Bunkface Tidak Kecil Hati


Terkejut seketika apabila terbaca berita yang Bunkface dikatakan kecil hati dengan 8TV dalam sebuah akhbar tempatan hari ini. Lebih-lebih lagi apabila perkara yang dirungutkan itu berlaku hampir dua bulan lalu.

Bila dihubungi penerbit eksekutif One In A Million (OIAM) Sunil Kumar petang tadi, katanya dakwaan yang Bunkface telah dijanji pihak produksi untuk membuat persembahan di pentas utama, tidaklah benar.

Dari awal perbincangan mereka dengan Bunkface, semuanya sudah dimaklumkan tentang kelainan yang ingin ditampilkan oleh pihak produksi, iaitu dengan meletakkan mereka di kawasan penonton, dikerumuni peminat.

“Kami berpendapat mereka akan kelihatan lebih menyerlah jika dikelilingi para peminat. Bagi saya, apabila melihat pada hasilnya, ia keputusan yang betul. Keputusan untuk tidak meletakkan mereka di pentas adalah juga kerana ‘feel’ yang dibawakan Bunkface berlainan dari OIAM.”

Tambah Sunil, pada malam itu mereka memang menghadapi masalah teknikal, dimana terdapatnya ‘delay’ di dalam audio ketika Bunkface membuat persembahan. Walaupun mereka mencuba untuk membaikinya, nyata ia lebih sukar dari yang disangkakan. Sejurus selepas persembahan mereka, dia telah menemui Bunkface untuk meminta maaf atas apa yang berlaku.

“Saya memberitahu mereka yang saya akan membaiki masalah tersebut pada siaran ulangan Grand Finale OIAM 3 di TV3. Saya juga telah memberikan satu salinan DVD siaran ulangan itu kepada mereka.”

Bagi pihak Bunkface, Zara, selaku pengurus mereka memberitahu tidak timbul soal kecil hati atau tidak berpuas hati. Sememangnya dari awal lagi mereka sudah tahu perlu membuat persembahan di kawasan penonton. Tentang masalah teknikal yang dihadapi, pada malam itu Sunil telah meminta maaf atas apa yang berlaku.

Perihal bayaran pula, Zara menjelaskan disebabkan terdapat pertukaran dalam nama penerima cek, cek untuk bayaran persembahan Bunkface telah dilambatkan. Namun tegasnya, kesilapan itu bukan dari pihak 8TV.

“Perhubungan Bunkface dengan 8TV memang okay, tiada masalah. Malah Bunkface akan beraksi pada malam Shout! Awards (17 Julai) nanti,” katanya.

Post a Comment

0 Comments