayakan konsert Cerita Cinta di beberapa kota besar Indonesia, Rossa hadir ke Malaysia untuk menjayakan konsert mininya di sini. Konsert mini yang ditaja Hotlink ini bakal menyaksikan Rossa beraksi selama satu jam 45 minit di hadapan peminat-peminatnya di KL Live, Life Centre Kuala Lumpur, 27 Jun ini.

Selain Rossa, Pasha turut diundang khas untuk menyanyikan lagu popular mereka “Terlanjur Cinta”.

“Selepas mengadakan konsert di Indonesia, inilah pertama kali kami berpeluang berduet bersama. Jika pada konsert di sana, saya berduet bersama beberapa penyanyi popular seperti Bams Samsons, Ello dan Fadly Padi. Jadi pastinya konsert mini nanti lebih istimewa kerana saya berduet dengan penyanyi asalnya,” kata Rossa yang turut mengakui Yoyo hadir ketika menyaksikan dia berduet bersama Fadly.


Peminat yang ingin menyaksikan Rossa dan konsert mini ‘Cerita Cinta’nya, boleh melanggan pakej nada dering Rossa pada harga RM5. Konsert mini ini ditujukan khas buat pelanggan Maxis dan Hotlink dan pelanggan hanya perlu menaip GET ROSSA1 dan hantar ke 29000 untuk mendapatkan dua tiket percuma. Selain itu, satu sesi bertemu peminat akan diadakan pada 26 Jun jam 8 malam di Berjaya Mega Mall Kuantan, Pahang.

Post a Comment

0 Comments